Isnin, Oktober 12, 2009
Rakyat Kelantan Disaran Ternak Merpati : MB
KOTA BHARU - Rakyat di negeri ini disaran mengusahakan ternakan merpati kerana ia dikatakan mampu memberikan pulangan yang lebih lumayan berbanding perusahaan menternak burung puyuh.
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ternakan burung merpati memberi pulangan pendapatan yang lebih baik dan menguntungkan jika dijual secara meluas di pasar tani yang banyak terdapat di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak berwajib di sektor pertanian supaya mencari pendekatan yang sesuai menerusi kaedah teknologi tinggi bagi menggalakkan rakyat negeri ini, khasnya petani menceburkan diri dalam berkenaan.
“Sewaktu di Mesir saya melihat orang Mesir menjalankan perusahaan ternakan burung merpati secara besar-besaran. Selain makan telur, orang Mesir juga memakan anak burung merpati yang dipercayai banyak khasiatnya.
“Mereka tak makan burung merpati tua sebaliknya makan anak burung merpati. Rasanya sedap dan khabarnya kolesterol pun belum ada lagi. Kita di Kelantan hanya pelihara burung puyuh dan makan telur puyuh. Selain itu kita juga makan burung puyuh tua, sudah pencen tak sedap,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pasar Raya Nirwana Maju, di Pekan Baru Kubang Kerian dekat sini, semalam.
Hadir sama pada majlis itu, pemilik Kubang Kerian Square, Chua Siew Seng dan Pengarah Urusan Nirwana Group, Ng Chong Keong.
Nik Aziz berkata, pertumbuhan Pasar Tani Fama di Kelantan yang kini berjumlah 17 buah mampu meraih kutipan jualan berjumlah RM17 juta setiap tahun.
“Jika ternakan burung merpati ini dapat digalakkan, ia akan meningkatkan lagi jumlah kutipan nilai jualan yang bakal memberi pulangan terus kepada petani,” katanya.
Menurutnya, walaupun bangunan pasar raya kini berjumlah 10 buah di Kelantan namun ia tidak menjejaskan peluang peniaga kecil.
“Ini menunjukkan kuasa membeli rakyat Kelantan kini masih tinggi walaupun Kelantan dianggap mundur dan tidak membangun.
“Penubuhan Pasar Raya Nirwana Baru ini merupakan jawapan praktikal kepada tuduhan-tuduhan yang mendakwa Kelantan di bawah pentadbiran Pas mundur dan tidak membangun sebagaimana negeri lain,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Burung Patti pulak...burung layang (walit) banyak dipelihara diKB..atas bangunan kedai di KB dijadikan sarang burung layang..diubahsuai ..kotor macammana MPKB terlepas pandang atau rasuah...tak boleh pelihara burung secara gini di kawasan penempatan manusia..
BalasPadam