Jumaat, Jun 19, 2009

Tokoh Penulis Kelantan » Haji Umar Sungai Keladi ( 1867 - 1946 )

Salah seorang tokoh ulama Kelantan yang sangat produktif. Haji Umar dianggap sebagai pemyambung kepada tradisi penulisan kitab di Kelantan selepas dimulakan oleh dua orang tokoh ulama terdahulunya - Tok Haji Wan Ali Kutan dan Tuan Tabal.
Haji Umar Sungai Keladi atau nama lengkapnya, Haji Umar bin Ismail Nuruddin dilahirkan di Kampung Atas Banggol, Kota Bharu pada 18 Jumad al-Awwal 1284 bersamaan 17 September 1867. Ayahnya, Ismail Nuruddin adalah seorang tukang emas yang mahir dan pernah membuat ufti bunga emas kerajaan Kelantan kepada kerajaan Siam.
Pada waktu kecilnya beliau belajar agama di rumahnya sendiri di samping belajar al-Quran kepada Haji Abdul Manan Atas Banggol. Selepas itu beliau belajar di pondok Haji Awang Gemuk atau Haji Awang Alim dan kemudiannya kepada Haji Ismail Mahmud, sehinggalah apabila beliau berkahwin sewaktu beliau berusia 18 tahun (1885).
Perkahwinan awal ini telah menyebabkan beliau meninggalkan dunia pelajaran dan memasuki dunia perniagaan (menjadi pengimport kain dari Singapura). Bagaimanapun, kematian isteri beliau dua tahun kemudiannya menyebabkan beliau 'berpaling' semula kepada pelajaran. Kali ini beliau ke Makkah pula - 1305 Hijrah (1887), Di Makkah, beliau sempat belajar kepada ramai tokoh ulama' Makkah pada akhir abad ke 19 itu. Antaranya Haji Wan Ahmad bin Wan Dahhan, Sheikh Muhammad al-Khayyat, Sheikh Said al-Yamani, Sheikh Hasbullah, Syed Umar Bajunid, Sheikh Nik Mat Kechik al-Fatani, Tok Senggora, Pak Chik Daud al-Fatani dan lain-lain. Apabila beliau pulang ke Kelantan 12 tahun kemudian (1889), beliau dikenali sebagai seorang yang ahli dalam ilmu falak, fiqh, usul fiqh, ilmu-ilmu alat seperti nahwu, sarf dan balaghah, serta juga ilmu qiraat.
Untuk beberapa tahun selepas pulang dari Makkah, beliau mengajar di Masjid Besar Kota Bharu atas titah perintah Sultan Kelantan. Kemudiannya pada tahun 1913, beliau mengajar di suraunya sendiri di Sungai Keladi sebelum menerima tawaran menjadi penterjemah kitab di pejabat Majlis Ugama Islam Kelantan pada akhir 1916. Haji Umar termasuk ulama' penulis yang aktif. Antara karya tulisannya (asli dan terjemahan) ialah al-Durr al-Naqiyy fi Ma'rifat Arqam al-Hindi (1909), Jalan Sejahtera (1917), Jambangan Melayu (1917), Pengenal Kesucian (1921), 'Aqd al-Falah (1922), Tazkirat al-Awam (1923), Pelajaran Membahagi Pesaka (1923), Miflah al-Ta'lim (1924) dan Syams al-Fathiyah (1926). Kandungan buku-buku ini merangkumi berbagai-bagai bidang ilmu seperti hisab, falak, balaghah, asas fardhu ain (ibadat) dan akhlak.
Meninggal dunia pada 16hb Julai 1946.

Sumber : http://www.kelantan.edu.my/tokoh.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan