Jumaat, Jun 19, 2009

Tokoh Mufti Kelantan >> Haji Wan Muhamad bin Haji Abdul Samad

Abang kepada Haji Wan Musa (Mufti Kerajaan Negeri Kelantan yang ke -3). Mulai menjadi Mufti pada 21hb Ogos 1916 menggantikan tempat adiknya yang telah meletak jawatan.
Haji Wan Muhamad ialah putera sulung Tuan Tabal. Lahir pada akhir September 1870, beliau pada mulanya memperoleh pendidikan agama asas daripada ayahnya sendiri sebelum berangkat ke Mekah untuk berguru kepada Tok Wan Ali Kutan, Syeikh Wan Ahmad bin Wan Mohd. Zain al-Fatani, Tok Saruji serta belajar silat dengan Kasim Betawi.
Pada mulanya beliau dilantik menjadi Imam Muda Masjid Besar, Kota Bharu (November 1896) dan kemudiannya selepas kematian Haji Nik Wan Daud pada penghujung tahun 1907, meningkat menjadi Imam Tua. Kerana tugas lamanya ini, meskipun setelah dilantik menjadi Mufti, beliau tetap disapa dengan panggilan lamanya Imam Haji Wan Muhamad. Dilantik menjadi Anggota Mesyuarat Majlis (MAIK) yang pertama pada 1915 bersama-sama dengan Tok Kenali dan Haji Muhamad bin Tok Khatib Haji Muhamad Said (kemudiannya dikenali dengan nama Dato' Laksamana), di samping menjadi Hakim Mahkamah Syariah Kelantan, Pengerusi Jemaah Ulamak dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Walaupun sibuk dengan tugas-tugas rasmi ini, Mufti Haji Wan Muhamad masih sempat meneruskan kegiatan mengajar di surau peninggalan ayahnya.
Masyhur dengan kepandaiannya dalam permainan silat tongkat dan tekpi (sejenis seni mempertahankan diri cara India), Mufti Haji Wan Muhamad kadang-kadang digelar juga "Tok Gajah" atau "Haji Wan Muhamad Gagah" kerana kegagahannya. Kerana kegagahannya, beliau dilaporkan pernah mengepit leher kuda tunggangannya dalam keadaan tubuh beliau tidak berganjak, sedangkan kuda itu menggelupur. Beliaulah yang memberi nama timangan "Darul Naim" kepada negeri Kelantan yang dipakai sehingga sekarang.
Meninggal dunia pada malam Rabu 7hb.Disember 1920 sewaktu berusia 50 tahun.

Sumber : http://www.kelantan.edu.my/tokoh.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan