Ahad, Ogos 16, 2009

Sate Kampung Baung popular di Kelantan

Bagi penduduk Kelantan, Kampung Baung dekat Pengkalan Chepa di sini cukup sinonim dengan sate kerana ramai penduduknya menghasilkan sate sebagai sumber pendapatan keluarga.

SABAR: Zamri (kanan) membakar sate bersama pekerjanya.

Meskipun namanya tidak terkenal seperti sate Kajang, rasa dan aromanya setanding, cuma mungkin kurang publisiti terhadap perusahaan makanan itu.
Perusahaan sate di Kampung Baung selaras usaha kerajaan menggalakkan penduduk melaksanakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi konsep satu kampung satu pengeluaran.

Pengusaha sate di kampung itu, Zamri Othman, 38, mewarisi perniagaannya ini daripada bapanya, seorang pesara tentera, Othman Samaah, 68, sejak 15 tahun lalu.

Kesungguhan keluarganya berniaga sate membawa kepada penubuhan syarikat Satay Baung Trading yang berusaha memperluaskan pasaran sate yang diusahakan keluarga mereka.


TELITI: Norhayati memasak kuah sate di
rumahnya di Kampung Baung, Pengkalan Chepa.


Zamri yang bertindak sebagai pengurus syarikat itu dengan bantuan isterinya, Norhayati Husain, 34, serta sekumpulan remaja dan suri rumah kampung itu yang menjadi pencucuk sate.

Pengusaha sate yang juga adik Zamri, Seazmi Othman, 33, turut menyediakan sate serati dan arnab jika mendapat permintaan yang dijual pada harga 35 dan 45 sen secucuk.

Harga sate daging lembu import dan ayam juga berbeza. Sate daging lembu tempatan dijual dengan harga RM45 bagi 100 cucuk, manakala RM1 bagi setiap tiga cucuk sate daging lembu import atau ayam.

Seazmi berkata, keistimewaan sate baung berbanding sate lain terletak pada cara penyediaannya yang dibuat secara tradisional termasuk kaedah membakarnya.


ENAK: Sate ayam
yang sudah siap
dibakar.

“Contohnya, saya menggunakan dapur kayu untuk memasak kuah dan arang bagi membakar sate. Saya tidak menggunakan kipas elektrik untuk membantu menyalakan bara dan tidak menggunakan dapur gas, sebalik mengipas sendiri.

“Kami juga menggunakan lidi kelapa sebagai batang sate dan dan bukan lidi buluh yang digunakan kebanyakan pengusaha sate,” katanya yang mendakwa kelainan itu memberi perbezaan rasa dan aroma.

Ayahnya, Othman Samah, 68, pula menjalankan perniagaan sate tanpa premis tetap seperti gerai atau restoran, sebaliknya menumpukan kepada kaedah jualan secara beli dan bawa pulang dari rumahnya.

Bagaimanapun, bagi memenuhi permintaan pelanggannya, dia membuka gerai bergerak di pasar malam dan pasar tani sekitar Kota Bharu termasuk Wakaf Che Yeh, Kubang Kerian, Pasir Mas dan Lundang.

Permintaan yang tinggi terhadap sate mendorong suri rumah, Noranita Ahmad, 38, dan suaminya, Norjihan Abdul Rahman, 45, mengusahakan perniagaan sate sejak empat tahun lalu.

Berbekalkan pengalaman yang diwarisi daripada bapanya yang berasal dari Kampung Baung, pasangan berkenaan membuka warung sate di Jalan Pengkalan Chepa dengan nama ‘Satay Malaysia’.

Katanya, penggemar sate akan memenuhi warungnya pada lewat petang hingga ke malam.

6 ulasan:

  1. Sedap weh sate ni...lamo doh tok merasa satay baung ni. Biasanya kalu hari raya mak mertua saya yg tinggal berdekatan iaitu di Tmn Sabariah akan tempah satay baung ni. InsyaAllah balik raya tahun ni berjumpo lagi dengna satay baung ni.

    BalasPadam
  2. mcm mana nk tempah sate ni? xde no phone ke

    BalasPadam
  3. yelah...saya pun nak tempah satay baung ni utk hari raya,,,,,,boleh dapatkan saya no telefon satay baung ni x wahai saudara saudari yang dirahmati allah sekelian...tq so much yek

    BalasPadam
  4. Salam...

    macam mana kalu nak tempah sate ni...bole bagi no tepon tak?

    BalasPadam
  5. Warung Satay Malaysia buka kedai dari pukul berapa?

    BalasPadam