Jumaat, Jun 19, 2009

Tokoh Penulis Kelantan » Dato' Laksamana

Tokoh yang dikenali dalam dua bidang utama - pentadbiran dan kewartawanan - lahir pada tahun 1889 di Kota Bharu. Beliau ialah anak sulung kepada Khatib Masjib Besar Kota Bharu, Dato' Haji Muhammad Said (Dato' Sri Diraja).
Selepas mendapat pendidikan asas di Kota Bharu, beliau berangkat ke Makkah pada 1902, berguru, antara lain, kepada tokoh-tokoh seperti Tok Wan Ali Kutan, Sheikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain al-Fatani dan Sheikh Nik Mat Kechik al-Fatani. Selepas 8 tahun di Makkah, beliau menyambung pelajaran di Mesir selama 4 tahun pula. Semasa di Mesir, beliau diketahui sangat terpengaruh dengan aliran pembaharuan (reformasi atau tajdid) anjuran tokoh reformis Mesir yang sangat terkenal, Muhammad Abduh dan muridnya, Rashid Ridha. Pulang ke Kelantan pada Oktober 1914.
Haji Muhammad termasuk dalam senarai tiga orang tokoh besar negeri Kelantan yang mengasaskan penubuhan Majlis Ugama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bersama-sama dengan Dato' Perdana Menteri Paduka Raja Haji Nik Mahmud dan Tok Kenali. Selepas MAIK rasmi ditubuhkan pada 24 Disember 1915, beliau dilantik menjadi Setiausahanya yang pertama sehingga 1919.
Kerjaya beliau dalam pentadbiran selanjutnya ialah menjadi Penolong Setiausaha Negeri Kelantan pada 1 Januari 1917 dan Naib Yang Dipertua MAIK mulai 13 Ogos 1919. Puncak kerjaya beliau dalam bidang pentadbiran diraih pada 12 September 1925 apabila beliau dilantik menjadi penyandang sulung jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.
Selain terlibat dalam bidang pentadbiran, Haji Muhammad yang bergelar Dato' Laksamana pada bulan Julai 1921 juga aktif dalam bidang penulisan dan kewartawanan. Antaranya ialah menjadi pengarang Pengasuh bagi tempoh yang cukup lama (Oktober 1919 - Disember 1933), pengarang bersama majalah bulanan al-Kitab (1920) dan penulis bagi buku-buku seperti Rampai-Rampaian (2 penggal), sebuah novel saduran berjudul Kecurian 5 Million Ringgit (Januari 1922) dan 5 buah buku dalam bahasa Arab yang tidak sempat dicetak.Senarai ini tidak termasuk puluhan tulisan beliau dalam Pengasuh di bawah pelbagai nama pena seperti Pengarang Pengasuh, Hashim bin Muhammad dan "Patriot".
Dato' Laksamana yang pernah digelar "Bapa Wartawan Melayu Kelantan" ini meninggal dunia pada hari Isnin, 20hb.Mac 1939 sewaktu berusia 50 tahun.

Sumber : http://www.kelantan.edu.my/tokoh.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan