SELEPAS memperoleh kemenangan keempat berturut-turut, Kelantan kini semakin optimis untuk memburu kedudukan yang lebih selesa dalam carta Liga Super.
Malam kelmarin, Stadium Sultan Muhammed IV sekali lagi menyaksikan sang Kijang menghadirkan kegembiraan kepada penyokong mereka apabila membenam PDRM 4-0.
Penyerang prolifik Kelantan, Khalid Jamlus membuktikan kehadirannya dalam kesebelasan utama masih diperlukan apabila meledak dua gol untuk membantu Kelantan menambah derita PDRM.
Beliau yang menjadi wira ketika Kelantan menumpaskan Kuala Muda Naza (KM Naza) 1-0 di Alor Setar Sabtu lalu menjaringkan dua gol pada babak kedua perlawanan tersebut.
Disenaraikan sebagai pemain simpanan, Khalid dimasukkan pada awal separuh masa kedua menggantikan Mohd. Ailim Fahmi yang membuka tirai gol Kelantan pada minit ketujuh.
Perlawanan babak pertama yang agak hambar menyaksikan jentera tengah Kelantan yang dipimpin oleh ketua pasukan, Badri Radzi gagal menghasilkan hantaran-hantaran menarik.
Bagaimanapun, Indra Putra Mahyuddin berjaya menaikkan semula semangat penyokong Kelantan sebelum babak pertama berakhir apabila meletakkan Kelantan selesa di depan dengan 2-0.
Indra menewaskan penjaga gol PDRM, Abdul Rahman Ismail selepas menyambar bola muntah hasil rembatan Norfarhan Mohamad dengan satu sepakan lambung yang melepasi jangkauan.
Pada babak kedua, beberapa pertukaran dibuat oleh jurulatih, Peter James Butler dengan memasukkan Khalid Jamlus dan Nizad Ayub untuk menambah sengat di jentera serangan dan langkah tersebut ternyata berbaloi.
Khalid menemui sasaran pada minit ke-63 dan 80 bagi melengkapkan malam bergaya sang Kijang.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan, Azman Ibrahim memberitahu, momentum yang ada pada pasukan perlu dikekalkan.
Menurutnya, pertahanan Kelantan yang sebelum ini sering dikritik hebat sudah mula menunjukkan perubahan apabila empat perlawanan yang diharungi berakhir tanpa bolos.
"Azlan (Zainal) dan pemain-pemain pertahanan lain sudah mula mempamerkan aksi sebenar dan kita harap ia kekal sehingga ke saingan Piala Malaysia.
"Khalid (Jamlus) juga sudah semakin menemui rentak. Walaupun bertindak selaku 'super-sub' namun beliau masih terus menyumbangkan gol untuk pasukan," ujarnya.
Khamis, Jun 25, 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan