Memaparkan catatan dengan label Ekonomi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ekonomi. Papar semua catatan

Khamis, September 13, 2012

Lebuh Raya Rakyat

Projek pembinaan Lebuh Raya Rakyat yang menghubungkan Kuala Krai ke Kota Bharu bernilai RM1.8 bilion bakal menjadi satu lagi kebanggaan kepada rakyat Kelantan. Menariknya pembiayaan kos projek itu akan turut melibatkan sumbangan wang daripada rakyat. Majlis pecah tanah pembinaan projek lebuh raya itu disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kampung Berangan Mek Nab di Machang, 28 Mei yang lalu. Pembinaan lebuh raya sepanjang 73 kilometer itu bertujuan menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas, dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Rabu, Mei 18, 2011

Kelantan Bakal Dapat Stadium Baru



Stadium Sultan Muhammad Ke IV

Peminat bolasepak Kelantan bakal menyaksikan perlawanan bolasepak membabitkan pasukan Kelantan dalam keadaan yang lebih selesa selepas ini apabila Kerajaan Negeri pimpinan Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan Kerajaan Negeri akan membina sebuah stadium baru yang berkapasiti 40 ribu tempat duduk di tanah Kerajaan Negeri di Bukit Merbau, Pasir Puteh.

Stadium tersebut bakal dinamakan dengan nama "Stadium Red Warrior". Pengumuman tentang projek pembinaan stadium ini dinyatakan oleh Menteri Besar Kelantan itu pada 18 Mei 2011, 2 hari selepas pasukan Kelantan mengesahkan tiket ke perlawanan akhir Piala FA 2011. Sesungguhnya pengumuman ini amatlah mengembirakan penyokong pasukan Kelantan.

Catatan pengumuman tersebut dilampirkan di sini :

Kerajaan negeri Kelantan akan membina sebuah stadium yang memuatkan 40,000 orang di samping ruang masjid di merata-rata bahagiannya di Bukt Merbau, Pasir Puteh.

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Mat dalam satu kenyataan media yang dibacakan selepas Mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini.

“Saya ingin membuat pengumuman pada hari ini satu berita gembira buat rakyat Kelantan khususnya peminat-peminat sukan tanahair di mana Kerajaan Kelantan telah bersetuju untuk membina sebuah kompleks sukan bersekali dengan Bandar baru untuk kegunaan aktiviti sukan di negeri ini.

“Kompleks tersebut yang antaranya akan menempatkan sebuah stadium utama dengan kapasiti 40,000 tempat duduk bertempat di atas tanah milik kerajaan di Bukit Merbau, Pasir Puteh,” kata beliau.

Katanya, kerajaan berhasrat agar stadium yang akan dibina ini turut memuatkan ruang masjid di merata-rata bahagian yang akan membolehkan penonton-penonton solat berjemaah dengan mudah di dalam stadium.

Ini bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri yang mahukan aktiviti sukan di negeri ini tidak berpisah dari roh Membangun Bersama Islam yang menjadi dasar pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun rekabentuk secara terperinci terpulang kepada arkitek yang akan diberikan tanggungjawab ini nanti, katanya.

Menurut Nik Aziz, cadangan pembangunan stadium dan kompleks sukan ini terbuka kepada mana-mana pemaju menghantarkan cadangan atas dasar BOT iaitu bina, operasi dan pindah.

“Saya berharap dengan pembinaan kompleks sukan ini nanti, aktiviti sukan di negeri ini dapat berdaya maju dengan lebih baik ke arah membentuk masyarakat yang sihat jasmani dan rohani insya-Allah,” katanya.

Karnival Halal Negeri Kelantan 2011



Karnival Halal Kelantan bakal berlangsung pada 28 hingga 30 Mei 2011 di Kompleks Islam Darul Naim, Kota Bharu. Karnival itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti ruang pameran dan jualan selain beberapa seminar antaranya panduan restoran halal serta pensijilan halal untuk industri perhotelan.

Karnival ini dianjurkan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Isnin, Disember 06, 2010

Nordin Batik



Nordin Batik Sdn Bhd adalah sebuah syarikat bumiputera yang menjalankan
perusahaan batik di negeri Kelantan. Syarikat ini adalah hak milik Tn Haji Nordin
dengan berasaskan nama Syarikat Sendirian Berhad. Syarikat ini beroperasi di
bawah naungan Tn Haji Nordin b. Mahmood yang menubuhkannya pada tahun
1993

Nordin Batik telah menjadi syarikat yang terulung di negeri Kelantan
apabila wujudnya Wisma Nordin yang terletak pada di Lot 74, Kampung Paloh
Pintu Geng, Kota Bharu, Kelantan yang mana bernilai lebih kurang 2 juta. Di
samping mengusahakan perusahaan batik, Tn Haji Nordin juga telah
membangunkan hotel bajet Paloh Inn yang terletak pada bangunan yang sama.

Di bangunan wisma nordin juga terletaknya Showroom Nordin Batik iaitu
merupakan sebuah pusat jualan kraftangan yang pertama seumpamanya di
Bandar Kota Bharu.

Khamis, Disember 02, 2010

Lebuhraya Timur-Barat



Lebuhraya Timur Barat merupakan lebuhraya yang menghubungkan Gerik di Negeri Perak dengan Jeli di Kelantan. Projek raksasa ini menelan belanja RM296 juta bagi memudahkan perhubungan darat antara pantai timur dengan pantai barat Semenanjung Malaysia.

Lebuh raya ini sepanjang 123 kilometer melibatkan 61 km di negeri Perak dan baki jarak pula di negeri Kelantan. Ia menjadikan perjalanan lebih pantas dan membantu pertumbuhan ekonomi, bukan sahaja di Perak malah di seluruh negara. Operasi membalak lebih mudah. Kawasan penempatan baru dibuka di sepanjang lebuh raya. Sebelum lebuh raya ini dibuka pada 1 Julai 1982, jarak perjalanan dari Alor Setar ke Kota Bharu adalah melebihi 1,000 km tetapi dengan adanya lebuh raya ini, jarak perjalanan telah dipendekkan sebanyak beberapa ratus kilometer.



Lebuhraya Timur-Barat mula dibina pada tahun 1967. Proses pembinaannya kerap kali terganggu akibat perbuatan khianat pengganas komunis yang sering sahaja menyerang hendap pekerja binaan sepanjang Perang Insurgensi Komunis ataupun Darurat Kedua dari tahun 1967-1989, menyebabkan pembinaan lebuh raya ini memakan masa yang sangat panjang. Malah, semasa lebuh raya ini dibuka pun pihak tentera mengawal ketat lebuh raya ini dan pemandu hanya boleh menggunakan lebuh raya ini pada waktu siang sahaja dan perlu melapor diri setiap kali menggunakannya.

Sistem kawalan keselamatan yang ketat dimansuhkan setelah pihak komunis menyerah diri sepenuhnya pada tahun 1989. Sebuah tugu peringatan dibina oleh Jabatan Kerja Raya di Pulau Banding bagi menghormati para pekerja yang terkorban akibat serangan hendap komunis sepanjang pembinaan Lebuhraya Timur-Barat.

Jumaat, November 12, 2010

Pasar Serawe





Pasar Serawe merupakan tempat mempamer dan menjual barangan antik di Kota Bharu, Kelantan. Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK) , Muzium Kelantan bekerjasama dengan kerajaan negeri Kelantan bagi memajukan pasar ini.

Langkah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK) memperkenalkan ‘Pasar Serawe’ (Serawang) pada setiap hari cuti Jumaat dan Sabtu mula membantu memberi ‘nafas baru’ kepada pihak muzium.

Ia bukan sahaja dapat menarik lebih ramai pengunjung malah mendekatkan institusi itu dengan masyarakat apabila ia mula melebarkan peranannya dan tidak lagi sekadar dipertanggungjawab menyimpan barangan purba yang mempunyai nilai sejarah.

Melalui pasar yang diwujudkan di pekarangan Muzium Kelantan itu, ia membuka ruang kepada anggota masyarakat mempamer dan menjual pelbagai barang-barang antik yang berada dalam simpanan mereka.

Ia sekali gus akan memberi nilai ekonomi kepada pemiliknya yang tidak lagi mahu menyimpannya kerana peluang untuk menjualnya boleh dilakukan di pasar yang bercirikan pasar lambak atau pasar bonet kereta itu.

Selasa, Oktober 05, 2010

Ayam Goreng Edlee



Jika anda berada Kota Bharu, Kelantan, pasti anda akan tahu mengenai Edlee Fried Chicken. Edlee Fried Chicken diusahakan oleh Encik Mohd Edlee bin Ismail.

Perniagaan Edlee Fried Chicken bermula sejak tahun 2003 yang didaftarkan sebagai Edlee Food Services. Sekarang Edlee Fried Chicken mempunyai 6 cawangan di seluruh Kelantan(di Jalan Pekeliling, Taman Indra Petra, Tanjong Chat, Wakaf Che Yeh, berhampiran pasaraya Bilal dan berdekatan dengan Perodua Tunjong). Kesemua gerai beroperasi di Kota Bharu dan akan dikembangkan ke seluruh negeri dalam waktu terdekat.




Ironinya perniagaan Edlee Fried Chicken bermula di pasar malam sekitar Kota Bharu sebelum berkembang secara jualan kios. Antara menu yang disediakan ialah mashed potato, coleslaw, mushroom soup, french fries, and pelbagai jenis minuman dan juga sedia menerima tempahan.

Jumaat, Ogos 13, 2010

Kelantan Cipta Sejarah Lancar Matawang Syariah





Selepas 4 tahun Dinar Emas Kelantan dilancarkan, Kelantan di bawah kepemimpinan ulama hari ini sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya melancarkan pula matawang syariah, Dinar dan Dirham Kelantan.

Majlis pelancaran bersejarah itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Bentara Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan Trade Centre (KTC).

Majlis pelancaran sempena bulan Ramadhan tersebut dianjurkan bersama Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan Kelantan Golden Trade Sdn. Bhd.

Dalam majlis pelancaran berkenaan juga, Menteri Besar melakukan gimik pelancaran dengan menyimpan Dinar dan Dirham ke dalam sebuah mesin untuk simpanan Tabung Haji.

Matawang Dinar dan Dirham Kelantan boleh digunakan untuk pembayaran gaji, zakat, mas kahwin dan perniagaan.

Pada tahun 2006, Kerajaan Negeri telah melancarkan Dinar Kelantan dalam tiga bentuk iaitu satu dinar penuh berukuran 23 mm dengan berat 4.25 gm bernilai RM332.25.

Selain itu separuh dinar bersaiz 20 mm (1.06 gm) bernilai RM176.76 dan suku dinar bersaiz 21 mm (0.5 gm) bernilai RM99.38.

Kini nilaian dinar tersebut sudah meningkat berbanding ketika dilancarkan. Dinar tersebut mendapat sambutan menggalakkan untuk simpanan nilai dan mas kahwin.

Pada majlis pelancaran itu, sejumlah RM1,000,000 Dinar & Dirham telah dibeli orang ramai.

Rabu, Julai 21, 2010

Kopi Pak Lah



Penghasilan Kopi bukanlah kegiatan ekonomi utama di Kelantan, namun kini ada usahawan kopi yang berani menceburi bidang ini. Individu yang dimaksudkan itu ialah Abdullah Ali atau lebih mesra disapa Pak Lah.

