Bank Kerapu
Bank Kerapu ialah tempat yang menarik untuk memulakan penemuan Perang Dunia Kedua di Kelantan. Bank Kerapu menyimpan dokumen dan gambar berkaitan ketenteraan semasa Perang Dunia Kedua. Semasa pendudukan Jepun dari 1941 - 1945, bangunan tersebut dijadikan sebagai pejabat tentera Jepun. Di dalam bangunan ini juga terdapat pedang orang Jepun, rangka mortar dan kapal selam. Tidak ketinggalan juga dokumen kronologi perang di kelantan. Bangunan bersejarah ini dibina pada 1912 sebagai bank pertama iaitu "Mercantile Bank Group" dan merupakan bangunan pertama diperbuat daripada konkrit di Kelantan.Permukaan dindingnya yang kasar dan tidak rata menyebabkan ia dikenali sebagai 'Bank Kerapu'. Semasa perang, bangunan ini dijadikan ibu pejabat polis rahsia Jepun (Kempetai). Pada tahun 1992, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan menjadikan bangunan ini sebagai Memorial Perang Dunia Kedua di Kelantan.
Bank Pitis
Bank Pitis adalah merupakan sebuah bangunan batu tertua yang terletak di luar pintu masuk ke Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan. Bangunan ini telah dibina pada zaman pemerintahan Sultan Muhammaad III (Long Kundur bin Sultan Ahmad 1889- 1890). Tujuan utama bangunan ini adalah untuk menyimpan pitis-pitis (pitis dalam dialek Kelantan bermaksud wang) perbelanjaan negeri Kelantan pada masa itu.
Bangunan ini berbentuk empat segi sama dengan berukuran 12 kaki lebar dan tingginya 12 kaki. Daun pintunya diperbuat daripada kayu cengal dan dipasang dengan tiga penyelak (kunci) yang diperbuat daripada besi.
Pemerintah Kelantan, Sultan Muhammad IV pada tahun 1903 telah menghantar "pohon duit" kepada Raja Siam. Pada masa itu, Kelantan masih merupakan negeri di bawah perlindungan Siam. "Pohon Duit" ini juga dikenali sebagai Pohon Pitis. Berdasarkan dialek Kelantan, "pohon" merujuk kepada "pokok" manakala "Pitis" atau "Pitih" pula merujuk kepada wang. Berdasarkan sejarah, Kelantan menggunakan Pitih sebagai matawang sehingga tahun 1920.
"Pohon Pitis" Kelantan dibuat daripada logam timah yang mengandungi 13 syiling menggunakan teknologi acuan yang diperkenalkan oleh pedagang dari China. Pada bahagian muka syiling tertulis “Thuriba Fi Zul-Hijjah Sanat 1321” bermakna bulan Zul–hijjah 1903 dan dibelakangnya pula tertulis perkataan “Belanjaan Kerajaan Kelantan” untuk mengesahkan bahawa ianya adalah matawang rasmi kerajaan Kelantan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan