Jumaat, Februari 26, 2010

Kerajaan Negeri minta RM500 juta



KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memohon peruntukkan RM500 juta dari Kerajaan Pusat bagi membina kompleks sukan, termasuk stadium di kawasan Bandar Baru Tunjung, dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fatah Mahmood berkata, kertas rangka cadangan peruntukan itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa kepada pihak Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Kementerian Kewangan, baru-baru ini.

Beliau berharap peruntukan yang besar itu dapat membangunkan bidang sukan negeri itu selaras dengan usaha Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mahu menjadikan 2010 sebagai Tahun Bola Sepak Kelantan (TBSK).

“Kita sudah memohon peruntukan RM500 juta daripada Kerajaan Pusat dan harap permohonan ini diluluskan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam

Abdul Fatah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Panau mengakui Kerajaan Negeri setakat ini tidak memberi sumbangan dalam bentuk wang tunai kepada Kafa bagi membantu pasukan itu dalam memajukan bidang bola sepak di Kelantan.

Sebaliknya, kata beliau, Kerajaan Negeri lebih memberi tumpuan dalam bentuk sokongan moral dan mengurangkan bayaran levi kepada Perbadanan Stadium selain bayaran intensif lain kepada pemain bola sepak yang menaikkan nama serta mutu bola sepak Kelantan di bawah Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau juga mengumumkan, pasukan Red Warriors akan mengerjakan umrah ke tanah Suci Mekah pada minggu kedua Ogos depan sebagai memenuhi janji kerana pasukan itu layak ke separuh akhir Liga Perdana musim lalu.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga berharap kejohanan bola sepak Piala Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Piala Tok Guru) dapat dimasukkan dalam senarai aktiviti bola sepak sempena Tahun Bola Sepak Kelantan yang dikendalikan oleh Kafa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan