Khamis, Februari 11, 2010

Syarikat Muda Osman



Terdapat beberapa kedai buku tersohor di Kelantan milik bumiputera. Antaranya ialah Syarikat Muda Osman.

Syarikat Muda Osman Sdn. Bhd. (SMO) telah dipelopori oleh Allahyarham Haji Muda Osman pada awal tahun 1939. Bermula dengan perniagaan runcit, borong dan pengedaran pelbagai jenis buku dan alat tulis, Syarikat Muda Osman telah meceburi bidang pengedaran dan pemasaran rokok di sekitar daerah Pasir Mas.


Cawangan Pasir Puteh

Seterusnya Haji Muda Osman telah mengembangkan sayap perniagaan beliau ke Kota Bharu yang mana pada masa yang sama perniagaan ini telah dititihkan kepada anak-anak beliau iaitu Haji Hassan, Haji Othman dan Haji Yusoff. Di bawah pengurusan dan pentadbiran mereka, Syarikat Muda Osman telah berkembang menjadi salah sebuah syarikat bumiputera yang berjaya dan dikenali ramai serta diiktiraf keupayaannya dari aspek kewangan dan kredibiliti.

Sejajar dengan perkembangan pesat perniagaan, Syarikat Muda Osman telah diperbadankan pada 25 Ogos 1987. Peningkatan taraf perniagaan ini bertujuan untuk mengiktiraf ahli-ahli keluarga yang berkelayakan profesional dalam mentadbirkan perniagaan dan seterusnya menerajui pengurusan syarikat dalam perniagaan buku dan rokok.


Cawangan Buluh Kubu K.Bharu

SMO telah diiktiraf sebagai pengedar tunggal Dawama Sdn. Bhd. untuk buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka di seluruh negeri Kelantan di samping beberapa penerbit yang tidak asing lagi di kalangan pembaca antaranya Sasbadi, Pelangi, Oxford Fajar, MPH, Pearson, Utusan Publications dan lain-lain. SMO juga merupakan pembekal utama buku-buku teks pelajaran ke sekolah sekolah serta institusi-institusi pengajian tinggi di negeri Kelantan. Di samping itu juga SMO merupakan penaja kepada beberapa Pesta Buku Kelantan, satu acara tahunan anjuran Jabatan Pelajaran Kelantan dan Persatuan Perpustakaan Sekolah Kelantan (PUSTAKA) bagi mempromosikan buku-buku disamping menggalakkan budaya membaca di kalangan pelajar-pelajar sekolah serta kanak kanak di pelbagai peringkat usia.

Pada bulan November 1999, lanjutan dari penggabungan syarikat induk Malaysian Tobacco Company Berhad dengan Rothman International Berhad, SMO telah membuat keputusan untuk menarik diri dari bidang pengedaran rokok. Secara strategik SMO telah membuat keputusan untuk mengembangkan lagi perniagaan buku dan alat tulis dengan membuka cawangan-cawangan di sekitar negeri Kelantan dan Terengganu.


Cawangan Rantau Panjang

Sehingga ke hari ini, SMO telah mempunyai rangkaian kedai buku dan alat tulis di sekitar negeri Kelantan iaitu di Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Kuala Krai, Rantau Panjang dan termasuk satu cawangan di Jerteh, Terengganu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan