Rabu, Februari 17, 2010

Tukang mahir hasilkan ukiran bermutu

KETAM guri, saga keneri, langka dan daun budi mungkin kedengaran asing pada anak muda masa kini. Nama berkenaan sebenarnya sinonim dengan kemahiran ukir logam yang menjadi cabang kesenian orang Melayu terkenal di Kelantan.

Bagi penggemar keris dan cincin, Ayah Su adalah antara pengukir logam tersohor yang sering menerima tempahan mengukir cincin, sarung dan pendokoh keris dari kerabat diraja serta peminat seni warisan Melayu di dalam dan luar Kelantan.


Halus hasil seni tangan Ayah Su.

Keistimewaan dimiliki tukang mahir yang berpengalaman mengukir logam sejak 20 tahun lalu itu adalah ketekunan di dalam pembuatan sehingga mampu membentuk motif ukiran yang sama terutama pada sarung keris.

Kata Ayah Su, kemahiran mengukir logam yang menjadi minatnya sejak sekian lama boleh dipelajari jika seseorang itu tekun dan sabar. Selain minat, kreativiti juga penting kerana menurut Ayah Su, setiap lorekan bunga dan daun tidak akan nampak ‘hidup’ jika dihasilkan tukang yang tidak berseni.

“Seni ukiran Melayu banyak menggunakan motif flora seperti daun dan pucuk yang menjalar seperti daun budi, daun pucuk paku atau Bakawali. Kerana itu, setiap tukang baru diwajibkan mengenal jenis daun dan belajar bertukang secara berterusan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan.

“Batu yang sering menghiasi cincin kebiasaannya dipilih pelanggan. Antara yang popular adalah batu akik, batu jarum, zamrud, delima dan ada juga menggunakan mata cincin dari kayu teras, kemuning, koka atau kenang,” katanya.

INFO: Ayah Su

- Untuk setiap tempahan ukiran cincin bermula pada harga RM50 hingga RM500 manakala tempahan ukiran sarung keris boleh mencecah RM12,000

- Ayah Su menjalankan perniagaannya di Arked Perbandaran Jalan Tengku, Semerak, Kota Bharu dan boleh dihubungi di 019-9443739.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan