Mewah Bahasa: 'Panjat pokok sampai hujung julai'
PADA satu hujung minggu pasangan suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga, mengunjungi rumah keluarga si suami di pekan kecil di selatan tanah air. Si isteri dalam keadaan mabuk-mabuk pada peringkat awal kehamilan ....
Isteri: Rasa muallah, rasa nak muntah! Tekak loya, rasa nak makan benda-benda masam.
Suami: Ayang nak makan apa? Nanti esok kita balik KL, abang belikan.
Isteri: Tak nak kat KL! Nak makan sini ....
Suami: Ayang nak apa?
Isteri: Rasa teringin nak cicah buah kundang dengan garam.
Suami: Ooo, ayang teringin nak cicah kundang ya?! Ok, pagi esok abang pergi tengok kat pasar. Selalunya pasar kat sini ada jual buah-buah dan sayur kampung. Kalau ada rezeki adalah orang jual buah tu.
Isteri: Tak nak esok, nak sekarang jugak! Bukan ayang yang nak, tapi yang dalam perut ni yang nak.
Suami: Mana nak cari petang-petang macam ni?! Sabarlah sampai pagi esok.
Isteri: Tu ada, atas pokok tu nampak banyak bergayut. (sambil menunjuk ke arah sebatang pokok di belakang rumah)
Suami: Ooo, yang itu ke? Tajamnya mata ayang. Abang tak perasan pulak dan tak ingat pulak pokok tu. Sejak abang kecil lagi pokok tu memang dah ada. Dari dulu memang buahnya tak pernah putus.
Isteri: Abang gilah panjat.
Suami: Alamak!! Ayang, pokok tu tinggi dan batangnya besarlah. Dulu masa budak-budak memanglah abang selalu panjat pokok tu, tapi masa tu tak le setinggi ni.
Isteri: Panjatlah! Dulu masa belum kahwin abang selalu cakap yang abang tu jaguh kampung. Semua boleh buat, panjat pokok, berenang dan macam-macam lagi sampai boring nak dengar. Sekarang ni nak panjat sikit pun dah tak nak? Abang dah tak sayang ayang ke?!
Suami: Bukan tak nak, tapi pokok tu tinggi, dah tua. Masa dulu tu lainlah, rendah lagi, tak macam sekarang. Subur sangat tanah sini agaknya.
Isteri: Nak panjat ke dak ni?! Karang ayang panjat sendiri baru tau, biar terkejut beruk semua orang kampung.
Suami: Oklah! ... abang pergi panjat kejap lagi, tukar seluar dulu. Takkan pakai kain pelikat macam ni je, nanti nampak benda lain pulak yang bergayut! Tapi lambat sikitlah nak dapat ... hujung julai!
Isteri: Hujung Julai!!! Takkan nak panjat pokok tu pun sampai tiga bulan? Abang janganlah main-main, seriuslah sikit, ayang ngidam nih! Kalau nak tunggu tiga bulan, terberanak dah!
Suami: Siapa yang panjat pokok sampai tiga bulan?
Isteri: Kan abang yang cakap tadi nak panjat sampai hujung bulan Julai.
Suami: Bila pulak abang cakap macam tu?! Abang cakap tadi buah kundang tu ada kat hujung julai. Lambat sikit nak dapat sebab tak boleh panjat sampai situ, nanti patah! Kena pakai galah.
Isteri: kan sekarang ni bulan April, hujung bulan Julai lambat lagi.
Suami: Laaa ... bukan bulan Julailah ayang oooi! Hujung julai tu hujung dahanlah, faham tak? Tak belajo ke?
Isteri: Ke situ pulak perginya, manalah ayang tau. Bahasa orang kampung ni pelik-peliklah. Janganlah banyak sembang! Pergilah panjat cepat! Hari dah nak gelap ni.
Glosari
Hujung julai
- ranting pokok yang hujung sekali
- pucuk ranting (pada tumbuhan yang akan melilit dsb
- berjuntai