Jumaat, Jun 19, 2009

Tokoh Mufti Kelantan » Dato' Haji Mohd. Nor bin Ibrahim

Salah seorang ulama Kelantan yang terkemuka dan dianggap tokoh paling masyhur selepas Tok Kenali. Dilahirkan pada 20hb.Ogos 1905 di Kota Bharu. Beliau adalah anak kepada Haji Ibrahim Yusuff, Mufti Kerajaan Kelantan antara 1928 - 1941.
Selepas menamatkan persekolahan awalnya di Madrasah Muhammadiah Majlis Agama Islam Kelantan, beliau melanjutkan pelajaran agamanya di Mekah pada tahun 1923. Bidang ilmu yang beliau pelajari meliputi bukan sahaja ilmu-ilmu agama tradisional seperti usuluddin, fiqh, hadith, dan tafsir; tetapi juga ilmu-ilmu falak dan qiraat. Guru-guru beliau di Mekah antara lain ialah Tok Senggora, Syeikh Nuh Jamaludin di Kelantan, Syeikh Mohd. Nor Patani, Tengku Mahmud Zuhdi al-Fatani, Cher Pak Ya al-Ramani dan lain-lain.
Jawatan beliau yang pertama selepas pulang ke Kelantan ialah menjadi Qadhi Besar hingga 28hb.Oktober 1944, iaitu sehingga jawatan berkenaan dihapuskan. Antara 1949 hingga pertengahan 1965, beliau menjadi guru di Jami' Merbau al-Ismaili (kemudiaannya Maahad Muhammadi. Selang waktu antara pertengahan 1965 hingga April 1968, beliau habiskan di Masjid Negara Kuala Lumpur; berkhidmat di Kelas Tahfiz al-Quran yang baru ditubuhkan (sekarang Dar al-Quran) dan menyusun tafsir Pimpian al-Rahman yang terkenal itu.
Dilantik menjadi Mufti pada 1hb Mei 1968 berikutan kematian sahabatnya, Dato' Haji Ahmad Maher. Jawatan ini beliau sandang sehingga ke akhir hayatnya pada 13hb.Febuari 1987.
Lebih dari seorang ulama, beliau adalah seorang hafiz dan ahli falak yang terkenal, pun juga seorang penulis dan "orang alim yang menguasai bahasa Inggeris". Kemasyhuran beliau lebih banyak terserlah dalam bidang-bidang qiraat, falak, tafsir dan usuluddin, ketimbang bidang fiqh sebagaimana layaknya seorang Mufti.

Sumber : http://www.kelantan.edu.my/tokoh.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan