Memaparkan catatan dengan label Sejarah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sejarah. Papar semua catatan

Rabu, Februari 02, 2011

Novel Tok Janggut



Sebuah buku yang menceritakan perjuangan Tok Janggut membebaskan negeri Kelantan daripada penjajah Inggeris. Buku hasil karangan Abdul Latip Talib yang diterbit oleh PTS LITERA UTAMA SDN BHD ini wajar dibaca oleh semua lapisan umur yang ingin mengetahui sejarah penentangan Inggeris di bumi Cik Siti Wan Kembang ini.

Khamis, Disember 02, 2010

Lebuhraya Timur-Barat



Lebuhraya Timur Barat merupakan lebuhraya yang menghubungkan Gerik di Negeri Perak dengan Jeli di Kelantan. Projek raksasa ini menelan belanja RM296 juta bagi memudahkan perhubungan darat antara pantai timur dengan pantai barat Semenanjung Malaysia.

Lebuh raya ini sepanjang 123 kilometer melibatkan 61 km di negeri Perak dan baki jarak pula di negeri Kelantan. Ia menjadikan perjalanan lebih pantas dan membantu pertumbuhan ekonomi, bukan sahaja di Perak malah di seluruh negara. Operasi membalak lebih mudah. Kawasan penempatan baru dibuka di sepanjang lebuh raya. Sebelum lebuh raya ini dibuka pada 1 Julai 1982, jarak perjalanan dari Alor Setar ke Kota Bharu adalah melebihi 1,000 km tetapi dengan adanya lebuh raya ini, jarak perjalanan telah dipendekkan sebanyak beberapa ratus kilometer.



Lebuhraya Timur-Barat mula dibina pada tahun 1967. Proses pembinaannya kerap kali terganggu akibat perbuatan khianat pengganas komunis yang sering sahaja menyerang hendap pekerja binaan sepanjang Perang Insurgensi Komunis ataupun Darurat Kedua dari tahun 1967-1989, menyebabkan pembinaan lebuh raya ini memakan masa yang sangat panjang. Malah, semasa lebuh raya ini dibuka pun pihak tentera mengawal ketat lebuh raya ini dan pemandu hanya boleh menggunakan lebuh raya ini pada waktu siang sahaja dan perlu melapor diri setiap kali menggunakannya.

Sistem kawalan keselamatan yang ketat dimansuhkan setelah pihak komunis menyerah diri sepenuhnya pada tahun 1989. Sebuah tugu peringatan dibina oleh Jabatan Kerja Raya di Pulau Banding bagi menghormati para pekerja yang terkorban akibat serangan hendap komunis sepanjang pembinaan Lebuhraya Timur-Barat.

Khamis, Oktober 21, 2010

20 Tahun Pas di Kelantan



Samada sedar atau sebaliknya, usia kerajaan PAS Kelantan kini sudah mencapai 20 tahun. Ia merupakan kelansungan pentadbiran Kerajaan Negeri yang berlangsung sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-8 pada 21 Oktober 1990. Hari ini 21 Oktober 2010 maka genaplah 20 tahun usia pentadbiran PAS di Kelantan. Selama itulah juga Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menjawat jawatan Menteri Besar Kelantan.

Sepanjang 20 tahun menerajui pentadbiran negeri, telah tersurat bahawa Negeri Kelantan mempunyai identiti yang tersendiri, sementelah telah banyak menerajui dan memimpin perubahan serta mendahului di dalam pelbagai aspek pembangunan. Ia merupakan suatu nilai kejayaan kepimpinan YAB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, selaku Menteri Besar.

Rabu, April 21, 2010

Maahad Muhammadi (Lelaki) Pengkalan Chepa



Maahad Muhammadi Lelaki (MML) merupakan sebuah sekolah menengah agama arab terkemuka di Kelantan yang kini terletak di jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. Sekolah ini kini berada di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan yang berpusat di Nilam Puri. Selama sekolah ini ditubuhkan, banyak kejayaan dan kecemerlangan yang dicapai oleh warganya. Hasil dari kejayaan dan kecemerlangan tersebut telah menjadikan Maahad Muhammadi Lelaki menjadi semakin gah dan terkenal di setiap peringkat terutamanya dari segi kurikulum dan kokurikulum. Pendidikan multisistem atau lebih senang dikenali dengan istilah serampang dua mata yang dijalankan mempunyai misi penting dalam menghasilkan intektual berilmu agama di samping ilmu akademik yang membolehkan para pelajar berjaya di dunia dan akhirat.

Nama Maahad Muhammadi memang tidak dapat dipisahkan lagi daripada sejarah pendidikan dan penyebaran keilmuan di Kelantan khususnya dan nusantara amnya. Ia merupakan sebuah institusi pendidikan ugama yang berpengantar Bahasa Arab yang terulung dan tertua di negeri ini. Ianya telah mengeluarkan ribuan ulama', cendikiawan, negarawan, usahawan, teknokrat, penulis dan ahli-ahli politik yang matang dan berjaya. 1 April 1937 merupakan tarikh keramat bagi warga Maahad Muhammadi kerana tarikh tersebut merupakan tarikh penubuhan Maahad Muhammadi. Maahad Muhammadi ditubuhkan pada hari Khamis bersamaan 20 Muharram 1356 dengan ampuni perkenan dan titah Baginda Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Ismail Ibni Al-Marhum Al-Sultan Muhammad IV, Al-Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan Darulnaim.

Isnin, April 05, 2010

Suluk Tok Selehor



Merupakan tempat beribadah atau pertapaan seorang Wali yang digelar Tok Selehor atau nama sebenarnya Abd. Rahman bin Othman. Lokasi perletakannya adalah di Tanah Perkuburan Kok Pasir yang dibuat seperti lubang kubur dimana saiznya hampir sama dengan kubur yang dibina untuk beribadat kepada Allah S.W.T.

Pondok ini didirikan pada penghujung abad ke 19. Beliau juga telah mendirikan sebuah madrasah untuk mengajar murid-muridnya. Tok Selehor seorang yang zuhud dan warak, beliau bimbang hatinya menjadi angkuh dan riak. Oleh itu, beliau membuat suatu lubang khas di antara perkuburan Kampung Selehor (berhampiran madrasah) untuk tempat "SULUK" agar beliau sentiasa ingatkan mati. Tempat tersebut masih kekal hingga ke hari ini.

Kini madrasah yang pernah beliau jadikan tempat mengajar ini telah dinaikkan taraf menjadi masjid dan kini dikenali dengan nama Masjid Tok Selehor.

Selasa, Mac 23, 2010

Pondok Limbat



Dalam sejarah pendidikan Islam di Malaysia, Kelantan terkenal dengan perkembangan pendidikan yang melahirkan ulama berwibawa.

Kelantan dipercayai di antara negeri yang mula mewujudkan sistem pondok. Pondok pertama didirikan pada 1820 oleh Abdul Samad Abdullah (Tok Pulai Chondong), diikuti Pondok Tok Bachok (1900), Pondok Haji Abdul Malik Tumpat (1907), Pondok Haji Yusuf Pulau Ubi, Geting Tumpat (1908), Pondok Kubang Pasu Kota Bharu (1900), Pondok Sungai Budor, Pondok Kampung Banggol, Pondok Tuan Padang dan Pondok Tok Semian yang diasaskan oleh Wan Abdul Samad Mohd Salleh atau lebih dikenali Tuan Tabal.

Antara pondok yang mendapat sambutan `dan mempunyai murid yang ramai selepas 1930 ialah Pondok Terusan Pasir Tumbuh yang ditubuhkan pada 1954.

Pondok ini dinamakan Madrasah Diniah Bakriah yang juga dikenali dengan nama Pondok Terusan Limbat, Pasir Tumboh.

Ia terletak kira-kira 11 km dari Bandar Kota Bharu dan jaraknya dari jalan utama Kota Bharu-Pasir Puteh pula ialah sebanyak 1 km. Pondok ini juga berdekatan dengan perumahan Desa Darulnaim dan juga mini MRSM Pasir Tumboh.

Isnin, Februari 08, 2010

Lombong Bijih Besi Temangan



Bijih besi ini diusahakan oleh sebuah syarikat Jepun iaitu "Oriental Mining Co.", di kawasan Bukit Besi, Temangan, Kelantan. Di sini bijih besi diangkut dengan menggunakan keretapi ke Pelabuhan Tumpat. Bijih besi tersebut akan dimasukkan ke dalam satu bekas khas di mana ianya akan diangkut pula ke kapal melalui jeti yang dibina . Dari kapal kecil ini, bijih besi tersebut akan dibawa ke kapal induk untuk dieksport ke negara Jepun.

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1941-1945) pengeluaran bijih besi terus dilakukan oleh pemerintah tentera Jepun dan lombong di suatu kawasan yang sekarang ini terdirinya Sekolah Kebangsaan Temangan.

Selepas Peperangan Dunia Kedua, pengeluaran bijih besi masih diteruskan dilakukan oleh syarikat yang sama tetapi kini ianya di bawah pengawasan pemerintah British. Pengeluarannya berterusan sehingga tahun 1965 dimana operasinya dihentikan kerana bekalan bijih yang ada semakin berkurangan.

Sejak itu, Jambatan Bijih ini telah tidak berfungsi lagi dan dibiarkan tidak terurus. Kini yang tinggal hanyalah kesan runtuhan yang menjadi bukti sejarah.

Ahad, Februari 07, 2010

Uitm Machang



Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan Kampus Machang yang dahulunya dikenali dengan Institut Teknologi MARA, kampus cawangan yang ke 9 telah dirasmikan penubuhannya pada 01 Julai 1985 oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Mohamad bin Yaakob, Menteri Besar Kelantan pada ketika itu.

Pembinaan kampus tetap telah dimulakan pada 1993. Kerajaan Pusat telah memperuntukkan tanah seluas 200.32 hektar di Bukit Anjing, Machang untuk dijadikan kampus tetap. Nama asal Bukit Anjing telah dimartabatkan menjadi Bukit Ilmu sesuai dengan fungsinya yang menyediakan peluang pembelajaran dalam pelbagai disiplin ilmu untuk Bumiputera. Ianya merupakan ilham dari Allahyarham Dato’ Nik Abd. Rashid Nik Abd. Majid, bekas Pengarah ITM ketika itu.

Perpindahan rasmi ke Kampus Machang bermula pada 01 Januari 1996. UiTM Kelantan yang dahulunya dikenali sebagai ITM telah dinaikkan taraf menjadi Universiti Teknologi MARA atau ringkasnya UiTM pada 26 Ogos 1999. Kini UiTM Kelantan sedang berkembang pesat bagi memenuhi keperluan menjadi Universiti terunggul di negeri Kelantan khususnya.

Rabu, Februari 03, 2010

Sejarah Kota Bharu



Kota Bharu merupakan ibu negeri Kelantan telah dibuka secara rasminya oleh Sultan Muhammad II pada tahun 1844. namun kawasan penempatan di situ dipercayai telah diterokai lama sebelum itu. Apabila Sultan Muhammad II mangkat pada tahun 1835, Long Zainal mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Kelantan manakala Long Senik yang sepatutnya menggantikan Sultan Muhammad telah diketepikan.

Ia merupakan ibu negeri Kelantan dan terletak tidak jauh dari Sungai Kelantan. Perkataan ‘Kota’ bermaksud sesebuah Bandar dan ‘Kota Bharu’ adalah sebuah bandar yang baru. Kota Bharu terletak di Timur dan agak jauh dengan landasan keretapi serta merupakan pusat menghasilkan besi di Kelantan. Bandar ini adalah pusat komersil dan ekonomi serta merupakan Bandar Diraja Kelantan.



Khamis, Januari 07, 2010

Makam Raja Abdullah



Raja Abdullah adalah putera kepada Raja Bahar. Baginda telah dikahwinkan dengan sepupunya Puteri Saadong, Puteri kepada Raja Loyor oleh Paduka Cik Siti Wan Kembang. Perkahwinan ini adalah untuk mengelakkan angkara dari Raja Siam yang juga berhasrat untuk memperisterikan Puteri Saadong.

Selepas istiadat perkahwinan tersebut, Paduka Cik Siti Wan Kembang telah menabalkan Raja Abdullah menerajui Kota Tegayung. Perkahwinan ini juga secara tidak langsung telah menamatkan sejarah pemerintahan di Jembal. Kemudiannya Cik Siti Wan Kembang telah meninggalkan Kota Tegayung. Kota yang baru ini dinamakan Kota Jelasin (sekarang Kampung Kota, Kota Bharu). Kota Jelasin juga kemudiannya diserahkan kepada Raja Abdullah dan Puteri Saadong.

Pemerintahan Raja Abdullah dan Puteri Saadong tidak lagi berpusat di Jembal tetapi di Kota Jelasin. Besar kemungkinan kuasa pemerintahan Raja Abdullah ini meliputi kerajaan Jembal. Andaian ini berdasarkan kepada keadaan di Jembal yang tidak mempunyai pemerintah selepas kemangkatan Raja Loyor dalam tahun 1663.

Dalam tahun 1671 baginda Raja Abdullah telah mangkat. Baginda dikatakan mati ditikam oleh isteri baginda Tuan Puteri Saadong dengan penyucuk sanggul dalam satu pergaduhan di Kota Mahligai. Pergaduhan ini berpunca daripada sikap marah Tuan Puteri Saadong terhadap suaminya Raja Abdullah yang tidak setia terhadap janji.

Baginda Raja Abdullah telah dimakamkan di Padang Halban, dalam daerah Melor kira-kira 17 km dari bandar Kota Bharu.

Selasa, Januari 05, 2010

Kijang


Pada Jata Negeri Kelantan terdapat dua ekor kijang yang mengimbau kembali kepada sejarah tua negeri ini di masa Che' Wan Kembang (Che'Siti) Permaisuri Kelantan ( kira-kira pada akhir kurun ke-14) yang terlalu kasih pada kijang kesayangannya, telah memerintahkan wang emas dicap dengan gambar binatang itu

Lagu Selamat Sultan


Selamat Sultan ialah lagu negeri Kelantan. Irama bagi lagu ini digubah oleh Allahyarham Haji Mohamed bin Mohamed Saaid pada tahun 1927, manakala seni katanya digubah oleh Allahyarham Mahmood bin Hamzah pada tahun 1930.

Sejarah

Haji Mohamed bin Mohamed Saaid, yang mana merupakan Ketua Pancaragam PDRM Kelantan pada ketika itu, diperintahkan oleh Almarhum Sultan Ismail supaya menggubah irama lagu untuk dimainkan ketika sambutan hari keputeraan Baginda pada 5 Julai 1927. Tiga tahun berikutnya (1930), Mahmood bin Hamzah, yang mana merupakan Setiausaha Negeri Kelantan pada ketika itu, menggubah seni kata bagi lagu tersebut, justeru melengkapkannya sebagai lagu negeri.

Jumaat, Oktober 09, 2009

Menara Jam Taman Bendahara


Menara Jam Taman Bendahara merupakan sabagai satu tugu peringatan, sumbangan dari bekas tentera Jepun (veteran perang) sempena mengingati peristiwa pendaratan pertama mereka di Pantai Padang Pak Amat @ Pantai Sabak, Malaya semasa Perang Pasifik (Perang Dunia II di timur). Pendaratan ini berlaku sejurus selepas tengah malam, pada 8 Disember 1941, sejam sebelum serangan ke atas Pearl Harbor berlaku. Pihak tentera Jepun mendarat sejurus selepas tengah malam, dan disambut dengan periuk api dan tembakan sengit oleh pasukan India British yang mengawal pantai.

Tapak pendaratan sebenar telah terhakis ke laut disebabkan hakisan yang menghanyutkan kubu kotak (pillboxes) (kubu menembak yang diperbuat daripada konkrit) yang dibina sepanjang pantai sebelum perperangan meletus. Kubu kotak terakhir dipercayai dihanyutkan sekitar akhir 1990. Kini tembok batu telah dibina bagi memperlahankan hakisan.

Menara Jam Taman Bendahara ini dibina berhampiran lapangan terbang Pengkalan Chepa, tidak jauh dari tapak pendaratan pertama Jepun dahulu, dan telah disiapkan sekitar 1988. Padanya terdapat tulisan yang meluahkan "penyesalan" mereka terhadap bahana peperangan dan penjajahan serta mendoakan agar dunia akan terus aman dan bebas.

Beberapa langkah sahaja dari menara jam tersebut pernah terdapat sebuah kubu kotak (pillbox) tinggalan askar British dari era perang dunia ke-2 semasa mereka mempertahankan Malaya dari serangan Jepun.

Dan kini, kawasan tersebut telah dibangunkan, dari sebuah kawasan lapang terbiar kecuali menara jam ini, kepada Taman Orkid Tengku Anis dan akhirnya kepada "Taman Bendahara" - sebuah pusat membeli belah yang menempatkan rumah kedai dan sebuah hypermarket. Kubu kotak ini bagaimanapun telah dimusnahkan bagi memberi laluan kepada projek "Taman Bendahara" berkenaan.

Jambatan Bijih


Jambatan Bijih merupakan sebuah jambatan bersejarah dan tidak digunakan. Ia terletak berhampiran pantai di Kampung Jubakar Tumpat Kelantan. Jambatan ini dibina sebelum perang oleh pihak British. Jambatan ini dibina bertujuan untuk memudahkan kerja-kerja pemunggahan bijih besi dari darat ke kapal pengangkut.
[sunting] Sejarah

Pemunggahan bijih besi ini diusahakan oleh sebuah syarikat dari Jepun iaitu Oriental Mining Co., di kawasan Bukit Besi, Temangan, Kuala Krai Kelantan. Kawasan lombong bijih besi sekarang ini telah terdirinya Sekolah Kebangsaan Temangan.Bijih besi diangkut dengan menggunakan kereta api ke pelabuhan Tumpat. Bijih besi dimasukkan ke dalam bekas khas untuk diangkut ke kapal kecil melalui jeti yang telah dibina, kemudian ia dipindahkan ke kapal induk untuk dihantar ke Jepun.

Pengeluaran bijih besi ini terus dilakukan semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1941 - 1945), ia dilakukan oleh pemerintah tentera Jepun. Pengeluaran ini masih diteruskan selepas Perang Dunia II oleh syarikat yang sama di bawah pengawasan pemerintahan British. Pengeluarannya berterusan sehingga tahun 1965 di mana operasinya dihentikan kerana bekalan bijih yang ada semakin berkurangan.

Selepas operasi pengeluaran bijih timah dihentikan, Jambatan Bijih ini tidak digunakan lagi dan dibiarkan tidak terurus. Kini yang tinggal hanyalah kesan runtuhan yang menjadi bukti sejarah.

Isnin, Oktober 05, 2009

Info Jeli


Daerah Jeli merupakan kawasan yang terletak pintu masuk “gateway” ke negeri Kelantan dari sebelah Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Ianya menjadi tempat persinggahan yang sesuai bagi mereka yang dalam perjalanan dari Pantai Timur ke Pantai Barat atau sebaliknya, melalui jalan raya Timur Barat. Di samping itu, Daerah Jeli juga menjadi penghubung kepada kawasan Kelantan Selatan melalui jalan raya Jeli - Dabong.

Oleh yang demikian, dari segi lokasinya Daerah Jeli bersempadan dengan Thailand di sebelah utara, Jajahan Tanah Merah di sebelah timur, Jajahan Kuala Krai dan Gua Musang di sebelah selatan dan Negeri Perak di sebelah barat, merupakan sebuah kawasan yang strategik dan mempunyai daya maju untuk pembangunan secara teratur di masa hadapan.

Pekan Jeli merupakan bandar atau pekan utama di jajahan ini. Ia terletak kira-kira 98 kilometer dari Bandar Kota Bharu melalui jalan raya Timur Barat.

Keadaan muka bumi 82% adalah berbukit-bukau, hutan-rimba dan banyak alur serta sungai. Jajahan ini terletak diantara 90 meter hingga 500 meter dari paras laut. Sungai-sungai utama ialah Sungai Pergau, Sungai Renyut, Sungai Suda dan Sungai Balah.


Lata Terjun


Gunung Reng

Ahad, Oktober 04, 2009

Info Pasir Mas


Pasir Mas merupakan satu daripada 10 jajahan di Negeri Kelantan terletak di bahagian utara Negeri Kelantan, bersempadan dengan jajahan Tumpat di sebelah Utara, Tanah Merah di sebelah selatan, Sungai Kelantan dan jajahan Kota Bharu di sebelah Timur dan Jajahan Sungai Golok, Thailand di sebelah Barat.
Mengikut sejarah kewujudan Pasir Mas, sebuah penempatan telah dibuka oleh Che Leh Ismail atau lebih dikenali sebagai Che Leh Tok Pendekar. Beliau telah dipaksa ke Pasir Mas setelah tanahnya di Kota Bharu diambil alih oleh Sultan bagi tujuan membina istana. Pada masa itu, terdapat seorang guru agama dari Bachok, datang untuk mengajar kelas keagamaan di Pasir Mas.

Bandar Pasir Mas

Guru agama itu kemudiannya pulang semula ke Bachok setelah selesai mengajar tetapi selang beberapa hari setelah kepulangan guru itu, secara tiba-tiba muncul 3 biji mangkuk emas dari dalam semak. Mangkuk ini kemudiannya berpusing membentuk pusar di sekitar semak dan secara tidak langsung, penduduk yang melihat kejadian itu menjerit ‘Mas! Mas!’. Perkataan pasir terbit kerana berdekatan penempatan yang terletak di tebing sungai Kelantan, terdapat beberapa longgokkan pasir sehingga membentuk padang yang luas. Pasir Mas adalah cantuman dari perkataan Pasir dan Mas.

Info Tanah Merah



Bandar Tanah Merah mula berkembang apabila perahu-perahu yang lalu di sepanjang Sungai Kelantan singgah untuk berdagang di Pekan Bukit Remah.

Pekan tersebut terletak di tebing Sungai Kelantan. Lama kelamaan tumpuan orang ramai mula beralih ke suatu kawasan yang letaknya 3 km ke utara yang sekarang ini merupakan bandar Tanah Merah.

Bandar berkenaan menjadi lebih berkembang dengan wujudnya laluan keretapi dan seterusnya stesen keretapi. Pada awalnya, bandar Tanah Merah dan jajahan Tanah Merah adalah sebahagian daripada jajahan Pasir Mas.

Tetapi bermula pada 2 hb Februari 1955, jajahan Tanah Merah mula diwujudkan yang mana bandar Tanah Merah menjadi pusat pentadbiran sepenuhnya.

Bagi mentadbirkan bandar Tanah Merah dan pekan-pekan di jajahan Tanah Merah, beberapa Penguatkuasa Tempatan diwujudkan di bawah Undang-Undang Kerajaan Tempatan 1952.

Mengikut sejarah melayu,Tanah Merah merupakan Ibu Kota bagi Kerajaan Melayu lama iaitu Kerajaan Chi Tu. Mengikut rekod Kerajaan China Dinasti Sui.

Pada kurun ke-7, terdapat satu penempatan dan pemerintahan berpusat Kerajaan yang di kenali sebagai Chi Tu (Bumi Merah) di satu kawasan yang mana Pada hari ini dikenali sebagai Kelantan.Populasi penduduk Jajahan Tanah Merah pada 2005 adalah seramai 108,288 orang. Majoritinya adalah kaum Melayu.

Ahad, September 27, 2009

Kelantan FM


Kelantan FM merupakan salah satu stesen radio negeri di Malaysia. Slogannya ialah Penuhi Citarasa Anda. Ia diselenggarakan oleh RTM Negeri Kelantan. Ia boleh didengari di seluruh negeri Kelantan dan juga kawasan sempadan seperti Jerteh di Terengganu dan Golok di Selatan Negara Thai.

Sejarahnya bermula pada 16 November 1963, dimana Radio Malaysia Kota Bharu mula beroperasi. Perasmian pembukaan pula dilakukan pada 6 November 1964 oleh K.D.Y.M.M. Al-Sultan Kelantan, Sultan Yahya Petra ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim Petra.Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abd. Razak, Menteri Penerangan dan Penyiaran Malaysia dan juga Menteri Besar Kelantan, Encik Muhammad Asri.RTM Kota Bharu merupakan stesen RTM pertama di Malaysia yang mempelopori siaran daerah.

Kos pembinaanya mencecah RM 115 juta dan dilengkapi 3 Studio yang terdiri dari 2 Studio Siaran dan 1 Studio Ceramah. Bangunan ini turut dilengkapi dengan sebuah Panggung ataupun dikenali sebagai Auditorium dan boleh memuatkan lebih kurang 160 orang penonton. Siaran daerah pada masa itu disiarkan hanya beberapa jam sahaja sehari dan mendapat sambutan segenap lapisan masyarakat.

Di awal penubuhannya,Radio Malaysia Kota Bharu merupakan stesen permulaan memulakan siaran daerah kawasan timur berbanding dengan negeri-negeri lain dan berita daerah disampaikan dalam loghat Kelantan.

Pada tahun 1996, nama Radio 3 Kota Bharu telah ditukar kepada Radio Malaysia Kelantan selari dengan penyusunan semula stesen radio negeri-negeri di seluruh negara. RMK boleh diterima siarannya melalui FM stereo dan Gelombang Sederhana di negeri Kelantan, Hulu Terengganu dan Selatan Thailand.

Pada 1 April 2005, sempena Penjenamaan Semula Radio Malaysia nama Radio Malaysia Kelantan ditukar kepada KELANTAN.Pada 17 Jun 2005, sempena Perasmian Pelancaran Penjenamaan semula Radio Malaysia Kelantan kepada KELANTAN fm, Yang Berhormat Menteri Penerangan Dato’ Sri Abdul Kadir Syeikh Fadzir mengumumankan siaran KELANTAN fm dilanjutkan dari 18 jam kepada 24 jam mulai 1 Ogos 2005.

Frekuensi

88.1 MHz Felda Paloh Gua Musang
90.0 MHz Jeli
92.0 MHz Bukit Chupot (Gua Musang)
97.3 MHz Bukit Bakar (Machang)
102.9 MHz Telipot (Kota Bharu)
107.1 MHz Bukit Bintang (Besut, Terengganu)

Rabu, Ogos 12, 2009

Kubu Perang British


Kg Pantai Sabak menjadi Lokasi pertama tentera Jepun mendarat di dalam Penaklukan ke atas Tanah Melayu dalam perang Dunia Kedua. Tentera Jepun mula mendarat di Pantai Padang Pak Amat sejurus selepas tengah malam 8 Disember 1941, dan mencetuskan pertempuran hebat antara tentera India British dan tentera Jepun. Terdapat banyak kesan peninggalan askar British di tanah Melayu antaranya ialah Kubu yg digunakan untuk mempertahankan serangan jepun tetapi selepas Kampung Pantai Sabak dilanda hakisan, kubu tersebut telah hilang ke dalam laut.


Sumber gambar : raykinzoku.fotopages.com.