Sabtu, Julai 31, 2010
4 Wakil Kelantan Dalam FAM
Kelantan mempunyai 4 wakil dalam Pemilihan majlis tertinggi FAM yang bermesyuarat hari Ini. Tan Sri Annuar Musa berjaya meraih undi kedua tertinggi dalam pemilihan sebagai Timbalan Presiden FAM. Datuk Afandi Hamzah pula berjaya mengekalkal kerusi Naib Presiden yang disandangnya pada pemilihan yang lepas sementara Datuk Takiyuddin Hassan dan Rosmadi Ismail berjaya menjawat jawatan Jawatankuasa Eksekutif FAM. Tahniah kepada mereka semua dan diharap perlantikan Tan Sri Annuar Musa sebagai TImbalan Presiden FAM yang baru dapat menyuntik idea yang bernas demi memajukan mutu bolasepak Malaysia.
Keputusan TM Liga Super 2010 : Johor FC 1 - 3 Kelantan
Kemenangan Kelantan 3-1 mengatasi Johor FC di Pasir Gudang sekadar menyaksikan gergasi Pantai Timur muncul Naib Juara Liga Super 2010 setelah Selangor berjaya menundukkan Terengganu 2-0 di Shah Alam. Apapun tahniah diucapkan kepada pemain Red Warrior kerana memberi saingan sengit kepada Selangor dalam perebutan kejuaraan liga.
TM Liga Super 2010 : Johor FC Lawan Kelantan
Perlawanan penentu kejuaraan Liga Super 2010. Jika Kelantan mampu menewaskan Johor FC dan pada masa yang sama Selangor berjaya menewaskan Terengganu bermakna Kelantan sekadar mampu muncul naib juara Liga Super 2010. Apapun keputusan pada malam ini, yang penting pasukan Red Warrior sudah berjaya menempatkan diri di kalangan pasukan elit dalam Liga Malaysia setelah sekian kali menjadi pasukan tercorot.
Khamis, Julai 29, 2010
Keputusan TM Liga Super 2010 : Kelantan 4 - 1 KL Plus
Selasa, Julai 27, 2010
TM Liga Super 2010 : Kelantan Lawan KL Plus
Rabu, Julai 21, 2010
Kopi Pak Lah
Penghasilan Kopi bukanlah kegiatan ekonomi utama di Kelantan, namun kini ada usahawan kopi yang berani menceburi bidang ini. Individu yang dimaksudkan itu ialah Abdullah Ali atau lebih mesra disapa Pak Lah.
Tidak sukar untuk mencari bengkel perusahaan kopi Abdullah Ali, 60, yang terletak di Kampung Biah, Perol walaupun ia tiada papan tanda.
Cuma berpandukan aroma wangian yang menusuk dari jauh hasil kerja-kerja menggoreng biji kopi dan memprosesnya sebagai serbuk untuk pasaran tempatan, lokasi perusahaan berjaya ditemui.
Setiap hari, Abdullah menggoreng 100 kilogram dengan dibantu tiga pekerja sambilan. Semua itu dilakukan sendiri sejak 30 tahun lalu kerana dia belum memberi kepercayaan atau melepaskan tugasan kepada orang lain.
Pak Lah memasarkan kopinya dengan jenama Cap Dua Tangan yang kini turut disediakan dalam bentuk uncang bagi kemudahan pelanggan.
Mewarisi kemahiran menggoreng kopi daripada bapa mentuanya, Abdullah masih menggunakan kayu api kerana lebih mudah mengawal api, tambahan pula ia dapat mengekalkan keaslian rasa.
Bagi memastikan bekalan bahan mentah berterusan, sebanyak dua tan biji kopi diimport dari Indonesia setiap bulan kerana sukar memperoleh bahan mentah itu di pasaran tempatan.
Rafflesia Lojing
Kawasan seluas 650 hektar di Tanah Tinggi Lojing di pedalaman negeri ini merupakan kawasan pemuliharaan warisan negara dan dunia kerana terdapat populasi bunga Rafllesia Kerrii yang terbesar.
Spesies Kerrii hanya terdapat dari kawasan Selatan Thai sehingga ke sempadan Kelantan, Pahang dan Terengganu, ia tidak terdapat di negara lain.
Kawasan tersebut telah dikenal pasti oleh pasukan penyelidik Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang diketuai oleh Pensyarah Kanan Fakuliti Agro Industri dan Sumber Asli, Zulhazman Hamzah pada 2008.
Tikar Mengkuang Bukit Tanah Semerak
Kampung Bukit Tanah, Semerak dalam Daerah Pasir Puteh merupakan kawasan agak berpasir dan pokok-pokok mengkuang tumbuh meliar melatari persekitaran penempatan masyarakat petani.
Bagi kalangan wanita, sejak sekian lama kebanyakan mereka mewarisi kemahiran asas menganyam mengkuang bagi mengisi waktu yang banyak terluang.
Umumnya ia dijadikan tikar buat keperluan keluarga dan turut dijual sebagai sumber pendapatan sampingan, namun tidak terdedah kepada kemahiran mempelbagai produk daripada anyaman itu.
Dengan bahan asas yang masih banyak terdapat di kawasan itu, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) berusaha membantu mereka menjana pendapatan lebih besar.
Pembinaan bengkel anyaman bernilai RM35,000 yang dibiayai oleh PKKM Negeri Kelantan membolehkan buat permulaan 16 wanita di kampung itu menjadi kumpulan perintis ke arah menyemarakkan kembali aktiviti anyaman itu.
Kelantan Juara Pesta Wau
Kelantan muncul juara keseluruhan mengatasi Wilayah Persekutuan pada kejohanan Pesta Wau Antarabangsa 2010 yang berlangsung di Pantai Irama, Bachok kelmarin.
Kejohanan yang memasuki edisi ke-28 ini, memperkenalkan beberapa acara baru seperti wau tahan lasak, pertandingan wau atas perahu dan menerbangkan 1,000 wau secara serentak.
Selasa, Julai 20, 2010
Bachok lubuk aneka durian
Peminat buah durian kini boleh merancang destinasi percutian ke daerah Bachok di negeri ini bagi memuaskan hajat untuk menikmati kelazatan 'raja segala buah' itu.
Ini kerana, dusun-dusun durian yang diusahakan penduduk tempatan di sini mula menghasilkan buah yang dianggap oleh sesetengah peminat sebagai durian terbaik di negara ini.
Dengan dibantu oleh penanaman yang menggunakan teknologi moden, buah yang dihasilkan bukan setakat 'durian kampung' sebaliknya pengunjung akan turut disajikan dengan pelbagai pilihan daripada jenis kacukan dan hybrid.
Kampung Gunung yang terletak di pinggir Kota Bharu kini mula menuai hasil yang sangat banyak sejak dua minggu lalu malah peniaga yang membuka khemah di tepi jalan tersenyum puas dengan hasil jualan masing-masing.
Deretan khemah yang menjual buah durian dapat dilihat bermula awal pagi lagi di sepanjang Jalan Gunung-Pauh Lima-Kota Bharu dan sudah pastinya mampu menarik perhatian orang ramai yang lalu di situ.
Pesta buah makanan Thai 21-25 Julai
Orang ramai yang mengunjungi Pesta Buah-buahan dan Makanan Kegemaran Thai 2010 di Bangunan Perkumpulan Perempuan, Jalan Hamzah di sini mulai 21 hingga 25 Julai ini, berpeluang menikmati masakan ‘Melayu-Siam’ asli di pesta itu.
Sebanyak 50 peniaga dari lima wilayah di selatan negara itu akan terlibat dalam menjayakan pesta tersebut.
Antara masakan Thailand yang akan disediakan pada pesta tersebut adalah tom yam, somtam, nasi kerabu, pelbagai jenis kerabu, ayam goreng, ayam ‘kohlae’, pulut pauh dan pulut durian.
“Makanan ringan pula termasuk ikan salai, ikan kicap dan ‘namprik (cili jeruk), pisang salai dan biji gajus'.
Pelbagai hasil industri kecil dan sederhana dari wilayah itu turut dipromosikan sepanjang pesta tersebut.
“Barang-barang berkenaan termasuk kosmetik berupa sabun susu kambing serta bahan tradisional turut dijual.
Bagi pengunjung wanita pula, pelbagai barangan keperluan dan pakaian seperti jubah, kain tudung, hiasan batu permata juga boleh didapati di pesta berkenaan.
Pesta yang diadakan dengan kerjasama Pusat Pentadbiran Bahagian Wilayah Selatan dan Konsul Thai, Kota Bharu itu juga bagi merintis kerja sama perniagaan antara penduduk Selatan Thai dengan peniaga di negeri ini.
Memandangkan gaya hidup dan cara pemakanan penduduk di negeri ini dan wilayah selatan Thailand yang tidak jauh bezanya, hubungan dua hala dapat diwujudkan, seterusnya mengembalikan kegemilangan perniagaan antara kedua-dua pihak.
Ahad, Julai 18, 2010
Keputusan TM Liga Super 2010 : K.Lumpur 0 - 2 Kelantan
Khamis, Julai 15, 2010
TM Liga Super 2010 : K.Lumpur Lawan Kelantan
Misi Kelantan diteruskan lagi dengan berhadapan dengan skuad warga kota di Stadium PBKL Cheras 17 Julai ini. Ayuh peminat bolasepak Kelantan di Lembah Kelang, marilah sama-sama memenuhi stadium PBKL nanti untuk memberi sokongan kepada perjuangan Red Warrior. Semoga 3 lagi mata penuh berjaya direalisasikan oleh pemain-pemain Kelantan.
Kafa dijangka calon tiga nama
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) bakal mencalonkan tiga pemimpin badan induk itu bagi merebut jawatan dalam pemilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 31 Julai ini.
Mereka ialah Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa yang dijangka bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden FAM, Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail sebagai Ahli Majlis FAM manakala Datuk Affandi Hamzah yang juga Ahli Majlis Kafa akan mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden FAM.
Mereka ialah Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa yang dijangka bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden FAM, Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail sebagai Ahli Majlis FAM manakala Datuk Affandi Hamzah yang juga Ahli Majlis Kafa akan mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden FAM.
Ahad, Julai 11, 2010
Keputusan TM Liga Super 2010 : Selangor 1 - 1 Kelantan
Kemampuan Kelantan bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat juara bertahan Liga Super amatlah melegakan. Sekurang-kurangnya keputusan seri masih memberi ruang kepada Kelantan menyaingi Selangor dalam perebutan takhta liga yang berbaki 4 perlawanan lagi. Indra Putra Mahyudin muncul wira pasuakn apabila menanduk masuk hantaran lintang Norfarhan Muhammad memadam gol pendahuluan Selangor. Tahniah.
Khamis, Julai 08, 2010
TM Liga Super 2010 : Selangor Lawan Kelantan
Perlawanan buku bertemu ruas antara 2 pasukan bolasepak yang digeruni dalam kancah Liga Super ketika ini. Selangor menanti kunjungan Kelantan untuk melebarkan penguasaan di tangga teratas liga manakala Kelantan hadir membawa misi mengutip mata penuh bagi merapatkan jurang lima mata ketika ini kepada dua mata. Ayuh anak Kelantan yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor hadir beramai-ramai memenuhi segenap ruang stadium Shah Alam dengan lautan merah untuk memberi sokongan kepada pemain-pemain Kelantan dalam misi yang mencabar ini.
Selasa, Julai 06, 2010
Keputusan TM Liga Super 2010 : Kelantan 1 - 0 N.Sembilan
Kemenangan tipis 1-0 amat bermakna kepada pasukan Kelantan dalam misi memburu gelaran Liga Super tatkala pendahulu liga Selangor kecundang di Perak. Jurang mata dikecilkan kepada lima mata menjelang pertemuan antara 2 pasukan teratas itu di Shah Alam, Sabtu ini. Jika Kelantan mampu menewaskan Selangor, bermakna jurang mata semakin hampir iaitu kepada 2 mata sahaja.
Isnin, Julai 05, 2010
TM Liga Super 2010 : Kelantan Lawan N.Sembilan
Setelah hampir sebulan berehat, kempen Liga Super 2010 kembali bersambung dengan Kelantan melayani kunjungan Skuad Negeri Sembilan. Diharap peminat bolasepak Kelantan tidak lupa mengunjungi stadium Sultan Muhammad ke -1V malam esok bagi menyaksikan pertembungan kedua antara dua pasukan ini setelah Kelantan menundukkan N.Sembilan 3-1 di Paroi.
Jumaat, Julai 02, 2010
Kejohanan Golf Terbuka Kelantan
Seramai 200 pemain golf akan berentap pada kejohanan Golf Terbuka Kelantan ke-36 di Kelab Golf dan Desa Kelantan (KGGC), yang menawarkan hadiah berjumlah RM445,000 bermula 3 Julai ini.
Kejohanan yang diadakan selama tiga hari, bermula pada 3 hingga 5 Julai ini, menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM445,000.
Dua buah kereta jenis Kia Forte dan Toyata Vios dan sebuah banglo ditawarkan kepada pemain yang berjaya membuat pukulan selubang di tiga lubang utama pada kejohanan itu.
Pesta Wau Jemputan Antarabangsa 2010
Kerajaan Kelantan dengan kerjasama Persatuan Pelayang Negeri Kelantan dan Majlis Pelayang Malaysia akan menganjurkan Pesta Wau Jemputan Antarabangsa Kelantan 2010 di pusat peranginan Pantai Irama, Bachok, dekat sini mulai 15 Julai.
Pesta wau kali ini diubah lokasinya ke Pantai Irama setelah sebelum ini diadakan di kawasan peranginan Pantai Seri Tujuh, Tumpat sejak ia diperkenalkan 27 tahun lepas.
Langgan:
Catatan (Atom)