Jumaat, Jun 19, 2009

Long Gafar pahlawan berpengaruh Kelantan

LONG Gafar adalah seorang pahlawan yang mempunyai pengaruh dan peranan penting dalam memastikan kesinambungan pemerintahan Almarhum Long Yunus Long Sulaiman di Kelantan dari 1762 hingga 1794.

Pahlawan itu bukan saja memastikan berjaya mengembalikan tampuk pemerintahan Kelantan kepada Long Yunus selepas dirampas Long Deraman pada 1756, malah membantu Yang Dipertuan Terengganu menang dalam pertaruhannya dengan Panglima Bugis.

Putera Raja kerajaan Reman yang bersempadan dengan Perak, Kelantan dan Thailand ketika itu mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Kelantan.

Long Gafar diamanahkan menjaga kawasan Reman dan berkuasa mengutip hasil cukai serta melaksanakan undang-undang kecuali hukuman bunuh.

Menariknya, beliau mempunyai satu hobi iaitu menyabung ayam dan kegemarannya itu jugalah yang membantu kerajaan Terengganu menang dalam pertaruhannya dengan Panglima Bugis.

Ia bukan sebarang perlawanan kerana membabitkan pertaruhan negeri dan harta. Ketika Panglima Bugis yang tinggal di Pahang datang ke Terengganu, beliau membuat perjanjian pertaruhan dengan Yang Dipertuan Terengganu.


MAKAM dipercayai milik Long Gafar yang terletak di Kampung Limbat.
Pertaruhan itu membabitkan perjanjian berbunyi ‘Jika kalah ayam Panglima Bugis, maka seluruh tujuh buah jong kepunyaannya serta muatannya akan diserahkan kepada Yang Dipertuan Terengganu. Jika ayam Yang Dipertuan kalah, maka kawasan negeri Terengganu mulai dari Seberang Takir hingga ke Kuala Setiu, dan 2,000 ela ke darat akan diserahkan kepada Panglima Bugis’.

Disebabkan pertaruhan itu besar, maka Yang Dipertuan Terengganu mengarahkan panglimanya mencari ayam sabung yang gagah ke seluruh pelusuk negeri termasuk negeri jiran, Kelantan.

Selepas mendapat khabar mengenai pertaruhan itu, Long Gafar datang ke Terengganu bertemu Yang Dipertuan dan kehadirannya disambut baik.

Ayamnya diberi nama ‘Bekas Racun’ yang mewakili kerajaan Terengganu menang dalam pertarungan dengan ayam Panglima Bugis. Selepas pertandingan itu, beliau dianggap penyelamat Terengganu.
Beliau juga bertanggungjawab mengembalikan hak kuasa pemerintahan Kelantan kepada Long Yunus pada 1756. Atas sumbangan serta keberaniannya, beliau dikurniakan pangkat dan kuasa.

Berdasarkan sejarah lisan, Long Gafar yang digelar Engku Serimahraja Perdana Menteri pernah tinggal di Kampung Jeram, Pasir Puteh dan berpindah ke Kampung Limbat lalu membina istana di situ.

Kampung Limbat pula dikatakan mendapat nama sempena seekor ikan ‘Limbat’. Long Gafar pernah membina istananya di situ yang diperbuat daripada kayu serta mempunyai kelengkapan perang dan bedil.

Di dalam kota istana, terdapat kolam membela ikan Limbat serta seekor belut putih. Tapak istana seluas dua ekar (0.8 hektar) itu kini dikatakan dipenuhi kelapa dan durian. Bahkan, kubur Long Gafar juga terletak di Kampung Limbat, Jalan Pasir Puteh.

Beliau juga pernah membina Istana Galoh untuk Long Yunus dan Kampung Galoh, Pengkalan Lisir, Kampung Sireh di Kota Bharu pada 1782.

Sebagai mengenang jasa dan sumbangannya, dua sekolah ditukar nama sempena nama Long Gafar.

Menjejak makam Long Gafar di Kampung Limbat memerlukan bantuan penduduk untuk mengenal pasti lokasinya kerana tiada sebarang petunjuk mengenai pusara itu.

Tinjauan mendapati, makam pemimpin itu kelihatan terbiar tanpa sebarang penjagaan sempurna. Dalam perjalanan ke makam yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Kota Bharu itu, dua sekolah yang terletak kira-kira tiga kilometer dari situ, dinamakan sempena nama beliau.

Sekolah Kebangsaan (SK) Long Gafar dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Gafar, melambangkan ketokohan beliau sebagai tokoh pemerintah tersohor. Sekolah menengah itu terletak kira-kira setengah batu (hampir satu kilometer) dari kubur Long Gafar.

Sumber : Berita harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan