Sabtu, Oktober 31, 2009

Tahniah Red Warrior



Tahniah!! Red Warrior mara ke perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2009

Kelantan mara hasil kemenangan agregat 5-1.

Jumaat, Oktober 30, 2009

TM Piala Malaysia 2009 : Perlis Lawan Kelantan ( Semi Final 2 )



Pada malam ini akan berlangsung perlawanan Semi Final ke 2 TM Piala Malaysia 2009 antara Perlis dan Kelantan. Kelantan hadir ke Kangar berbekalkan kelebihan dua gol hasil kemenangan 2-0 pada 27 Oktober yang lalu. Laluan Kelantan ke pentas final nampak selesa namun begitu kelebihan 2 gol bukan jaminan. Justeru diharap pemain kelantan berjuanglah berhabis-habisan untuk menempah aksi final di Bukit Jalil 7 November nanti.

Rabu, Oktober 28, 2009

Demam Bolasepak Melanda Kelantan

Terharu rasanya melihat MB Kelantan, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengenepikan perbezaan politik demi bersama memberi sokongan kepada pasukan Kelantan dalam kempen Piala Malaysia. MB Kelantan dan Semua ADUN Kelantan menerima jemputan khas daripada Tan Sri Annuar Musa untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama bolasepak Piala Malaysia antara Kelantan dan Perlis Di Stadium Sultan Muhammad Ke IV. Sehubungan dengan kehadiran Beliau , MB Kelantan menghulurkan RM 5 Ribu kepada Tan Sri Annuar Musa sebagai insentif kepada pemain dan pegawai pasukan dan mengumumkan Kerajaan negeri akan memberi imbuhan lagi sekiranya pasukan Kelantan berjaya mara ke perlawanan akhir dan seterusnya menjulang Piala Malaysia buat pertama kali.









Loghat Ore Putih Di Kelantan

Di Kelantan, biasanya orang-orang tua mahir berbahasa Inggeris. Terbukti melalui sebutan seperti Kala bagi Colour, Opih bagi Office, Loyar bagi Lawyer dan sebagainya


Opih @ Pejabat


Market @ Pasar


Loyar @ Peguam


Konar @ Belok


Kala @ Warna


Segerik @ Rokok

Kayanya dialek Kelantan


DIALEK Kelantan merupakan salah satu daripada variasi bahasa yang unik
dan kaya terutamanya dari segi sebutan, kosa kata, dan makna. Bagi terus
memelihara khazanah bahasa yang cukup berharga ini, Dewan Bahasa dan
Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) mengadakan rancangan Rampai Budaya :
Kayanya Bahasa Kita yang disiarkan secara langsung melalui siaran
Kelantan FM pada setiap hari Khamis, jam 5.15 petang hingga 6.00 petang.
Sejak tahun 2006 rancangan ini diadakan bertujuan untuk mencari gali
khazanah kekayaan dialek Kelantan agar tidak luput ditelan zaman. Di
samping berupaya meningkatkan kefahaman generasi muda tentang penggunaan
bahasa lama yang jarang digunakan dan tidak sebati dalam kehidupan
mereka. Dua orang Munsyi Dewan, Tuan Haji Mohamad Haron dan Encik
Abdullah Yassin sebagai pengkaji dan pemudah cara yang bersama-sama
dengan pendengar dari seluruh negeri Kelantan untuk berkongsi maklumat
tentang penggunaan dialek Kelantan yang dituturkan oleh masyarakat di
sini.
Bagi menambahkan keberkesanan rancangan ini, DBPWT mengambil pendekatan
memperkenalkan satu perkataan pada setiap rancangan, manakala pendengar
yang menelefon akan memberi maklum balas dari segi maksud dan perkataan
lain yang digunakan di tempat mereka. Hasil daripada rancangan ini, DBPWT
berjaya mengumpul sejumlah kosa kata dan istilah dalam dialek Kelantan
yang pastinya akan menjadi dokumentasi yang berguna kepada masyarakat dan
pengkaji pada masa ini dan pada masa yang akan datang.
Antaranya ialah bojeng yang membawa makna gaya rambut, kuis (gerakkan
benda dengan kaki), selak (pengsan) papah (guntingan pendek rambut),
jirek (pijak), kuca bara (suasana yang bersepah), gelap gelemak (hitam
yang amat sangat) dan banyak lagi. Untuk mengetahui perkataan-perkataan
lain, pembaca boleh mendengar rancangan menerusi saluran Kelantan FM.

Selasa, Oktober 27, 2009

TM Piala Malaysia 2009 : Kelantan 2-0 Perlis ( Semi Final 1 )



Kelantan berjaya menundukkan Perlis 2-0 dalam perlawanan separuh akhir pertama TM Piala malaysia 2009 di Stadium Sultan Muhammad Ke iv malam tadi. 2 gol Kelantan dihasilkan oleh penyerang sensasi Indra Putra Mahyudin pada minit ke 23 menerusi sepakan penalti manakala gol ke 2 disumbangkan oleh pemain pertahanan Rizal Fahmi Rosid pada masa kecederaan separuh masa kedua. Kemenangan ini memberi kelebihan kepada Kelantan yang akan bertandang ke Kangar pada hari Sabtu 31 Oktober ini bagi perlawanan timbal balik. Untuk makluman perlawanan tadi turut disaksikan oleh jemputan daripada KAFA iaitu Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Isnin, Oktober 19, 2009

TM Piala Malaysia 2009 : KL Plus Lwn Kelantan (Suku Akhir 1 )


Kepada peminat The Red Warrior yang berada di sekitar Lembah Klang, marilah beramai-ramai memenuhi Stadium PBKL Cheras pada malam ini untuk menyaksikan pertembungan suku akhir pertama TM piala Malaysia 2009 antara Road Warrior (Kl Plus)dan Red Warrior (Kelantan). Saksikanlah Kehebatan antara dua jaguh bagi menentukan langkahan ke separuh akhir.Ayuh kita beri tepukan gemuruh dan laungan keramat "gomo Kelate Gomo"dengan harapan kepulangan Kelantan ke Kota Bharu diiringi bekalan gol yang selesa. Insyaallah.


Banner Daripada Blog http://gulaikawah.blogspot.com/

Ahad, Oktober 18, 2009

Singa Beng


Di Kelantan, air limau ais dipanggil Singa beng

KESEDAR


Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) merupakan sebuah Lembaga Kemajuan Wilayah yang ditubuhkan pada 2 Mac 1978 di bawah Akta Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan 1978 (Akta 203). Pelancaran perasmian penubuhannya disempurnakan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia Ketiga pada 5 Mac 1978 bertempat di Kampung Batu Gajah, Tanah Merah, Kelantan. Penubuhan KESEDAR bertujuan mengimbangi komposisi penduduk di antara Kelantan Selatan dengan Kelantan Utara, membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

KADA


KADA (Kemubu Agricultural Development Authority) disempurnakan penubuhannya pada 30 Mac 1972 melalui Akta 69, Akta Lembaga Pertanian Kemubu, 1972 dan dilancarkan dengan rasminya oleh Y.A.B. Tun Hj. Abdul Razak bin Hussein, Perdana Menteri Malaysia pada 2 Mac 1973. Setelah KADA diwujudkan, Kerajaan Negeri Kelantan pula menyusuli tindakan dengan meluluskan Enakmen Pihak Berkuasa Kemajuan Pertanian Kemubu, 1972 (Enakmen no.2 Tahun 1972 Kelantan) membolehkan Menteri Pertanian dan Perikanan melaksanakan Akta Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, 1972 mulai 1 Ogos 1972. Kampung Kemubu terletak di tebing Sungai Kelantan, 30km dari Kota Bharu telah disemadikan namanya dalam lipatan sejarah KADA. Di situlah terbina sebuah rumah pam membekalkan air ke Rancangan Pengairan Kemubu (RPK), rancangan terbesar dalam gugusan rancangan-rancangan pengairan lain yang dipersatukan di bawah kuasa pengendalian KADA.

Sabtu, Oktober 17, 2009

Kolam Air Panas Labok

Kolam air panas ini terletak di Kampong Rengas, Labok lebih kurang 20 kilometer dari Bandar Machang. Ia berhampiran dengan jalan negeri Tok Bok ke Selising, Pasir Puteh. Tahap kepanasannya amat tinggi dan berbeza dengan kolam-kolam air panas lain yang terdapat di negeri Kelantan. Kawasannya dikelilingi kehijauan pokok-pokok dan sawah padi.


Rabu, Oktober 14, 2009

Dinar Emas Kelantan


Dinar Kelantan telah dilancarkan pada 2006 oleh Mariwasa Kraftangan, pengeluar cenderamata tempatan bagi objek seni dan budaya. Kerajaan negeri Kelantan cuba untuk memberi dinar satu status sah diperlakukan, tetapi tidak disokong oleh kerajaan persekutuan Malaysia di Kuala Lumpur. Dinar kini telah dikeluarkan secara tidak rasmi, meskipun dengan tiada status sah untuk diperlakukan. Satu-satunya mata wang yang sah diperlakukan di Kelantan adalah ringgit Malaysia. Menurut perlembagaan Malaysia, jadual kesembilan, bahagian 7.a negeri di Malaysia tidak mempunyai hak untuk mengeluarkan duit syiling.

Duit syiling ini mempunyai satu komposisi berlogam emas 22 karat. Terdapat 3 jenis - 1/4,1/2, dan 1 dinar.

Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra



Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra adalah sebuah lapangan terbang yang terletak di Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Lapangan terbang ini mempunyai terminal baru yang siap dibina pada bulan September 2002. Terminal ini yang besarnya 12 000 meter persegi mempunyai tiga pemakir pesawat, tiga jejambat pesawat dan dapat menampung 1.4 juta penumpang setahun. Terminal ini dibina sebagai kemudahan pelancong-pelancong yang meningkat di negeri Kelantan.

Di dalam tahun 2005, lapangan terbang ini menampung 635 397 penumpang, dengan 8 765 gerakan pesawat.

Sejarah

Lapangan terbang ini pernah menjadi landasan Tentera Udara Diraja British dan juga tempat pendaratan pertama orang Jepun di Malaya semasa penduduk Jepun pada 1941
Penerbangan dan destinasi

* AirAsia (Kuala Lumpur)
* Penerbangan Malaysia (Kuala Lumpur)
o Firefly (Pulau Pinang, Subang*) Bermula 17 Nov 2007

Isnin, Oktober 12, 2009

Rakyat Kelantan Disaran Ternak Merpati : MB


KOTA BHARU - Rakyat di negeri ini disaran mengusahakan ternakan merpati kerana ia dikatakan mampu memberikan pulangan yang lebih lumayan berbanding perusahaan menternak burung puyuh.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ternakan burung merpati memberi pulangan pendapatan yang lebih baik dan menguntungkan jika dijual secara meluas di pasar tani yang banyak terdapat di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berwajib di sektor pertanian supaya mencari pendekatan yang sesuai menerusi kaedah teknologi tinggi bagi menggalakkan rakyat negeri ini, khasnya petani menceburkan diri dalam berkenaan.

“Sewaktu di Mesir saya melihat orang Mesir menjalankan perusahaan ternakan burung merpati secara besar-besaran. Selain makan telur, orang Mesir juga memakan anak burung merpati yang dipercayai banyak khasiatnya.

“Mereka tak makan burung merpati tua sebaliknya makan anak burung merpati. Rasanya sedap dan khabarnya kolesterol pun belum ada lagi. Kita di Kelantan hanya pelihara burung puyuh dan makan telur puyuh. Selain itu kita juga makan burung puyuh tua, sudah pencen tak sedap,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pasar Raya Nirwana Maju, di Pekan Baru Kubang Kerian dekat sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu, pemilik Kubang Kerian Square, Chua Siew Seng dan Pengarah Urusan Nirwana Group, Ng Chong Keong.

Nik Aziz berkata, pertumbuhan Pasar Tani Fama di Kelantan yang kini berjumlah 17 buah mampu meraih kutipan jualan berjumlah RM17 juta setiap tahun.

“Jika ternakan burung merpati ini dapat digalakkan, ia akan meningkatkan lagi jumlah kutipan nilai jualan yang bakal memberi pulangan terus kepada petani,” katanya.

Menurutnya, walaupun bangunan pasar raya kini berjumlah 10 buah di Kelantan namun ia tidak menjejaskan peluang peniaga kecil.

“Ini menunjukkan kuasa membeli rakyat Kelantan kini masih tinggi walaupun Kelantan dianggap mundur dan tidak membangun.

“Penubuhan Pasar Raya Nirwana Baru ini merupakan jawapan praktikal kepada tuduhan-tuduhan yang mendakwa Kelantan di bawah pentadbiran Pas mundur dan tidak membangun sebagaimana negeri lain,” katanya.

Ahad, Oktober 11, 2009

Jumaat, Oktober 09, 2009

Menara Jam Taman Bendahara


Menara Jam Taman Bendahara merupakan sabagai satu tugu peringatan, sumbangan dari bekas tentera Jepun (veteran perang) sempena mengingati peristiwa pendaratan pertama mereka di Pantai Padang Pak Amat @ Pantai Sabak, Malaya semasa Perang Pasifik (Perang Dunia II di timur). Pendaratan ini berlaku sejurus selepas tengah malam, pada 8 Disember 1941, sejam sebelum serangan ke atas Pearl Harbor berlaku. Pihak tentera Jepun mendarat sejurus selepas tengah malam, dan disambut dengan periuk api dan tembakan sengit oleh pasukan India British yang mengawal pantai.

Tapak pendaratan sebenar telah terhakis ke laut disebabkan hakisan yang menghanyutkan kubu kotak (pillboxes) (kubu menembak yang diperbuat daripada konkrit) yang dibina sepanjang pantai sebelum perperangan meletus. Kubu kotak terakhir dipercayai dihanyutkan sekitar akhir 1990. Kini tembok batu telah dibina bagi memperlahankan hakisan.

Menara Jam Taman Bendahara ini dibina berhampiran lapangan terbang Pengkalan Chepa, tidak jauh dari tapak pendaratan pertama Jepun dahulu, dan telah disiapkan sekitar 1988. Padanya terdapat tulisan yang meluahkan "penyesalan" mereka terhadap bahana peperangan dan penjajahan serta mendoakan agar dunia akan terus aman dan bebas.

Beberapa langkah sahaja dari menara jam tersebut pernah terdapat sebuah kubu kotak (pillbox) tinggalan askar British dari era perang dunia ke-2 semasa mereka mempertahankan Malaya dari serangan Jepun.

Dan kini, kawasan tersebut telah dibangunkan, dari sebuah kawasan lapang terbiar kecuali menara jam ini, kepada Taman Orkid Tengku Anis dan akhirnya kepada "Taman Bendahara" - sebuah pusat membeli belah yang menempatkan rumah kedai dan sebuah hypermarket. Kubu kotak ini bagaimanapun telah dimusnahkan bagi memberi laluan kepada projek "Taman Bendahara" berkenaan.

Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan


Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan atau ringkasnya PKINK ditubuhkan pada tahun 1966 di bawah Enakmen Negeri No.10. PKINK mula beroperasi pada 10 November 1969. Pengerusi PKINK yang pertama ialah YAB Dato' Hj Mohd Asri Bin Muda. Menteri Besar Kelantan merupakan Pengerusi Lembaga PKINK. Jawatan tersebut kini dipegang oleh Y.A.B Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat.

Misi PKINK

Sebuah badan korporat yang bertanggungjawab dalam menerajui pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Negeri Kelantan, berlandaskan prinsip - prinsip Islam, untuk kesejahteraan Ummah.

Jambatan Bijih


Jambatan Bijih merupakan sebuah jambatan bersejarah dan tidak digunakan. Ia terletak berhampiran pantai di Kampung Jubakar Tumpat Kelantan. Jambatan ini dibina sebelum perang oleh pihak British. Jambatan ini dibina bertujuan untuk memudahkan kerja-kerja pemunggahan bijih besi dari darat ke kapal pengangkut.
[sunting] Sejarah

Pemunggahan bijih besi ini diusahakan oleh sebuah syarikat dari Jepun iaitu Oriental Mining Co., di kawasan Bukit Besi, Temangan, Kuala Krai Kelantan. Kawasan lombong bijih besi sekarang ini telah terdirinya Sekolah Kebangsaan Temangan.Bijih besi diangkut dengan menggunakan kereta api ke pelabuhan Tumpat. Bijih besi dimasukkan ke dalam bekas khas untuk diangkut ke kapal kecil melalui jeti yang telah dibina, kemudian ia dipindahkan ke kapal induk untuk dihantar ke Jepun.

Pengeluaran bijih besi ini terus dilakukan semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1941 - 1945), ia dilakukan oleh pemerintah tentera Jepun. Pengeluaran ini masih diteruskan selepas Perang Dunia II oleh syarikat yang sama di bawah pengawasan pemerintahan British. Pengeluarannya berterusan sehingga tahun 1965 di mana operasinya dihentikan kerana bekalan bijih yang ada semakin berkurangan.

Selepas operasi pengeluaran bijih timah dihentikan, Jambatan Bijih ini tidak digunakan lagi dan dibiarkan tidak terurus. Kini yang tinggal hanyalah kesan runtuhan yang menjadi bukti sejarah.

Gelanggang Seni


Dalam mengejar erti pembangunan kerajaan Kelantan juga tidak pernah mengabaikan seni warisan budaya rakyat negeri ini. Sehubungan dengan itu, Gelanggang Seni yang terletak di Jalan Sultan Mahmud iaitu kira-kira 2 km dari pusat bandar Kota Bharu diwujudkan.

Pusat ini sentiasa menjadi daya tarikan kepada para pelancong dan kepada anak-anak Kelantan yang cintakan seni warisan bangsa untuk berkampung dan mempersembahkan persembahan masing-masing. Antara persembahan yang masih digemari dan kerap diadakan ialah dikir barat, Rebana Ubi, permainan gasing, dan wau bulan. Persembahan ini diadakan pada hari Rabu setiap minggu secara bergilir-gilir.

TM Piala Malaysia 2009 : Kedah Lwn Kelantan

Khamis, Oktober 08, 2009

Video TM Piala Malaysia 2009 : Kelantan Lwn Penang

Suasana Di Stadium Selayang : ATM Lwn Kelantan

Ribuan ikan duri muncul di Bachok, mungkin akibat gempa


Hasil tangkapan luar biasa ikan duri oleh nelayan di Kuala Kemasin dan Pantai Senok, Bachok, semalam berkemungkinan berpunca daripada kejadian gempa bumi yang berlaku baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Meteorologi Wilayah Timur, Azmi Daud berkata, fenomena kemunculan ribuan ikan dari dasar laut kebiasaannya terjadi apabila adanya kejadian bencana alam kerana ikan akan mencari kawasan yang lebih selamat.

"Biasanya haiwan seperti ikan laut ini mempunyai ketajaman deria yang kuat dan sensitif dan setiap kali berlaku bencana alam seperti gempa bumi dan seumpamanya, ia berkumpul dan timbul di sesuatu kawasan yang sama dalam kuantiti yang luar biasa banyaknya," katanya kepada Bernama di Jerteh hari ini.

Semalam, nelayan di sekitar Kuala Kemasin dan Pantai Senok terkejut apabila memperoleh hasil tangkapan ikan duri sehingga 5,000 kilogram hanya dalam tempoh dua jam turun ke laut.

Seorang nelayan Mat Zin Omar, 44, berkata kejadian itu merupakan kali pertama berlaku sejak dia menjadi nelayan 15 tahun lepas.

"Kebiasaannya hasil tangkapan paling banyak diperoleh adalah sekitar 1,000 kilogram sahaja. Kejadian ini memang sesuatu yang luar biasa," katanya.

Beliau berkata nelayan menganggapnya satu rezeki yang tidak dijangka dan mereka kini menjual ikan duri terbabit kepada peraih pada harga RM4.60 sekilogram.

Timun Cina & Timun Batang




Kalau berkunjung ke negeri Kelantan,anda akan mendengar sebutan buah timun bagi tembikai. Manakala mentimun pula dipanggil timun batang.

Rabu, Oktober 07, 2009

Wujudkan muzium wau di Kelantan


KOTA BHARU 6 Okt. – Persatuan Pelayang Negeri Kelantan menyarankan kerajaan negeri supaya mewujudkan sebuah muzium wau bagi memelihara khazanah tradisi yang menjadi kebanggaan negeri dan negara.
Yang Dipertuanya, Nik Ariff Datuk Nik Hassan berkata, kerajaan negeri tidak harus melihat langkah seumpama itu sebagai suatu yang sia-sia sebelum negeri-negeri lain memulakannya.
‘‘Ia boleh membantu menambahkan lagi produk tarikan pelancongan di samping melengkapkan gelaran kota budaya di samping menyuburkan lagi permainan warisan di samping meningkatkan ekonomi penggiatnya melalui hasil jualan cenderamata.
‘‘Sejak berkurun wau amat rapat dengan masyarakat Kelantan malah diangkat menjadi salah satu khazanah tradisi negeri selain mak yong, dikir barat, kertuk dan gasing,” katanya kepada di sini hari ini.
Katanya, kebanyakan wau tradisional dikaitkan dengan asalnya dari Kelantan iaitu wau bulan, wau kekek, wau puyuh, wau kucing, wau kebayak dan jala budi yang terkenal dengan keindahan dan kehalusan buatannya.
‘‘Wau kucing juga turut dipilih sebagai lambang Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) manakala para pembuat wau yang mahir kebanyakannya dari Pantai Timur.
‘‘Ironi, muzium seumpama itu sudah wujud di Johor iaitu Muzium Layang-Layang Pasir Gudang, sedangkan hanya wau merak dikaitkan dengan tradisi negeri itu, namun ia cukup aktif dalam pelbagai bentuk penganjuran berkaitan dengan wau,” ujarnya.
Katanya, sebuah muzium wau bertaraf dunia boleh diwujudkan sekiranya kerajaan negeri mengambil pendekatan kreatif dalam menjayakan usaha itu.
Beliau menarik perhatian, pihak persatuan sendiri telah lama merancang mewujudkan muzium tersebut namun kekangan kewangan menjadi halangannya.
‘‘Persatuan berharap pihak kerajaan mampu merealisasikan usaha itu dan muzium boleh dijadikan aset untuk menjana ekonomi sekiranya ditadbirkan dengan berkesan,” ujarnya.
Katanya, dari segi pengisiannya, pihak persatuan akan memberikan kerjasama sepenuhnya termasuk menggerakkan aktiviti setempat, antaranya mengadakan bengkel asas membuat wau untuk mendidik generasi muda mengenal sejarah dan pembuatannya.
‘‘Bilik pameran pula akan diisi dengan hasil rekaan seni dan kreativiti wau tempatan oleh pembuat tersohor di samping himpunan layang-layang daripada seluruh dunia.
‘‘Berdasarkan lawatan saya ke beberapa buah negara untuk memperkenalkan wau tempatan melalui pameran dan pertandingan, rata-rata penggiat bertanya kenapa di negeri ini masih belum wujud muzium wau.
‘‘Sekiranya muzium tersebut dibina, penggiat di negara-negara tersebut berjanji akan menyumbang layang-layang mereka untuk dipamerkan,” katanya.
Katanya, hasil lawatan ke London beberapa tahun lalu juga telah menemukannya dengan beberapa peminat wau yang memberitahunya wau rekaan negara ini telah diketahui kewujudannya lebih 400 tahun lalu.

Nelayan raih lima tan pulut ketam dalam 2 jam


BACHOK – Penduduk di Kampung Pantai Senok dekat sini gempar apabila seorang nelayan di kawasan itu berjaya menangkap lebih 5,000 kilogram (5 tan) ikan pulut ketam dengan anggaran harga RM37,000 dalam masa tidak sampai dua jam turun ke laut.

Nelayan terbabit, Che Lah Che Muda, 41, berkata, inilah kali pertama dalam sejarah hidupnya sepanjang 10 tahun menjadi nelayan berjaya mendapatkan hasil tangkapan sebanyak itu.

“Saya memang terkejut melihat hasil tangkapan yang kami perolehi. Ia memang luar biasa. Sebelum ini hasil tangkapan yang paling banyak diperoleh lebih kurang 1,000 kilogram sahaja.

“Tetapi hari ini (semalam) hasilnya cukup lumayan apabila kesemua ikan yang saya peroleh itu adalah ikan pulut ketam yang anggaran berat seekor lebih kurang empat sehingga tujuh kilogram,” katanya ketika ditemui di jeti Pantai Senok, malam kelmarin.

Che Lah berkata, dia bersama tiga lagi rakannya turun ke laut dengan menggunakan dua buah bot kecil kira-kira jam 5 petang.

“Kami turunkan pukat kira-kira 500 meter dari daratan. Lebih kurang satu jam kami dah dapat ikan yang cukup banyak. Ia membuatkan kami terpaksa memanggil bot yang lebih besar untuk membantu mengangkat ikan-ikan ini,” katanya.

Menurutnya, bot besar itu dibantu oleh lapan orang awak-awak dan ia mengambil masa lebih dua jam untuk menarik ikan-ikan tersebut.

“Kami menghadapi masalah untuk mengangkat ikan-ikan ini kerana terlalu banyak. Ia juga menyebabkan dua kali mesin mengangkat ikan itu patah,” katanya menceritakan pengalaman menarik ikan-ikan itu ke dalam bot.

Tinggalan sejarah yang dilupa


Tidak ramai yang menyedari kewujudan Taman Serendah Sekebun Bunga, peninggalan Cik Siti Wan Kembang - wanita yang menerajui pemerintahan Kelantan pada masa silam.

Taman ini mungkin boleh mengimbau bayangan terhadap Cik Siti Wan Kembang dan anak angkatnya, Puteri Saadong yang kisah mereka disaluti mitos dan legenda itu.

Terletak di kawasan agak berbukit dan terdapat sebuah kolam, di kelilingi pohon menghijau dan udara yang nyaman, baginda dan Puteri Saadong dikatakan menghabiskan waktu terluang di sini.

Taman Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayong yang menjadi tempat permainan dan bersukaria baginda dan anak angkatnya Puteri Saadong merupakan sebahagian daripada kota yang dibina raja keenam Kelantan itu di satu kawasan hutan yang dipenuhi pokok tegayong.

Cik Siti Wan Kembang membina Kota Tegayong sebagai pusat pentadbiran baru baginda selepas Gunung Chintawangsa di kawasan pedalaman Kelantan.

Baginda yang memerintah negeri dari 1610 sehingga 1677 membuka Kota Tegayong setelah mudik ke hilir Sungai Kelantan apabila bersahabat dengan Raja Jembal.

Pakar sejarah mengatakan baginda kembali semula ke Gunung Chintawangsa di hujung pemerintahannya dan kisah mengenai Cik Siti Wan Kembang lenyap di situ.

Peninggalannya hanyalah tapak sebuah taman purba yang wujud pada abad ke-17, selain keindahan nama timangan bagi sebuah negeri dan pemerintah wanita tersohor.

Tapaknya berdekatan Kampung Kedai Piah, Pangkal Kalong, 25 kilometer dari bandar Kota Bharu dan kira-kira 500 meter dari jalan utama, namun tiada petunjuk untuk ke situ.

Cuma terdapat sebuah pasar mini yang memakai nama Sekebun Bunga boleh mengingatkan bahawa anda sudah semakin hampir untuk ke tempat yang dituju.

Taman itu dimasukkan dalam senarai tempat menarik untuk dikunjungi dalam laman web Majlis Daerah Ketereh namun anda tidak harus mudah terpengaruh kerana pihak berkuasa tempatan itu sendiri seolah-olah tidak menjengah ke situ.

Jika anda membayangkan suatu yang indah dengan beraneka bunga dan kehijauan yang mententeramkan, lupakan sahaja buat masa ini, apa yang wujud hanyalah suatu yang menyakitkan pandangan.

Tinjauan yang dilakukan ke tapak khusus seluas 700 meter persegi kawasan yang dianggap kini terbiar dan tidak lagi menggambarkan ia sebagai sebuah taman.

Selain binaan Jong Suluk Petalawati di jalan masuk sebagai tanda ada sesuatu yang istimewa di sebalik hutan pokok tegayong itu, terdapat sebuah wakaf di taman itu.

Ketika seakan ditelan hutan yang mengelilinginya, ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba menjadikan kawasan persekitaran sebagai tempat yang selayaknya untuk membuang sampah.

Mujur masih ada segelintir yang prihatin cuba menyelamatkan warisan Cik Siti Wan Kembang daripada terus lenyap begitu sahaja termasuk Mohd. Sidek Mat Husin, 40, seorang peniaga yang mengawasi taman itu sejak 2007.

Dia diminta oleh arwah sepupunya Hashim Isa, penjaga asal lokasi bersejarah tersebut.

"Baru-baru ini ada kontraktor pembinaan yang tidak bertanggungjawab masuk dengan lori membuang sampah di tanah lapang di jalan masuk ke taman ini.

"Jadi pada bulan puasa lepas saya dan beberapa rakan mengumpul duit dan pasang besi penghalang bagi mengelak lori besar dari masuk," katanya.

Menurut Mohd. Sidek, sepupunya yang pernah menjadi tok dalang muda wayang kulit di bawah naungan 'Dollah Baju Merah' mula menjaga kawasan itu sepuluh tahun lalu sebelum meninggal dunia dua tahun lepas.

"Abang Hashim tahu sejarah taman ini. Jadi selepas pencen kerja dengan Jabatan Kerja Raya, atas rasa tanggungjawab, dia sepenuh masa menjaganya kerana tidak mahu anak cucu hilang sejarah negeri," katanya.

Mohd. Sidek menceritakan, semasa hayatnya, Hashim akan mengadakan jamuan pada setiap Hari Keputeraan Sultan Kelantan dan Hari Kemerdekaan bersama-sama peminat sejarah Cik Siti Wan Kembang di situ.

"Hashim yang juga pengamal perubatan tradisional menjaga kebersihan taman dan mengawasi pengunjung daripada melakukan perkara tidak senonoh di situ," ujar beliau.

Tambahnya, semasa sepupunya masih hidup, arwah menjaga tempat itu sepenuh masa tetapi tugas yang diwarisi tidak dapat ditumpukan sepenuhnya kerana urusan perniagaan.

"Ada masa saya datang untuk membersihkan kawasan seperti membuang semak samun di kawasan taman. Tapi kudrat saya tidaklah sekuat mana.

"Kalau ada bantuan daripada majlis daerah mengurus tempat ini adalah lebih baik. Bimbang lama-lama nanti kalau saya tidak sempat, makin terbiar pula.

"Alhamdulillah walaupun kawasan ini tersembunyi, belum ada kes lagi orang melakukan kerja tak senonoh seperti menagih dadah atau maksiat," ujarnya.

Walaupun demikian, Mohd. Sidek berkata setiap minggu ada saja pengunjung yang datang ke situ untuk mandi di kolam taman tersebut kononnya dapat mengubati pelbagai penyakit seperti buatan orang atau untuk mudah mendapat jodoh.

Mohd Sidek. mendakwa harta karun juga pernah dijumpai di situ namun, katanya, ia mungkin mempunyai kaitan orang kampung menyembunyikan barangan berharga mereka semasa Jepun menyerang Tanah Melayu.

Seorang penduduk di kampung berdekatan, Noorafiza Mohd. Azmi, 22, berkata, dia tidak hairan masih ada orang mengunjungi taman tersebut walaupun agak terbiar kerana suasananya yang nyaman.

"Kawasannya sejuk sahaja. Tapi ada juga orang datang ambil air kolam untuk mengubat penyakit gatal kulit," katanya.

Seorang lagi penduduk, Suri Mohd. Noor, 22, pula berkata, dia sekurang-kurangnya sebulan sekali ke kawasan cerang itu.

"Saya akan pergi bersama kawan mengambil angin. Ada macam-macam cerita mengenai kolam itu.

"Khabarnya ada 'buaya putih' yang memunculkan diri kepada orang tertentu sahaja," katanya.

Selasa, Oktober 06, 2009

TM Piala Malaysia 2009 : Kelantan 2-1 Penang


Syukur Alhamdulillah pasukan Kelantan mencapai kemenangan kali ke 4 berturut-turut dan melayakkan diri ke suku akhir TM Piala Malaysia 2009.Kemenangan mengatasi penang dengan keputusan 2-1 hasil jaringan Khalid Jamlus dan Indra Putra Mahyuddin sudah memadai bagi anak-anak buah B. Sathianathan melangkah gah ke saingan kalah mati. Harapan peminat agar langkahan ke suku akhir tidak ternoktah disitu sahaja. Ayuh wira Merah kita ke Bukit Jalil sekali lagi bukan sebagai venue tuan rumah bagi Kelantan tetapi medan perlawanan akhir TM piala Malaysia 2009. Semoga Piala malaysia menjadi milik pasukan Kelantan pada tahun ini. Tahniah

Isnin, Oktober 05, 2009

TM Piala Malaysia 2009 : Kelantan Lwn Penang



Kepada peminat bolasepak Kelantan, Datanglah beramai-ramai ke Stadium Keramat kita pada 6 Oktober ini bagi memberi sokongan kepada pasukan "Red Warrior". Pastikan tiada dentuman mercun dibakar dan dilempar ke dalam padang. Jadilah penonton yang berdisiplin. Sayangilah pasukan kita.

Sumber Grafik :http://epiq835.blogspot.com/

Uniknya wajah Kampung Balai


Berada di tengah-tengah persekitaran alam dan budaya masyarakat Melayu tradisi dan dalam suasana harmoni. Apa yang membezakan mereka hanyalah dari segi kepercayaan dan ini diperlihat dengan kewujudan wat dan tokong.

Mereka adalah komuniti kecil masyarakat Siam dan 'Cina Kampung' di Kampung Balai di pesisir pantai, kira-kira tiga kilometer dari bandar Bachok, diapit oleh kampung Golok dan Kemasin yang majoritinya Melayu.

Masyarakat Siam dikatakan mula menetap di kampung ini sejak kira-kira 200 tahun lalu, meneroka kawasan yang tidak berpenghuni dan nama Bachok juga dikatakan berasal dari gabungan bahasa Siam iaitu ban (kampung) dan chak (Nipah).

Kebanyakannya bertani dan dianggarkan kini terdapat kira-kira 500 orang penduduk, separuh daripadanya masyarakat Siam dan selebihnya Cina Kampung, gambaran yang berlaku banyak perkahwinan campur antara dua kaum tersebut. Gabungan dua budaya ini pula diasimilasikan dengan budaya masyarakat Melayu dari kampung-kampung yang berhampiran apabila dilihat dari aspek pemakaian, pemakanan, hiburan malah pemikiran termasuk soal berpolitik. Mereka petah bertutur dalam loghat Kelantan, malah pengaruh pertuturan itu mudah pula membezakan mereka sehingga ada yang menggelarkan mereka sebagai Cina atau Siam Kelantan.

Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) Kampung Balai, Ku Cheng Kim, 64, berkata penduduk dua kaum ini merupakan generasi kesembilan yang menetap di sini, mewarisi peninggalan nenek moyang mereka. 'Balai' katanya membawa maksud dewan di mana ia menjadi tempat Siam Thai berkumpul untuk melakukan aktiviti masyarakat dan menyambut perayaan. Namun dalam bahasa Thai pula 'Balai' adalah 'bunga kampung' atau penempatan yang subur'.

sebuah patung besar dibina dengan kos RM2 juta yang sebahagian besarnya adalah sumbangan orang ramai yang dilengkapkan dengan lif pada bahagian dalamnya dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun depan.

patung itu mula dibina pada tahun 2002 oleh lima pekerja mahir melibatkan pembinaan tapak seluas 30 meter garis pusat dan menara tokong setinggi 36 meter.

Lif pada bahagian dalam akan membolehkan pelancong meninjau kawasan sekitar kampung Balai dari puncaknya dan kita berharap ia akan menjadi produk pelancongan yang dapat menarik tumpuan penganut Buddha dari seluruh dunia.

Selain patung besar terdapat lagi 100 buah patung kecil dengan seni bina tersendiri untuk dihayati pelancong. Di samping itu dua patung naga besar yang menghiasi pagar hadapan dan pintu gerbang wat sepanjang 181.6 meter setiap satu

kos bagi setiap seekor replika naga itu berharga RM150,000 disumbangkan oleh bekas sami wat berkenaan, Archan Phrak Ajchan Porchai pada tahun 1992.

Wat ini dianggap unik berbanding lebih 20 wat di negeri ini kerana ia mencerminkan pengaruh jelas seni bina China yang digabungkan dengan ciri lazimnya.

penduduk Kampung Balai tidak gah dengan pembinaan patung itu dari aspek keagamaan tetapi bangga kerana ianya akan menjadi produk pelancongan bertaraf dunia yang dapat membantu meningkatkan ekonomi negeri.

Info Jeli


Daerah Jeli merupakan kawasan yang terletak pintu masuk “gateway” ke negeri Kelantan dari sebelah Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Ianya menjadi tempat persinggahan yang sesuai bagi mereka yang dalam perjalanan dari Pantai Timur ke Pantai Barat atau sebaliknya, melalui jalan raya Timur Barat. Di samping itu, Daerah Jeli juga menjadi penghubung kepada kawasan Kelantan Selatan melalui jalan raya Jeli - Dabong.

Oleh yang demikian, dari segi lokasinya Daerah Jeli bersempadan dengan Thailand di sebelah utara, Jajahan Tanah Merah di sebelah timur, Jajahan Kuala Krai dan Gua Musang di sebelah selatan dan Negeri Perak di sebelah barat, merupakan sebuah kawasan yang strategik dan mempunyai daya maju untuk pembangunan secara teratur di masa hadapan.

Pekan Jeli merupakan bandar atau pekan utama di jajahan ini. Ia terletak kira-kira 98 kilometer dari Bandar Kota Bharu melalui jalan raya Timur Barat.

Keadaan muka bumi 82% adalah berbukit-bukau, hutan-rimba dan banyak alur serta sungai. Jajahan ini terletak diantara 90 meter hingga 500 meter dari paras laut. Sungai-sungai utama ialah Sungai Pergau, Sungai Renyut, Sungai Suda dan Sungai Balah.


Lata Terjun


Gunung Reng

Ahad, Oktober 04, 2009

Kejohanan Futsal Terbuka Piala Ketua Pemuda UMNO Kota Bharu


KOTA BHARU- Kejohanan Futsal Terbuka Piala Ketua Pemuda UMNO Kota Bharu, dengan kerjasama pasukan futsal Farmasi Seroja bakal diadakan pada 17 Oktober ini di KB Arena, Pengkalan Chepa.

:Para pemain yang ingin mencuba nasib dan menunjukkan kebolehan masing-masing boleh menyertai kejohanan ini. Tarikh tutup pendaftaran pada 15 Oktober dan pada malam tersebut undi akan menentukan pasukan mana yang akan bertemu.

:Pengarah Program, Rosmadi Ismail berkata, tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk menggalakkan pembabitan belia.

:“Melalui sukan futsal, peserta boleh meningkatkan kesedaran dalam aktiviti bersukan dan kecergasan kerana ia perlu diterapkan sebagai amalan gaya hidup seharian.

:“Selain itu, pertandingan ini turut diadakan untuk menerapkan budaya hidup cergas, sihat dan bersatu padu agar belia akan terhindar daripada aktiviti dan gejala negatif seperti melepak, lumba haram, gengsterisme dan penyalahgunaan dadah,” katanya.

:Pertandingan ini terbuka kepada semua belia yang berumur antara 15 tahun hingga 40 tahun. Dengan setiap pasukan yang menyertainya akan dikenakan yuran pendaftaran sebanyak RM100.

:“Setiap pasukan mesti terdiri daripada lapan pemain. Sehubungan itu, kami berharap pertandingan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua peringkat belia di Kota Bharu,” katanya.

:Kejohanan ini juga menawarkan hadiah lumayan kepada semua penyertaan. Johan akan memenangi wang tunai RM1,500 dan piala, naib johan wang tunai RM700, tempat ketiga dan keempat masing-masing memenangi RM350.

:Borang boleh didapati di KB Arena, Pengkalan Chepa. Kepada peminat sukan jenis ini dijemput hadir bagi memberikan sokongan.

Info Pasir Mas


Pasir Mas merupakan satu daripada 10 jajahan di Negeri Kelantan terletak di bahagian utara Negeri Kelantan, bersempadan dengan jajahan Tumpat di sebelah Utara, Tanah Merah di sebelah selatan, Sungai Kelantan dan jajahan Kota Bharu di sebelah Timur dan Jajahan Sungai Golok, Thailand di sebelah Barat.
Mengikut sejarah kewujudan Pasir Mas, sebuah penempatan telah dibuka oleh Che Leh Ismail atau lebih dikenali sebagai Che Leh Tok Pendekar. Beliau telah dipaksa ke Pasir Mas setelah tanahnya di Kota Bharu diambil alih oleh Sultan bagi tujuan membina istana. Pada masa itu, terdapat seorang guru agama dari Bachok, datang untuk mengajar kelas keagamaan di Pasir Mas.

Bandar Pasir Mas

Guru agama itu kemudiannya pulang semula ke Bachok setelah selesai mengajar tetapi selang beberapa hari setelah kepulangan guru itu, secara tiba-tiba muncul 3 biji mangkuk emas dari dalam semak. Mangkuk ini kemudiannya berpusing membentuk pusar di sekitar semak dan secara tidak langsung, penduduk yang melihat kejadian itu menjerit ‘Mas! Mas!’. Perkataan pasir terbit kerana berdekatan penempatan yang terletak di tebing sungai Kelantan, terdapat beberapa longgokkan pasir sehingga membentuk padang yang luas. Pasir Mas adalah cantuman dari perkataan Pasir dan Mas.

Info Tanah Merah



Bandar Tanah Merah mula berkembang apabila perahu-perahu yang lalu di sepanjang Sungai Kelantan singgah untuk berdagang di Pekan Bukit Remah.

Pekan tersebut terletak di tebing Sungai Kelantan. Lama kelamaan tumpuan orang ramai mula beralih ke suatu kawasan yang letaknya 3 km ke utara yang sekarang ini merupakan bandar Tanah Merah.

Bandar berkenaan menjadi lebih berkembang dengan wujudnya laluan keretapi dan seterusnya stesen keretapi. Pada awalnya, bandar Tanah Merah dan jajahan Tanah Merah adalah sebahagian daripada jajahan Pasir Mas.

Tetapi bermula pada 2 hb Februari 1955, jajahan Tanah Merah mula diwujudkan yang mana bandar Tanah Merah menjadi pusat pentadbiran sepenuhnya.

Bagi mentadbirkan bandar Tanah Merah dan pekan-pekan di jajahan Tanah Merah, beberapa Penguatkuasa Tempatan diwujudkan di bawah Undang-Undang Kerajaan Tempatan 1952.

Mengikut sejarah melayu,Tanah Merah merupakan Ibu Kota bagi Kerajaan Melayu lama iaitu Kerajaan Chi Tu. Mengikut rekod Kerajaan China Dinasti Sui.

Pada kurun ke-7, terdapat satu penempatan dan pemerintahan berpusat Kerajaan yang di kenali sebagai Chi Tu (Bumi Merah) di satu kawasan yang mana Pada hari ini dikenali sebagai Kelantan.Populasi penduduk Jajahan Tanah Merah pada 2005 adalah seramai 108,288 orang. Majoritinya adalah kaum Melayu.