Isnin, Ogos 08, 2011

Azamuddin Akil Taruhan Terbaru Kelantan

Kelantan berjaya mendapat khidmat penyerang muda Pahang , Azamuddin Akil untuk memperkukuhkan barisan serangan Kelantan dalam saingan Piala Malaysia musim ini. Pemain yang diberi gelaran Alex ini dijangka akan bergandingan dengan Norshahrul Idlan Talaha di barisan depan Kelantan untuk merobek gawang pasukan lawan nanti. Semoga kehadiran Alex ini dapat meringankan beban yang tergalas di bahu Norshahrul Idlan untuk menjaringkan gol. Selamat maju jaya kepada "Alex".

Sabtu, Ogos 06, 2011

Piala Malaysia 2011 : Kelantan Miliki Laluan Mudah



Juara bertahan Piala Malaysia 2010, Kelantan diundi berada dalam kumpulan C bersama dengan dua pasukan berstatus kelab iaitu Johor FC dan Felda United serta naib johan Liga Perdana 2011 Sarawak untuk saingan awal Piala Malaysia musim 2011. Keputusan undian ini memberikan laluan mudah untuk Kelantan melangkah ke suku akhir jika berdasarkan rekod pertemuan dalam Liga Super musim ini. Walaubagaimanapun pemain Kelantan tidak harus mengambil mudah kerana sudah pasti pasukan-pasukan ini mahu membalas kekalahan yang mereka alami dalam saingan liga.

Rabu, Julai 27, 2011

Kelantan Juara Piala Presiden 2011



Hujan rahmat melanda Kelantan yang terus menambah satu lagi koleksi trofi apabila menjuarai saingan akhir Piala Presiden selepas mengecewakan MP Muar 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Sultan Mohd Ke-IV di Kota Bharu, malam tadi.

Dalam saingan akhir yang bermula dengan rentak pantas dan rancak itu, tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi Aris Zaidi seawal minit kesembilan tetapi MP Muar menyamakan kedudukan apabila Mohd Nor Hakim Hassan membolosi pertahanan Kelantan pada minit ke-21.
Gandingan penyerang Kelantan, Aris dan Mohd Farhan Yaakub beberapa kali mendapat peluang kembali di depan tetapi peluang terbaik Farhan pada minit ke-39 gagal menewaskan penjaga gol MP Muar, Mohd Khairul Izzuwan.

Bersambung babak kedua, kekentalan benteng pertahanan pelawat kerap dibolosi tetapi dalam keghairahan mencari peluang, Kelantan menerima padah apabila Mohd Zamri Ramli dilayangkan kad merah kerana mengasari kapten MP Muar, Mohd Fauzi Kadir.

Begitupun, saingan terus berlangsung sengit hingga pengadil M Tamilselvam melayangkan tiga lagi kad kuning sebelum tamat permainan masa sebenar.

Namun penyokong Kelantan bersorak riang apabila Mohd Khairul Izuan Rosli memastikan gol kemenangan sebaik empat minit permainan masa tambahan walaupun S Havivarman terlepas peluang untuk sekali lagi mengikat tuan rumah apabila cubaannya terkena palang.

Tahniah anak muda Kelantan.

Isnin, Julai 25, 2011

Final Piala Presiden : Kelantan Lawan MP Muar



Pasukan Piala Presiden Kelantan akan berentap dengan pasukan MP Muar untuk menentukan kejuaraan Piala Presiden 2011 dalam aksi yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mohd Ke IV. Perlawanan ini juga akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Arena 801. Kepada peminat bolasepak Kelantan, hadirlah beramai-ramai memenuhi tempat duduk stadium bagi memberi sokongan kepada pasukan muda Kelantan ini. Insyaallah satu lagi piala bolasepak Malaysia akan berada di Kelantan bumi bertuah ini.

Selasa, Julai 19, 2011

Kota Bharu jadi pilihan FAM



Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu sekali lagi diberi penghormatan apabila dipilih Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai gelanggang perlawanan akhir Kejohanan Piala Presiden pada 26 Julai ini.

Dua pasukan finalis, iaitu Kelantan dan Majlis Perbandaran (MP) Muar, Johor akan berentap memburu kejuaraan bagi merebut trofi kejuaraan dan wang tunai RM100,000, sementara naib juara bakal membawa pulang wang tunai RM50,000.

Kedua-dua pasukan layak ke perlawanan akhir musim ini setelah mengalahkan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir.

Kelantan berjaya mengetepikan saingan PKNS Selangor menerusi kemenangan agregat 2-0 sementara MP Muar mengejutkan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) menerusi peraturan gol di tempat lawan setelah terikat agregat 3-3.

Pihak Kafa memutuskan harga tiket bagi tempat duduk teres berbumbung bagi perlawanan akhir ini ialah RM10 sementara tempat duduk terbuka RM5. Tiket-tiket perlawanan akan dijual pada hari perlawanan tersebut.

Jumaat, Julai 15, 2011

Festival Makanan Antarabangsa Chengho dan Galeri Tamadun Islam (KelCheff 2011)



Sekadar Info. Yang mana berkesempatan, bolehlah menghadiri Festival Makanan Antarabangsa Chengho dan Galeri Tamadun Islam (KelCheff 2011)ini.

Kelantan Ke Final Piala President 2011



Pasukan bolasepak piala president Kelantan mara ke perlawanan akhir piala president 2011 apabila menundukkan kelab PKNS FC dengan agregat 2-0. Pada perlawanan separuh akhir pertama di Kota Bharu, Kelantan menang 2-0 manakala seri 0-0 pada perlawanan kedua di Petaling Jaya. Kelantan dijadualkan bertemu dengan pasukan MP Muar pada perlawanan akhir yang akan berlangsung pada 22 Julai ini. Venue perlawanan akhir masih belum diputuskan lagi. Tahniah anak muda Kelantan.

Sabtu, Julai 09, 2011

Badhri Radzi Ketuai Senarai 4 Pemain Kelantan Ke Latihan Pusat Malaysia Lawan Chelsea



Kejayaan pasukan Kelantan menjuarai Liga Super 2011 membuka peluang kepada 4 lagi pemain Kelantan terpilih menjalani latihan skuad Malaysia bagi menghadapi Pasukan Chelsea pada 21 Julai nanti. Kapten pasukan, Badhri Radzi atau Piya mengetuai senarai pilihan jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee bersama 3 lagi rakannya iaitu Izuan Solahuddin, S Subramaniam Dan Daudsu Jamaluddin. Ini merupakan panggilan pertama Piya dan Izuan ke latihan pusat skuad Malaysia, manakala bagi S.Subramaniam dan Daudsu ini merupakan panggilan pertama untuk mereka selepas hampir 3 tahun tersisih daripada skuad negara. Empat pemain ini menyertai Khairul Fahmi Che Mat, Norshahrul Idlan Talaha, Farisham Ismail, Rizal Fahmi Rosid, Shakir Shaari dan S.Chanthuru yang terpilih dalam skuad utama Kebangsaan bagi menghadapi perlawanan dengan Arsenal dan Liverpool sebelum berdepan Singapura dalam pusingan kedua kelayakan piala dunia 2014.

Perlawanan Persahabatan Antarabangsa : Kelantan Lawan Pelita Jaya FC



Kelantan akan berhadapan dengan kelab Pelita Jaya dari Indonesia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Muhammad Ke IV pada 9 Julai. Dalam perlawanan ini Kelantan dijangka akan menurunkan 3 pemain import yang bakal diuji untuk memperkuatkan barisan pemain Kelantan pada musim hadapan jika pemain import dibenar beraksi kembali dalam saingan Liga Malaysia musim depan. Kelab Pelita Jaya diperkuatkan 5 pemain import termasuklah penyerang sensasi negara, Safee Sali.

Rabu, Julai 06, 2011

Sejarah Tercipta Di Likas : Keputusan MSL 2011: Sabah 1 Kelantan 2









Dua gol jaringan penyerang berbisa Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha membantu Kelantan mencipta sejarah baru bolasepak negeri Kelantan apabila muncul juara Liga Super 2011. Sungguhpun Shahrul gagal memenangi anugerah kasut emas kerana pesaingnya Abdul Hadi Yahya menjaringkan empat gol untuk memintas Shahrul dengan kelebihan 1 gol. Hadi menjaringkan 20 gol manakala Shahrul 19 gol. Apapun tahniah kepada pasukan Kelantan yang membuktikan Kelantan adalah kuasa baru bolasepak Malaysia ketika ini.

Misi Kelantan Memburu Juara : MSL 2011: Sabah Lawan Kelantan



Kelantan berkunjung ke Kota Kinabalu untuk misi mencipta sejarah baru bolasepak Malaysia sebagai juara baru Liga Super 2011. Kelantan hanya perlu seri sahaja untuk bergelar juara. Sama-samalah kita berdoa agar pasukan Kelantan muncul juara. Insyallah trofi Liga Super akan menjejaki Kota Bharu.

Sabtu, Jun 18, 2011

Dialek Kelantan : Cakelat



Gula-gula dipanggil cakelat..begitu juga dengan coklat yang dipanggil cakelat. Bila mendengar kanak-kanak menyebut cakelat, sukar hendak dibezakan apa yang dimaksudkan, sama ada gula-gula atau coklat.

Jumaat, Jun 17, 2011

Malaysia Lawan Myanmar Di Kota Bharu



Stadium Sultan Muhammad Ke IV dipilih sebagai medan perlawanan persahabatan antarabangsa yang keempat skuad Malaysia pada tahun 2011. Malaysia akan bertemu Myanmar pada 18 Jun ini. Ini adalah julung kalinya perlawanan antarabangsa skuad Malaysia diadakan di luar Lembah Klang. Seharusnya warga Kelantan berbangga mendapat penghormatan ini. Stadium ini dipilih berikutan mutu padang yang terbaik di Malaysia ketika ini selain sambutan penonton yang ramai setiap kali pasukan Kelantan beraksi. Kepada peminat bolasepak Kelantan, apa kata kali ini kita memenuhi ruang stadium dengan warna kuning atau biru pula untuk memberikan sokongan kepada pemain Malaysia apatah lagi ramai pemain Kelantan yang terpilih menjalani latihan untuk skuad Malaysia pada kali ini.

Rabu, Jun 15, 2011

Enam Pemain Kelantan Dipanggil Sertai Skuad Malaysia



Enam pemain skuad Kelantan dipanggil menjalani latihan pasukan Malaysia untuk menghadapi Taiwan dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia Zon Asia. Norshahrul Idlan Talaha, Khairul Fahmi Che Mat, S. Chanthuru, Rizal Fahmi, Farisham Ismail dan Shakir Shaari dipanggil menjalani latihan bersama 22 orang lagi pemain untuk merebut slot 22 pemain yang akan membawa cabaran negara itu nanti. Ini merupakan panggilan pertama kepada Shakir Shaari untuk skuad senior negara. Tahniah.

Selasa, Jun 14, 2011

Keputusan MSL 2011: Kelantan 1 Perak 0







Jaringan tunggal pendahulu senarai penjaring terbanyak Liga Super 2011, Nor Shahrul Idlan Talaha sudah cukup untuk pasukan Kelantan mendominasi carta liga yang berbaki satu lagi perlawanan. Kelantan hanya memerlukan satu lagi mata dalam perlawanan terakhir bertemu pasukan Sabah pada 6 Julai nanti untuk mengesahkan kejuaraan liga menjadi milik pasukan Red Warrior ini. Tahniah kepada semua pemain Kelantan yang bermain dalam perlawanan ini yang bersungguh-sungguh untuk mencatat kemenangan meskipun keletihan dan kekecewaan gagal dalam perlawanan akhir Piala FA masih lagi terasa. Sesungguhnya anda semua wira rakyat Kelantan. Tahniah.

MSL 2011 : Kelantan Lawan Perak



Kelantan akan berhadapan dengan Perak dalam perlawanan ke 25 Liga Super musim ini. Kekecewaan tumpas pada perlawanan akhir Piala FA baru ini harus dilupakan pemain kerana kemenangan dalam perlawanan ini cukup penting tatkala pasukan Kelantan memburu satu lagi kemasyuran dalam dunia bolasepak iaitu dengan menjulang kejuaraan Liga Super buat julung kali.Ayuh pemain Kelantan, bangkitlah melawan demi maruah kita. Usah biarkan kejuaraan yang hamper menjadi milik kita ini terlepas lagi. Inilah Masanya. Selamat berjuang wiraku.

Sabtu, Jun 11, 2011

Keputusan Final Piala FA 2011 : Kelantan 1 Terengganu 2







Tuah nyata tidak berpihak kepada pasukan Kelantan. Disaat permainan akan ditamatkan pada bila-bila masa sahaja, Terengganu bangkit menyamakan kedudukan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan. Dengan semangat pemain Kelantan seakan sudah luntur dek gol lewat permainan, Terengganu memanfaatkan peluang tersebut untuk menjaringkan gol kemenangan seterusnya merangkul piala FA buat kali kedua manakala Kelantan terus kempunan kali kedua untuk mendakap piala FA buat kali pertama. Kelantan terlebih dahulu dihadapan menerusi jaringan cantik Nurul Azuan Roya sebelum Daudsu Jamaludin tertanduk bola ke gawang sendiri beberapa saat sebelum perlawanan tamat. Gol tersebut nyata menyemarakkan pemain Terengganu dan buktinya pemain gantian, Ahmad Nordin Alias muncul wira pasukannya apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan Terengganu pada masa tambahan. Tahniah kepada pasukan Terengganu dan kepada pemain Kelantan, tahniah juga kerana berjaya mara ke final buat kali kedua dalam masa 3 tahun. Anggaplah rezeki kita belum ada lagi untuk tahun ini tetapi kita masih lagi berpeluang menjuarai satu lagi piala yang berprestij yang belum pasukan Kelantan genggam iaitu piala Liga Super. Selamat berjuang pada baki dua lagi perlawanan Liga Super.

Jumaat, Jun 10, 2011

Final Piala FA 2011 : Kelantan Lawan Terengganu





Kelantan mara ke perlawanan akhir piala FA buat kali kedua dalam masa 3 tahun. Kemaraan ke pentas akhir pada kali ini diharap membawa catatan gemilang kepada sejarah bola sepak Kelantan. Kemenangan amat didambakan peminat yang mahu melihat piala FA diarak ke Kota Bharu buat kali pertama seperti mana perarakan piala Malaysia pada tahun lepas. Kepada penyokong Kelantan yang bertandang ke Stadium Nasional Bukit Jalil, diharap menjaga tingkah laku dan nama baik negeri Kelantan. Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan para penyokong agar menjaga tingkah laku dan tidak membuat onar semasa menonton perlawanan akhir nanti.

Isnin, Jun 06, 2011

Keputusan MSL 2011: Terengganu 0 Kelantan 3





Kelantan meneruskan momentum kemenangan apabila membelasah Sang Penyu dilaman sendiri 3-0. Skuad Kijang memperolehi gol pertama melalui Izuan Solahuddin pada minit ke 9 yang berpunca dari hantaran silang Daudsu. Manakala Terengganu gagal menjaringkan gol walaupun mempunyai banyak peluang. Bersambung pada separuh masa kedua,Terengganu memperkuatkan serangan namun gagal menembusi gol yang dikawal kemas oleh penjaga gol kedua Kelantan, Mohd Sharizan Ismail. Namun The Red Warriors berjaya menjaringkan gol melalui Norshahrul Idlan Talha selepas penjaga gol Terengganu yang juga penjaga gol kebangsaan Mohd Sharbini melakukan kesilapan awal.Ketika kedaaan seakan-akan berkedudukan 2-0,Nor Shahrul sekali lagi menjaringkan gol pada masa kecederaan sekali gus memastikan Sang Kijang membawa 3 mata penuh ke Kota Bharu. Untuk rekod,Kelantan terus menerajui liga dengan 50mata,dikuti Selangor dengan 48mata manakala Terengganu 47mata. Kemenangan ini juga merupakan satu lagi kemenangan moral kepada pemain Kelantan sebelum kedua-dua pasukan sekali lagi membuat perhitungan bagi merebut kejuaraan Piala FA pada 11 Jun nanti di Bukit Jalil.

MSL 2011 : Terengganu Lawan Kelantan



Dua pasukan terhebat Malaysia bakal berentap di Kuala Terengganu untuk menentukan siapa paling layak digelar gergasi Pantai Timur. Perlawanan ini diibaratkan sebagai pra perlawanan akhir Piala FA apabila kedua-dua pasukan ini sekali lagi akan berentap pada 11 Jun untuk menentukan kejuaraan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Keputusan yang memihak kepada salah satu pasukan dalam perlawanan ini juga merupakan gambaran kepada pasukan mana yang akan dinobatkan sebagai juara Liga Super 2011 yang akan berakhir pada 6 Julai depan.

Sabtu, Mei 28, 2011

Keputusan MSL 2011: Kelantan 1 Pahang 0







Kelantan kembali menerajui takhta liga sungguhpun sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Pahang. Gol Tunggal jaringan Badhri Radzi memadai untuk Kelantan berada di kedudukan teratas liga meskipun jumlah mata yang sama dengan Terengganu. Kelantan berkelebihan 1 jaringan dengan pasukan Terengganu yang tumpas mengejut di tangan Kedah pada perlawanan di Kuala Terengganu. Kelantan sepatutnya menang dengan keputusan 2-0 andai Norshahrul Idlan Talaha berjaya menyudahkan sepakan penalti setelah Nurul Azwan Roya dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pemain Pahang. Apapun, diucapkan tahniah kepada barisan pemain Kelantan.

MSL 2011 : Kelantan Lawan Pahang



Kelantan menanti kunjungan balas pahang untuk menebus kekecewaan tumpas 2-0 pada perlawanan pusingan pertama di Kuantan. Kelantan perlu menang untuk terus bersaing dengan Terengganu bagi mengejar kejuaraan liga super 2011. Kelantan juga harus menang dengan jumlah gol yang besar memandangkan pasukan Terengganu juga memiliki jumlah jaringan gol yang banyak. Andai Terengganu kalah kepada pasukan Kedah,Kelantan boleh kembali ke kedudukan teratas liga jika menang dengan selesa kerana jumlah jaringan dan bolos diambil kira untuk menentukan pendahulu.

Rabu, Mei 25, 2011

Keputusan MSL 2011: Kelantan 1 T -Team 2







T Team mencemar rekod tanpa kalah Kelantan di gelanggang sendiri apabila berjaya mencatat keputusan 2-1 dalam satu perlawanan yang mencetuskan kontroversi. Kontroversi bermula apabila penjaga garisan membenarkan gol pertama T Team yang dilihat sudah melepasi garisan keluar sebelum bola dihantar ke dalam kawasan permainan. Indraputra Mahyuddin menjaringkan gol kemenangan T Team pada masa kecederaan buat mengecewakan pasukan lamanya. Sebelum itu pkeputusan terikat 1-1 apabila Nurul Azuan Roya menyamakan kedudukan. Dengan kekalahan ini menyaksikan pasukan Kelantan turun satu tangga ke kedudukan kedua selepas dipintas oleh pasukan Teregganu yang berpesta gol 5-0 ke atas Pahang.

MSL 2011 : Kelantan Lawan T Team



Kelantan turun dengan misi menebus kekalahan 4-3 ditangan T Team pada perlawanan pusingan pertama di Kuala Terengganu. T Team bukanlah satu pasukan yang mudah dikalahkan. Dibarisi tongak berpengalaman seperti 3 bekas pemain Kelantan, Indraputra, Nor Farhan Dan Azizi Mat Rose, T team dilihat boleh mengugat peluang pasukan Kelantan meraih 3 mata pada perlawanan ini. Ayuh Red Warrior. Buktikan kejaguhanmu. Kekalahan beerti takhta liga bakal terlepas kepada pasukan Terengganu andai mereka berjaya memungut 3 lagi mata ke atas pasukan Pahang.

Isnin, Mei 23, 2011

Keputusan MSL 2011: Harimau Muda A 2 Kelantan 2







Kelantan gagal mengambil kesempatan untuk menjarakkan diri daripada pasukan Selangor kepada empat mata setelah diikat Harimau Muda A dengan keputusan 2-2. Selangor mengalami kekalahan kedua berturut-turut apabila dimalukan Pahang dengan keputusan 2-1.Kelantan bolehlah menarik nafas lega buat seketika apabila berjaya menafikan kemenangan Harimau Muda A. Harimau Muda A yang hampir pasti membuat kejutan untuk menumbangkan pasukan Kelantan tersentak dengan jaringan penyamaan oleh Norshahrul Idlan Talaha 3 minit sebelum perlawanan tamat. Satu lagi gol Kelantan dijaringkan oleh S. Chanturu. Keputusan seri ini memaksa pasukan Kelantan berkongsi mata yang sama dengan pasukan Terengganu yang menang ke atas pasukan Negeri Sembilan 3-0. Walaubagaimanapun kelantan masih lagi kekal menerajui liga dengan berkelebihan empat jaringan daripada pasukan Terengganu.

Ahad, Mei 22, 2011

MSL 2011 : Harimau Muda A Lawan Kelantan



Kelantan akan menghadapi satu lagi cabaran getir untuk mengekalkan kedudukan selaku peneraju liga apabila berhadapan dengan Harimau Muda A di Shah Alam. Kelantan perlu menang dengan selesa untuk terus meninggalkan pencabar terdekat, Selangor dan Terengganu yang menegkori rapat dengan beza 1 dan 2 mata sahaja. Ayuh Red warrior. Buktikan kehebatanmu. Bermain di Shah Alam, ibarat medan kedua Kelantan kerana sudah pasti peminat bolasepak kelantan yang akan mendominasi segenak ruang di stadium.

Sabtu, Mei 21, 2011

Loghat Kelantan : Gesek dalam kelambu



DI sebuah pejabat selepas cuti Raya ....

Nik: Selamat Hari Raya!
Rusdi: Selamat Hari Raya! Macam mana beraya di kampung? Best tak?
Nik: Biasalah, balik Pantai Timur ... kau faham-faham ajelah trafiknya!

Rusdi: Hai! Bawa kereta baru pun mengeluh juga ke?

Nik: Apa tak mengeluhnya, penat tau ... memandu dekat dua belas jam baru sampai, jem teruk. Kalau kau nak tau, nilah pertama kali aku balik kampung memandu sendiri, selalunya naik bas je. Ingatkan seronok, enjoy ... rupa-rupanya seksa! Kalau aku tau ... lebih baik naik bas ekspress je ... boleh tidur.

Rusdi: Lain ... tak sama dengan naik bas. Kalau bawa kereta sendiri, di kampung senang nak berjalan, kalau naik bas ... patah kakilah!
Nik: Tak guna juga Rus, kat kampung pun jem teruk juga. Dah semua kereta yang ada di KL ni balik kampung, dibawanya sekali jem tu .... Nak gi kedai beli kicap pun payah, dahlah jem ... parking pun penuh. Dah jadi macam KL gak!

Rusdi: Tak palah ... janji meriah!

Nik: Meriah apanya?! Sibuk, kelam-kabut!

Rusdi: Kenapa pulak?

Nik: Kemalanganlah.

Rusdi: Kau kemalangan jalan raya ke? Tapi aku tengok kau ok je, kereta teruk ke?

Nik: Bukan kemalangan jalan rayalah!

Rusdi: Habis tu? Kemalangan apa pulak?

Nik: Raya pun jadi macam tak raya, sibuk dan kelam kabut!

Rusdi: Yalah, kenapa?

Nik: Malam raya tu, masa orang tengah sibuk takbir raya di masjid ... rumah saudara aku terbakar! Rumah tu pulak dekat dengan rumah orang tua aku. Tak kelam kabut di buatnya?!

Rusdi: Astagfirullah ... malam raya tu? Kesian ....

Nik: Habis hangus sebuah rumah dengan barang-barang sekali. Tinggal sehelai sepinggang anak beranak!

Rusdi: Ni mesti angkara main mercun ni. Orang Kelantan memang suka main mercun, mentang-mentang le senang dapat dari seberang.

Nik: Tak! Tak main mercu ... sebab tak main mercunlah yang terbakar rumah tu! Kalau main mercun mungkin tak terbakar rumah.

Rusdi: Kenapa pulak macam tu?

Nik: Anak-anak sedara aku tu memang tak main mercun, bapa mereka tu garang dan dia memang dari dulu tak benarkan langsung anak-anak main mercun. Bila dah tak boleh main mercu dan bunga api ... tapi tengok budak-budak keliling main, mereka pakat adik beradik main gesek!

Rusdi: Main gesek?

Nik: Haah ... main gesek! Dalam kelambu pulak tu. Kalau main kat luar takut bapa dia nampak. Mereka pakat masuk bilik, masuk kelambu ... main gesek.

Rusdi: Mereka gesek apa? Biola ke? Takkan gesek biola sampai berapi ...Vanessa May pun tak sampai macam tu!

Nik: Bukan gesek biola! Gesek rokoklah! Gesek apa pulak lagi.

Rusdi: Ooo ... mereka mencuri hisap rokok dalam kelambulah ni yek? Kecik-kecik lagi dah pandai hisap rokok ... budak-budak sekarang ni!

Nik: Tak lah! Tak hisap rokok, main gesek je ....

Rusdi: Eh! Aku mula tak faham apa yang kau cakap ni ... gesek apa yang boleh sampai terbakar ni?

Nik: Gesek yang biasa tu lah .. .yang orang pakai untuk hisap rokok, untuk hidupkan api tu ... gesek apa pulak lagi?!

Rusdi: Gesek apa untuk hidupkan api? Gesek kayu dengan kayu ke atau batu dengan batu? Peliklah! Macam zaman dulu pulak, macam zaman batu ... nak hidupkan api kena gesek kayu dengan kayu. Lambat tu nak hidupkan api ... aku pernah buat masa perkhemahan pengakap kat sekolah dulu, sampai sudah api tak hidup ... akhirnya pakai mancis jugak! Anak sedara kau tu main camping le gamaknya yek? Kelambu jadi khemah dan cuba hidupkan api dengan gesek kayu. Hebat tu sampai boleh menyala, tak macam aku dulu ... tak pernah jadi, berasap pun idak!

Nik: Isy! Merepek-merepeklah kau ni ... anak-anak sedara aku tu main ni hah! Ni ... gesek ni!

Rusdi: Tu mancis!

Nik: Ha laa ... mancis. Main dalam kelambu, kena sambar kelambu tu ... nasib baik sempat lagi keluar tapi rumah habislah, rumah kayu.

Rusdi: Cakaplah main mancis, tadi kau kata gesek!

Nik: Oooo ... aku lupalah orang sini tak panggil gesek. Duduk seminggu di kampung, terbiasa pulak guna bahasa orang sana ... he he he he ....

Glosari:

* Gesek - ( i ) gosok, geser
( ii ) ( Kelantan) mancis api

Jumaat, Mei 20, 2011

Keputusan MSL 2011: Felda United 1 Kelantan 3







Kelantan kembali menerajui tangga teratas Liga Super 2011 apabila menundukkan Felda United 3-1 dan pada masa yang sama, pendahulu sebelum ini Selangor kecundang 1-2 kepada T Team. Gol kelantan hadir menerusi kapten Badhri Radzi@piya dan Norshahrul Idlan Talaha @Matyo. Satu lagi gol Kelantan hadir melalui jaringan sendiri Rashid Mamud. Khairul Fahmi Che Mat bertindak cemerlang menafikan gol pendahuluan Felda apabila menyelamatkan sepakan penalti yang diambil oleh Azrul Ahmad. Kemenangan ini melonjakkan semula Kelantan ke tangga teratas liga dengan berkelebihan 1 mata. Tahniah Red Warrior.

Khamis, Mei 19, 2011

MSL 2011 : Felda United Lawan Kelantan



Kelantan yang masih segar dengan kejayaan mara ke perlawanan akhir piala FA akan berkunjung ke Cheras untuk menghadapi satu lagi perlawanan MSL 2011 menentang pasukan Felda United. Kelantan perlu menang perlawanan ini untuk terus mengejar pendahulu liga Selangor. Jika menang dan Selangor seri ataupun kalah,Kelantan akan kembali menerajui liga. Kepada pasukan Kelantan,Selamat berjuang diucapkan.

Rabu, Mei 18, 2011

Kelantan Bakal Dapat Stadium Baru



Stadium Sultan Muhammad Ke IV

Peminat bolasepak Kelantan bakal menyaksikan perlawanan bolasepak membabitkan pasukan Kelantan dalam keadaan yang lebih selesa selepas ini apabila Kerajaan Negeri pimpinan Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan Kerajaan Negeri akan membina sebuah stadium baru yang berkapasiti 40 ribu tempat duduk di tanah Kerajaan Negeri di Bukit Merbau, Pasir Puteh.

Stadium tersebut bakal dinamakan dengan nama "Stadium Red Warrior". Pengumuman tentang projek pembinaan stadium ini dinyatakan oleh Menteri Besar Kelantan itu pada 18 Mei 2011, 2 hari selepas pasukan Kelantan mengesahkan tiket ke perlawanan akhir Piala FA 2011. Sesungguhnya pengumuman ini amatlah mengembirakan penyokong pasukan Kelantan.

Catatan pengumuman tersebut dilampirkan di sini :

Kerajaan negeri Kelantan akan membina sebuah stadium yang memuatkan 40,000 orang di samping ruang masjid di merata-rata bahagiannya di Bukt Merbau, Pasir Puteh.

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Mat dalam satu kenyataan media yang dibacakan selepas Mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini.

“Saya ingin membuat pengumuman pada hari ini satu berita gembira buat rakyat Kelantan khususnya peminat-peminat sukan tanahair di mana Kerajaan Kelantan telah bersetuju untuk membina sebuah kompleks sukan bersekali dengan Bandar baru untuk kegunaan aktiviti sukan di negeri ini.

“Kompleks tersebut yang antaranya akan menempatkan sebuah stadium utama dengan kapasiti 40,000 tempat duduk bertempat di atas tanah milik kerajaan di Bukit Merbau, Pasir Puteh,” kata beliau.

Katanya, kerajaan berhasrat agar stadium yang akan dibina ini turut memuatkan ruang masjid di merata-rata bahagian yang akan membolehkan penonton-penonton solat berjemaah dengan mudah di dalam stadium.

Ini bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri yang mahukan aktiviti sukan di negeri ini tidak berpisah dari roh Membangun Bersama Islam yang menjadi dasar pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun rekabentuk secara terperinci terpulang kepada arkitek yang akan diberikan tanggungjawab ini nanti, katanya.

Menurut Nik Aziz, cadangan pembangunan stadium dan kompleks sukan ini terbuka kepada mana-mana pemaju menghantarkan cadangan atas dasar BOT iaitu bina, operasi dan pindah.

“Saya berharap dengan pembinaan kompleks sukan ini nanti, aktiviti sukan di negeri ini dapat berdaya maju dengan lebih baik ke arah membentuk masyarakat yang sihat jasmani dan rohani insya-Allah,” katanya.

Karnival Halal Negeri Kelantan 2011



Karnival Halal Kelantan bakal berlangsung pada 28 hingga 30 Mei 2011 di Kompleks Islam Darul Naim, Kota Bharu. Karnival itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti ruang pameran dan jualan selain beberapa seminar antaranya panduan restoran halal serta pensijilan halal untuk industri perhotelan.

Karnival ini dianjurkan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Isnin, Mei 16, 2011

Keputusan Piala FA 2011: Selangor 1 Kelantan 5 ( Semi Final 2 )







Kelantan berjaya melangkah ke saingan final Piala FA 2011 bertemu Terengganu apabila menewaskan pasukan Selangor dengan agregat 6-2 meskipun hanya berupaya mencatat keputusan seri 1-1. Kelantan yang membawa agregat 5-1 selepas pertembungan pertama di Shah Alam bertindak merehatkan 4 pemain utama iaitu Farisham Ismail, Zairul Fitri, Nurul Azwan dan Norshahrul Idlan. Tempat mereka diganti dengan pemain simpanan yang persembahan mereka tidak mengecewakan iaitu Rizal Fahmi, Aziz Ismail, Azuan Solahuddin dan Khalid Jamlus. Gol Kelntan terhasil menerusi sepakan kencang Shakir Shaari dari luar kotak penalti pada minit ke 9 perlawanan. Tahniah Red Warrior.