Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) akan menganjurkan Karnival 'The Red Warriors' (TRW) selama tiga hari bermula 28 Mei ini di Stadium Sultan Muhammad Keempat di sini dalam kempen merakyatkan sukan itu kepada setiap lapisan masyarakat.
Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata program yang julung kali diadakan itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang sukan khususnya bola sepak yang mula mendapat tempat di hati rakyat.
"Dengan cara demikian orang ramai akan menganggap sukan bukan satu permainan tetapi lebih dari itu malah satu perniagaan yang menguntungkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.
Annuar berkata sempena karnival itu beberapa program telah diatur termasuk pertandingan futsal padang peringkat sekolah rendah dan menengah, pertandingan mewarna di kalangan kanak-kanak, pertandingan jejaka perkasa dan persembahan dikir barat.
Beliau berkata karnival yang berakhir pada 30 Mei itu akan diserikan dengan kehadiran beberapa orang penyanyi tersohor tempatan termasuk Datuk Siti Nurhaliza, Jamal Abdillah, Ramli Sarip, Mawi, Jay Jay dan kumpulan nasyid Unique.
Beliau berkata sempena kepulangan pasukan Kelantan dari Pulau Pinang beberapa acara akan diadakan seperti pertandingan titian bola, lelongan bola dan baju dan perlawanan futsal padang terbuka turut diadakan.
Exco kerajaan negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Kelantan Abdul Fatah Mahmood dijangka merasmikan karnival itu dan majlis penutup akan dilakukan oleh beliau sendiri. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan