Jumaat, Jun 19, 2009

Tokoh Penulis Kelantan » Abdul Kadir Adabi ( 1901-1944 )

Tokoh penulis dan novelis Kelantan yang cukup terkenal. Lahir di Kampung Raja Dewa, Kota Bharupada 17 Ogos 1901. Abdul Kadir menerima pendidikan awal daripada Tuan Guru Haji Nik Daud Atas Banggol, sebelum menjadi pelajar perintis di Madrasah Muhammadiyyah (Melayu) Majlis Ugama Islam Kelantan yang baru dibuka pada 1917. Antara guru-gurunya semasa belajar di madrasah ini ialah Haji Muhammad bin Dato' Haji Muhammad said (kemudiannya Dato' Laksamana), yang sempat membimbingnya belajar mengarang dan menterjemah.
Abdul Kadir mula meilbatkan diri dalam kerja-kerja penulisan pada awal dekad 1920an, iaitu sewaktu beliau bekerja menjadi penulis petisyen. Tulisan-tulisannya tersiar dalam majalah Pengasuh, juga majalah-majalah di luar Kelantan seperti Edaran Zaman dan Saudara. Kerana tulisan-tulisannya sangat kontroversial, juga bersifat kritik sosial, maka ini telah menyebabkan beliau tidak disenangi oleh banyak pihak terutama dari kalangan atasan dan pihak berkuasa agama.
Pada tahun 1929, bersama-sama dengan As'ad Shukri bin Haji Muda, beliau menubuhkan Putera Club, dan menerbitkan majalah Putera sebagai lidah rasminya. Namun, tidak lama selepas itu berikutan tersiarnya sebuah rencana bertajuk "Ulama Mana Pengganti Nabi" yang mengkritik sesetengah ulama, majalah Putera telah menjadi sasaran kecaman pegawai tinggi agama dan terpaksa dihentikan. Pada April 1930, Abdul Kadir menerbitkan majalah Kenchana pula. Tetapi selepas satu tahun sepuluh bulan, majalah kedua beliau ini juga terhenti atas sebab-sebab kewangan. Tidak lama kemudian, iaitu pada awal Febuari 1932, beliau mengisi masa lapangnya dengan bekerja sebagai penyunting majalah Pengasuh di bawah pimpinan bekas gurunya, Dato' Laksamana. Selepas dua bulan, kira-kira pada bulan April, beliau meninggalkan Pengasuh untuk bergabung dengan sahabat-sahabatnya bagi menerbitkan buku-buku pengetahuan umum di bawah siri "Kenchana Library" pula.
Mulai April 1934, Abdul Kadir menyertai majalah al-Hikmah, membantu pengarangnya Haji Ahmad Ismail. Tugas ini dipegangnya sehingga 1941, apabila penerbitan al-Hikmah terhenti berikutan tercetusnya Perang Dunia Kedua. Inilah waktunya apabila tulisan-tulisan beliau mencapai darjah kematangan dan daya intelektual yang tinggi.
Selain menulis, Abduk Kadir juga terlibat dalam berbagai badan sosial dan budaya seperti Setiawan Belia dan Dewan Bahasa Melayu Kelantan. Selain itu, beliau juga turut aktif dalam badan-badan politik - Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan sebelumnya Persatuan Melayu Semenanjung.
Sehingga ke akhir hayatnya Abdul Kadir telah menghasilkan sekitar 110 buah tulisan, tiga buah novel asli (Acuman Mahkota, Sebelas Rejab dan Melati Kota Bharu) serta sebuah novel saduran berjudul Persemburan Darah Di Bawah Lipatan Takdir.
Meninggal dunia dalam usia muda di Kuala Terengganu pada 24 Febuari 1944.

Sumber : http://www.kelantan.edu.my/tokoh.htm

1 ulasan:

  1. thankss 4 wrote this...it will make easier 4 me to finished my homework...hee=)))

    BalasPadam