Tidak sukar untuk mencari bengkel perusahaan kopi Abdullah Ali, 60, yang terletak di Kampung Biah, Perol walaupun ia tiada papan tanda.

Cuma berpandukan aroma wangian yang menusuk dari jauh hasil kerja-kerja menggoreng biji kopi dan memprosesnya sebagai serbuk untuk pasaran tempatan, lokasi perusahaan berjaya ditemui.



Setiap hari, Abdullah menggoreng 100 kilogram dengan dibantu tiga pekerja sambilan. Semua itu dilakukan sendiri sejak 30 tahun lalu kerana dia belum memberi kepercayaan atau melepaskan tugasan kepada orang lain.

Pak Lah memasarkan kopinya dengan jenama Cap Dua Tangan yang kini turut disediakan dalam bentuk uncang bagi kemudahan pelanggan.

Mewarisi kemahiran menggoreng kopi daripada bapa mentuanya, Abdullah masih menggunakan kayu api kerana lebih mudah mengawal api, tambahan pula ia dapat mengekalkan keaslian rasa.

Bagi memastikan bekalan bahan mentah berterusan, sebanyak dua tan biji kopi diimport dari Indonesia setiap bulan kerana sukar memperoleh bahan mentah itu di pasaran tempatan.

Tikar Mengkuang Bukit Tanah Semerak



Kampung Bukit Tanah, Semerak dalam Daerah Pasir Puteh merupakan kawasan agak berpasir dan pokok-pokok mengkuang tumbuh meliar melatari persekitaran penempatan masyarakat petani.

Bagi kalangan wanita, sejak sekian lama kebanyakan mereka mewarisi kemahiran asas menganyam mengkuang bagi mengisi waktu yang banyak terluang.

Umumnya ia dijadikan tikar buat keperluan keluarga dan turut dijual sebagai sumber pendapatan sampingan, namun tidak terdedah kepada kemahiran mempelbagai produk daripada anyaman itu.

Dengan bahan asas yang masih banyak terdapat di kawasan itu, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) berusaha membantu mereka menjana pendapatan lebih besar.

Pembinaan bengkel anyaman bernilai RM35,000 yang dibiayai oleh PKKM Negeri Kelantan membolehkan buat permulaan 16 wanita di kampung itu menjadi kumpulan perintis ke arah menyemarakkan kembali aktiviti anyaman itu.

Rabu, April 28, 2010

Radix Chicken House



Satu lagi cawangan Restoran Radix Chicken House telah dibuka di KOTA BHARU TRADE CENTRE.Cawangan terbaru ini telah dirasmikan pada 25/2/2010. Lokasi RCH terbaru ialah di:

MK3-068, TINGKAT 3 KOTA BHARU TRADE CENTRE,
JALAN BULUH KUBU,
15000 KOTA BHARU,
KELANTAN.

Sedikit info tentang kelebihan Ayam goreng Radix ini..

1. Ayam goreng organik dan ayam panggang RCH adalah berasaskan ayam organik HPA.
2. Ayam organik HPA mempunyai kandungan protein yang tinggi.
3. Ayam organik HPA diberi makan daun mambu yng baik untuk kesihatan.
4. Makanan ayam organik ini terdiri daripada ekstrak herba yang kaya dengan bahan
antikanser dan antioksida seperti halia, kunyit dan pandan.
5. Tanpa penggunaan antibiotik, tidak menggunakan hormon, beta angonist dan salbutamol.
6. Ayam organik ini juga tidak disuntik apa-apa hormon, vaksin dan antibiotik.

Kopitiam Di Kelantan

Kewujudan kopitiam kini sudah menjadi satu fenomena baru. Ia menjadi alternatif kepada kedai atau warung teh tarik mamak

Kewujudan kedai yang teratur, bersih, ceria dan lengkap dengan kemudahan wifi atau wireless ini memenuhi gaya hidup terkini. Kopitiam menjadi tempat lepak dan sembang yang popular.

