Memaparkan catatan dengan label Budaya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Budaya. Papar semua catatan

Sabtu, Februari 05, 2011

Ikan Sepilai



Ikan Sepilai ni mudah dijumpai di baruh atau petak-petak sawah. Budak-budak sering menangkap ikan ini untuk dijadikan ikan laga. Namun sekarang budak-budak mungkin ada yang tidak mengenali ikan ini kerana peredaran masa.

Selasa, Ogos 31, 2010

Sambutan Hari Kemerdekaan Di Kelantan Meriah

Lebih 4,000 orang hadir pada sambutan Hari Kemerdekaan serta Majlis Khatam al-Quran dan Iftor Perdana yang diadakan di Qaryah Ramadan di pekarangan Masjid Sultan Mohamad IV.

Kedua-dua program tersebut diadakan secara serentak kerana Hari Kemerdekaan negara pada tahun ini kebetulan disambut pada bulan Ramadan.

Biar pun tiada pertunjukan bunga api serta persembahan muzikal, sambutan ambang kemerdekaan diadakan dengan meriah dalam suasana kesederhanaan.

Program tersebut bermula seawal pukul 4.30 petang semalam dengan majlis khatam al-Quran secara beramai-ramai melibatkan 3,000 pelajar dari sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama timbalannya, Datuk Ahmad Yakob, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Aiseri Alias dan seluruh pimpinan kerajaan negeri termasuk pegawai serta kakitangan kerajaan negeri turut hadir sejak program tersebut bermula.

Sebaik selesai majlis khatam al-Quran, majlis disambung dengan acara berbuka puasa secara beramai-ramai, solat maghrib, isyak dan tarawih berjemaah, di padang stadium yang sama.

Solat jemaah dibimbing oleh qari tahfiz al-Quran dari Mesir, Syeikh Ahmad Rejab Yasin Al-Fayuni yang diberi tanggungjawab membimbing solat tarawih sepanjang bulan puasa ini di Qaryah Ramadan.

Dalam mencetuskan kelainan sambutan Hari Kebangsaan, kerajaan negeri mengadakan forum perdana Ramadan dengan membariskan ahli panel terdiri dari Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah; dua pendakwah bebas, Nik Muhamad Zawawi Salleh dan Dr. Zulkifli Muhamad Al-Bakri.

Forum yang berlangsung kira-kira dua jam itu mengupas satu topik khusus mengenai kemerdekaan dari perspektif agama berjudul 'Menghayati Kemerdekaan Sejati' dipengerusikan oleh pendakwah bebas negeri ini, Kamal Ashaari.

Secara keseluruhan sambutan ambang kemerdekaan bagi negeri Kelantan pada tahun ini disambut dalam suasana penuh kesederhanaan dengan kemuncaknya acara penyerahan bendera jalur gemilang daripada anggota angkatan tentera kepada Nik Abdul Aziz.

Manakala gimik detik 12 malam direalisasikan dengan laungan azan kemudian diikuti nyanyian lagu Negaraku.

Rabu, Julai 21, 2010

Kelantan Juara Pesta Wau



Kelantan muncul juara keseluruhan mengatasi Wilayah Persekutuan pada kejohanan Pesta Wau Antarabangsa 2010 yang berlangsung di Pantai Irama, Bachok kelmarin.

Kejohanan yang memasuki edisi ke-28 ini, memperkenalkan beberapa acara baru seperti wau tahan lasak, pertandingan wau atas perahu dan menerbangkan 1,000 wau secara serentak.

Jumaat, Julai 02, 2010

Pesta Wau Jemputan Antarabangsa 2010



Kerajaan Kelantan dengan kerjasama Persatuan Pelayang Negeri Kelantan dan Majlis Pelayang Malaysia akan menganjurkan Pesta Wau Jemputan Antarabangsa Kelantan 2010 di pusat peranginan Pantai Irama, Bachok, dekat sini mulai 15 Julai.

Pesta wau kali ini diubah lokasinya ke Pantai Irama setelah sebelum ini diadakan di kawasan peranginan Pantai Seri Tujuh, Tumpat sejak ia diperkenalkan 27 tahun lepas.

Selasa, Jun 08, 2010

Kelantan Fiesta 2010



Kelantan dijangka mencipta dua rekod dalam Malaysia Book Of Record melalui persembahan daripada 1,001 pesilat dan pembuatan gendang terbesar pada Fiesta 2010 Kelantan yang bakal berlangsung pada 16 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, persembahan itu merupakan antara acara terbesar yang akan menghiasi fiesta itu yang diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke IV.

”Fiesta ini adalah satu lembaran baru buat rakyat Kelantan kerana ia bukan sekadar julung kalinya diadakan di negeri ini tetapi ia merupakan jalinan kerjasama buat pertama kalinya dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dengan sebuah syarikat swasta, Red Carpet World Wide Sdn Bhd dan mendapat sokongan dari kerajaan persekutuan.

”Program ini menekankan kepada aspek keperluan rakyat sebagai contoh adanya Education-Fair bagi memberi maklumat mengenai pendidikan tinggi dan kerjaya yang akan disertai oleh Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi,” katanya kepada pemberita semalam.

Selain itu katanya, turut diberi penekanan pada program itu ialah aspek perdagangan yang akan disertai Kementerian Perdagangan dan Industri Asas Tani.

Takiyuddin berkata, majlis perasmian Fiesta itu yang akan berlangsung pada malam 16 Jun itu juga diadakan secara besar-besaran apabila perasmiannya disempurnakan oleh Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra dengan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Khamis, Jun 03, 2010

Musim Bekwoh



Cuti sekolah selama 2 minggu yang bermula hari ini di Kelantan, menandakan akan ada banyak undangan "makan gulai" atau "bekwoh". Berbeza dengan majlis kenduri kahwin di negeri lain yang hanya diadakan pada cuti hujung minggu sahaja, kenduri bekwoh di Kelantan boleh dikatakan diadakan pada setiap hari terutamanya pada waktu cuti sekolah.

Jumaat, April 30, 2010

Pesta Unggas Antarabangsa Kelantan 1 Mei



Lebih 800 burung candik dan ayam serama akan diperaga dan dipertandingkan dalam Pesta Unggas Antarabangsa Kelantan 2010 di Arena Candik Sri Cemerlang di sini pada 1 Mei ini.

Pesta kali keenam ini akan melibatkan penyertaan masyarakat pelbagai kaum di negara ini yang mempunyai kegemaran serupa.

Pesta yang dimuatkan dalam kalendar pelancongan ini mempunyai daya tarikan tersendiri di kalangan pelancongan kerana keunikannya.

Pesta ini diadakan dengan kerjasama Persatuan Seni Suara Burung Candik dan Kelab Peminat Warisan Kesenian dan Kecantikan Ayam Serama Kelantan.

Lapan kategori dipertandingkan untuk ayam serama iaitu serama A (berat tidak melebihi 350 gram), serama B (berat melebihi 351 gram), serama tanpa lawi (ayam tua dan lawi tidak melebihi ekor), serama muda, serama remaja, serama induk, serama anak A dan serama anak B.

Pertandingan seni suara burung candik pula melibatkan gaya burung, air suara burung dan hujung suara burung.

Di samping itu, bagi menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara, hidangan nasi 100, permainan kertok dan rebana serta pertandingan seni suara burung murai juga akan diadakan pada pesta itu.

Isnin, Januari 18, 2010

Seni Silat Cantik


Seni silat merupakan salah satu khazanah bangsa Melayu yang masih wujud hingga kini. Jika dikaji terdapat beratus-ratus jenis aliran seni silat di Negara ini. Masing-masing mempunyai nama yang unik dan gaya persilatan yang hebat. Namun tahukah anda bahawa di negeri cik siti wan kembang ini juga terdapat sejenis seni silat yang amat cantik dan menarik.
Seni silat yang dimaksudkan itu ialah Seni Silat Cantik atau Silat Jatuh. Ianya menjadi sangat unik kerana hanya dapat dilihat dan dipelajari di negeri ini sahaja dan ia amat terkenal di negeri Kelantan. Namun asal usulnya masih belum diketahui dengan jelas kerana tidak ada sejarah bertulis mengenainya.
Seni silat ini mengabungkan keindahan gaya gerakan tari silat dan juga kehebatan pesilat menewaskan lawannya. Diawal pembelajaran, murid-muird akan diajar cara bertari silat dengan baik terlebih dahulu. Apabila tari sudah kemas dan cantik, diajar pula cara bertapang (tapak empat). Ia adalah cara bertari sambil melangkah dalam 4 penjuru. Setelah boleh bertari dan bertapang barulah diajar cara berlawan(bergomol). Didalam silat ini tujuan bertarung adalah untuk menjatuhkan pihak lawan. Teknik-teknik seperti tumbukan dan tendangan adalah dilarang sama sekali. Ia hanya menggunakan kebijaksanaan pesilat untuk menjatuhkan lawan mereka. Jika dilihat secara kasar ianya sama seperti seni bela diri dari jepun seperti sumo dan judo.
Silat cantik biasanya diajar di dalam bangsal yang berdekatan dengan rumah guru yang mengajar. Tempoh belajarnya pula biasanya 2-3 bulan sahaja, namun jika anak murid ingin terus menambah ilmu boleh datang berjumpa guru untuk belajar. Yang uniknya juga tentang silat ini, ia juga turut dipertandingkan. Biasanya ia diadakan apabila ada acara tomoi dilangsungkan. Pesilat akan berlawan diatas gelanggang yang sama digunakan oleh ahli tomoi. Ia secara glamornye disebut stage oleh orang-orang Kelantan. Silat cantik juga banyak dipersembahkan di majlis-majlis perkahwinan dan juga dalam upacara menyambut orang-orang kenamaan di Kelantan. Biasanya ketika majlis perkahwinan permainan silat ini kelihatan agak nakal dan lucu kerana bertujuan untuk menghiburkan tetamu yang hadir.

Sumber : http://www.kelantandarulnaim.com

Isnin, Januari 04, 2010

Jumaat, Oktober 09, 2009

Gelanggang Seni


Dalam mengejar erti pembangunan kerajaan Kelantan juga tidak pernah mengabaikan seni warisan budaya rakyat negeri ini. Sehubungan dengan itu, Gelanggang Seni yang terletak di Jalan Sultan Mahmud iaitu kira-kira 2 km dari pusat bandar Kota Bharu diwujudkan.

Pusat ini sentiasa menjadi daya tarikan kepada para pelancong dan kepada anak-anak Kelantan yang cintakan seni warisan bangsa untuk berkampung dan mempersembahkan persembahan masing-masing. Antara persembahan yang masih digemari dan kerap diadakan ialah dikir barat, Rebana Ubi, permainan gasing, dan wau bulan. Persembahan ini diadakan pada hari Rabu setiap minggu secara bergilir-gilir.

Sabtu, September 26, 2009

Kedai Kopi


Permandangan di atas adalah senario biasa yang dapat dilihat pada waktu pagi di hampir setiap pelosok negeri Kelantan. Masyarakat Kelantan tanpa mengira pangkat menjadikan kedai kopi sebagai medan pertemuan. Disinilah mereka menjamu selera sambil berbincang tentang topik politik, masyarakat dan isu-isu semasa dalam dan luar negara.Biasanya sambil menghirup secawan kopi atau teh o panas dan menikmati nasi berlauk, mereka juga menjadikan kedai kopi tempat perbincangan untuk memulakan sesuatu kerja seperti gotong-royong dn sebagainya.

Dikir Barat


Dikir barat merupakan satu persembahan kebudayaan negeri Kelantan yang disampaikan secara berkumpulan.
Elemen asas dalam kumpulan dikir barat adalah dua teraju utamanya , iaitu Tukang Karut dan Tok Juara. Setiap kumpulan biasanya diketuai oleh seorang Tukang Karut dan Tok Juara akan mendahului nyanyian sambil berbalas-balas pantun dan diikuti oleh aawak-awak sebagai suara latar dengan suara yang lantang dan kuat.
Tok Juara ialah penyanyi utama kumpulan dikir dan biasanya berperanan memulakan persembahan diikuti Tukang Karut. Tidak seperti Tok Juara, Tukang karut akan berinteraksi dengan penonton menerusi gelagatnya. Tukang karut perlu bijak memberikan persembahan menghiburkan sesuai dengan fungsinya sebagai penghibur. Awak-awak pula biasanya akan menyanyikan korus pada dikir. Mereka akan menyanyi dan menari dalam keadaan duduk mengikut irama yang didendangkan oleh dua teraju utama itu tadi.
Dikir barat di Kelantan dipercayai dipelopori oleh Pak Teh Tapang, Pak Ku Mat, Seman Wau Bulan, Husin Gelang Mas, jusoh Kelong, Daud Bukit Abal dan Arifin Ana. Kemudian generasi bau terdiri daripada penyanyi dikir antaranya seperti Halim Yazid, Cikgu Sulizi Awang, Cikgu Naim, Zaidi Buluh Perindu, Mat Glamour dan Megat Nordin

Halim Yazid

Cikgu Sulizi

Ahad, September 06, 2009

Pesta Songkran

Perkataan "Songkran" adalah dari bahasa sankrit yang membawa maksud peralihan atau hijrah dalam bahasa Arab. Hari Songkran merupakan hari peralihan tahun atau tahun baru mengikut kalendar lama Siam. Kebiasaannya hari Songkran disambut pada 13 April bersamaan khen 1 kham dean 5 (mengikuti kelender lama Siam) setiap tahun. Pesta sambutan hari Songkran ini dirai begitu meriah sekali oleh masyarakat Siam di seluruh dunia. Sementara di Malaysia, pesta ini disambut di kawasan penempatan Masyarakat Siam iaitu di Daerah Tumpat

Secara tradisi, pesta Songkran disambut dengan golongan muda termasuk kanak-kanak memohon maaf serta meminta restu terutama ibubapa, guru dan sami. Sebagai lambang kemaafan, golongan tua akan dimandikan dengan menyiram air bersih dan wangi-wangian di atas tapak tangan, kaki dan seterusnya anggota badan yang lain. Bagaimanapun, golongan muda perlu meminta kebenaran terlebih dahulu sebelum berbuat demikian. Sewaktu dimandikan, golongan tua akan mendoakan kebahagiaan terhadap generasi muda atau anak serta cucu mereka. Selepas itu, golongan tua akan dikenakan pakaian baru dan bersih.