HASRAT peminat bola sepak Kelantan menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi di stadium baru mungkin akan menjadi kenyataan.
Ini kerana kerajaan negeri telah bersetuju menyediakan tapak pembinaan bagi kompleks sukan termasuk sebuah stadium.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Abdul Fatah Mahmood berkata, mesyuarat Perbadanan Stadium sebelum ini turut memutuskan untuk mengekalkan Stadium Sultan Muhammed IV yang berusia lebih 40 tahun itu.
Menurutnya, kerajaan negeri bersetuju menyediakan tanah seluas 16 hektar di Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu sebagai lokasi pembinaan kompleks sukan tersebut.
Pada masa yang sama katanya, kerajaan negeri juga memohon sebanyak RM500 juta daripada Kerajaan Pusat di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi membina kompleks sukan yang dicadangkan itu.
"Kita memilih untuk mendirikan stadium baru ini atas sebuah tapak baru kerana berpendapat stadium yang sedia ada mempunyai nilai sentimental serta sejarah yang tersendiri.
"Kerajaan negeri juga berpendapat bahawa sebuah stadium baru sangat diperlukan untuk pelbagai program termasuk bola sepak, cuma ketika ini kita berdepan masalah kekangan kewangan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Bharu semalam.
Kosmo! kelmarin melaporkan, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memohon Kerajaan Pusat membina sebuah stadium bola sepak berharga RM100 juta di Kelantan bagi memberi keselesaan kepada penonton menyaksi- kan perlawanan bola sepak.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, stadium bola sepak baru yang dicadangkan itu dapat menampung kira-kira 30,000 penonton berbanding Stadium Sultan Muhammed IV yang hanya boleh menampung 15,000 penonton sahaja.
STADIUM Sultan Muhammed IV yang hanya mampu menampung 15,000 penonton.
Abdul Fatah berkata, kerajaan negeri begitu berbesar hati sekiranya pihak-pihak berkenaan bersedia untuk menyumbang dari segi dana bagi pembinaan stadium baru tersebut.
Bagaimanapun jelasnya, sehingga kini belum ada perbincangan khusus antara kerajaan negeri dan KAFA mengenai perancangan tersebut.
"Sudah tiba masanya untuk kita mengetepikan seketika isu-isu tertentu semata-mata untuk menumpukan perhatian terhadap pembangunan sukan serta bola sepak tempatan.
"Kerajaan negeri memandang serius dan positif mengenai perkara ini dan ia seharusnya mampu direalisasikan untuk kepentingan golongan belia di negeri ini," ujarnya.
Katanya, beliau bersama Timbalan Menteri Besar yang merupakan Pengerusi Perbadanan Stadium sebelum ini telah melakukan lawatan ke Korea Selatan untuk melihat sendiri stadium serta prasarana sukan yang dimiliki negara tersebut.
Abdul Fatah turut melahirkan harapan untuk menjadikan program pembangunan sukan di Kelantan setanding dengan negeri- negeri lain.
"Sukan hari ini bukan lagi sekadar hobi atau minat tetapi ia mampu dijadikan satu kerjaya yang baik dan mendatangkan pulangan lumayan kepada para atlet dan ahli sukan," tambahnya.