Kopitiam yang bermaksud kedai kopi. Kopitiam adalah gabungan perkataan Melayu dan Hokkien, yang bermaksud kopi. Kopitiam kini bukan saja merujuk kepada kedai kopi tradisi kaum Cina yang menu khususnya roti bakar, telor, kopi dan teh tetapi sudah dipelbagaikan.

Antara kopitiam yang sudah wujud di Kota Bharu :


Hayaki Kopitiam Jalan Kebun Sultan


Emirates Kopitiam Jalan Padang Tembak


White House Kopitiam Jalan Sultanah Zainab


Kemaman Kopitiam


KBC Kopitiam Kg Chica

Barangan Red Warrior kini di Wakaf Che Yeh



Peminat The Red Warrior’s kini berpeluang mendapatkan koleksi barangan rasmi keluaran Kafa, melalui wakil jualan berdaftar dengan Kafa di Pasar Borong Wakaf Che Yeh, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Merchandise Kafa, Azlan Mohd Yusoff berkata, mungkin ramai yang tidak menyedari tentang kewujudan wakil jualan tersebut di kawasan itu.

“Sehubungan dengan itu, kita berharap peminat bola sepak Kelantan boleh mengambil peluang ini de-ngan membeli barangan Kafa di Wakaf Che Yeh,” katanya

Azlan berkata, terdapat empat wakil jualan berdaftar dengan Kafa yang memasarkan produk keluaran Kafa di pasar borong itu.

“Peminat Kelantan tidak perlu menunggu hanya ada perlawanan di Kota Bharu untuk membeli barangan itu, kerana mereka kini boleh membeli barangan tersebut sepanjang masa di pasar borong itu,” katanya.

Azlan berkata, selain di pasar borong Wakaf Che Yeh, peminat Kelantan juga boleh membeli pelbagai barangan Kafa seperti di Proflex Marketing di bangunan astaka stadium, Sitra Batik di aras dua KB Mall dan di Bazaar Buluh Kubu.

Rabu, April 14, 2010

Projek Limau Madu Chenulang



Projek ini telah dilancarkan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Kelantan pada 8 Sya'aban 1423H bersamaan 15 Oktober 2002. Ia meliputi keluasan seluas 33.46 hektar (82.67 Ekar)
Projek Tanaman Limau madu ini dikawal selia oleh KESEDAR Wilayah Kuala Krai.

Projek Ternakan Lembu Kg Enggong



Projek D'Raja 2 Jajahan Kuala Krai disempurnakan pelancarannya oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Kelantan pada 19 Mac 2007

Ladang ternakan ini melibatkan kawasan seluas 85 ekar di atas rizab ragutan bertempat di Kampong Enggong Mukim Chenulang, Kuala Krai.

Khamis, April 08, 2010

Pasar Tani pelancongan untuk rakyat



Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memperkenalkan satu konsep Pasar Tani pelancongan memandangkan negeri Kelantan merupakan salah satu negeri yang banyak menghasilkan barangan kraf tangan.

"Kelantan mencatat jualan sebanyak RM2.5 juta tahun lepas dengan 17 buah pasar tani dan 1,210 peserta," Kata Pengerusi FAMA,Datuk Badruddin Amiruldin.

Beliau berkata pada tahun ini sebanyak 100 buah lagi pasar tani akan dibuka di seluruh negara termasuk enam di Kelantan yang dijangka melibatkan 4,000 peserta termasuk 250 orang siswazah.

Jumaat, Mac 26, 2010

Hotel Grand Riverview





Hotel Grand Riverview ini sebelumnya dikenali sebagai Hotel Diamond Puteri. Terletak di tepi sungai kelantan yang memberikan pandangan yang menarik terutamanya ketika air pasang. Kedudukannya juga berhampiran dengan pusat membeli belah, bank, pejabat dan bangunan bersejarah. Hotel Grand Riverview ini diberi taraf hotel 4 bintang.

Kesedar Inn





KDSB ditubuhkan pada 18 Februari 1981 dengan jumlah pelaburan RM1.1 juta. Aktiviti utamanya adalah perhotelan dan restoran disamping berfungsi sebagai tempat latihan/kursus KESEDAR dan lain-lain agensi kerajaan dan swasta.

Aktiviti :-
* Perhotelan
* Restoran
* Pakej Seminar / Kursus
* Pakej ‘Eco-tourism’
* Pakej Pelancongan (melalui KESEDAR Travel & Tour Sdn Bhd)
* Bilik & Restoran

Terdapat 2 jenis bilik penginapan disediakan di KISB iaitu kelas Ekonomi sebanyak 32 bilik dan Kelas Eksklusif sebanyak 40 bilik. KISB juga menyediakan kemudahan 2 kelas restoran iaitu Restoran Sri Wangi bagi kelas ekslusif dan Sri Ketil untuk kelas Ekonomi.

Isnin, Mac 22, 2010

Mydin Mall Kubang Kerian



PASAR Raya Besar Mydin yang keempat telah dirasmikan di Kubang Kerian, Kelantan. Sebelum ini tiga pasar raya besar Mydin terletak di Subang Jaya, Selangor; Terengganu dan Melaka.

Dengan pembukaan pasar raya besar ini juga, Mydin kini mempunyai 50 rangkaian pasar raya di seluruh negara. Mydin memperuntukkan RM60 juta bagi membuka pasar raya di Kubang Kerian yang terletak di kawasan seluas 135,000 kaki persegi.

Dengan pembukaan pasar raya ini juga, ia memberi peluang pekerjaan kepada 550 rakyat tempatan.

Rabu, Februari 17, 2010

Tukang mahir hasilkan ukiran bermutu

KETAM guri, saga keneri, langka dan daun budi mungkin kedengaran asing pada anak muda masa kini. Nama berkenaan sebenarnya sinonim dengan kemahiran ukir logam yang menjadi cabang kesenian orang Melayu terkenal di Kelantan.

Bagi penggemar keris dan cincin, Ayah Su adalah antara pengukir logam tersohor yang sering menerima tempahan mengukir cincin, sarung dan pendokoh keris dari kerabat diraja serta peminat seni warisan Melayu di dalam dan luar Kelantan.


Halus hasil seni tangan Ayah Su.

Keistimewaan dimiliki tukang mahir yang berpengalaman mengukir logam sejak 20 tahun lalu itu adalah ketekunan di dalam pembuatan sehingga mampu membentuk motif ukiran yang sama terutama pada sarung keris.

Kata Ayah Su, kemahiran mengukir logam yang menjadi minatnya sejak sekian lama boleh dipelajari jika seseorang itu tekun dan sabar. Selain minat, kreativiti juga penting kerana menurut Ayah Su, setiap lorekan bunga dan daun tidak akan nampak ‘hidup’ jika dihasilkan tukang yang tidak berseni.

“Seni ukiran Melayu banyak menggunakan motif flora seperti daun dan pucuk yang menjalar seperti daun budi, daun pucuk paku atau Bakawali. Kerana itu, setiap tukang baru diwajibkan mengenal jenis daun dan belajar bertukang secara berterusan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan.

“Batu yang sering menghiasi cincin kebiasaannya dipilih pelanggan. Antara yang popular adalah batu akik, batu jarum, zamrud, delima dan ada juga menggunakan mata cincin dari kayu teras, kemuning, koka atau kenang,” katanya.

INFO: Ayah Su

- Untuk setiap tempahan ukiran cincin bermula pada harga RM50 hingga RM500 manakala tempahan ukiran sarung keris boleh mencecah RM12,000

- Ayah Su menjalankan perniagaannya di Arked Perbandaran Jalan Tengku, Semerak, Kota Bharu dan boleh dihubungi di 019-9443739.