Masjid Cina, mercu tanda baru bagi penduduk Rantau Panjang, Kelantan. Bernilai kira-kira RM7.2 juta masjid ini Juga dikenali sebagai masjid pelbagai budaya dengan mengambil contoh senibina Pagoda di China. Walaupun pembinaannya masih belum sempurna, ia telah pun digunakan untuk untuk sembahyang terawih semasa di bulan Ramadhan dan sambutan Aidilfitri btahun lepas. Pembinaan masjid tersebut dijangka siap sepenuhnya bulan hadapan.
Sementara ianya dibuka kepada umat Islam untuk sembahyang, pelawat-pelawat juga dibenarkan untuk melihat senibina masjid dan sebagai tempat untuk berehat kerana disediakan tempat khas di ruangan bawah masjid. Kewujudan masjid ini dijangka akan menarik ramai pelancong yang datang untuk melihat Masjid yang satu-satunya terdapat di Negeri Kelantan seumpamanya. Setakat ini, sambutan daripada pengunjung-pengunjung adalah diluar jangkaan. Mereka terdiri daripada pelawat-pelawat daripada luar Kelantan dan penduduk di Selatan Thailand yang sering berkunjung ke daerah ini. Selain menunaikan solat dan berehat, mereka juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar masjid sebagai kenangan.
Taman Negara Kuala Koh merupakan satu-satunya pintu masuk rasmi di negeri Kelantan untuk ke Taman Negara. Terletak di hujung ladang kelapa sawit, Kuala Koh agak unik jika hendak dibandingkan dengan Taman Negara Kuala Tahan. Kuala Koh terletak bertentangan dengan Sungai Lebir dan Sungai Koh. Taman Negara Kuala Koh merupakan sebahagian daripada Taman Negara Semenanjung yang meliputi 4343 km persegi di mana termasuk negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang. Ia merupakan rumah kepada pelbagai spesis flora dan fauna yang unik.
isteri : Heh. heh. ayoh dio tu.... suami : gapo dio gak...nok nyenggeng sikit pun tok leh.. isteri : ni... cili sos, kicap, colek abih belako doh nih... suami : raso baru beli jah.. isteri : tok sir wi abih guano mugo sedak, budok-budok ni beghehi belako, sekali likung jah puok-puok dio. suami : ho pahtu-pahtu.. isteri : pahtu.pahtu...gi la beli nu...kalu nok beli jange beli hok laing..beli hok cap MH mohd.. aloooo seghupo nge tok laki mek joh beli maring tu laaaa....ingat ko dok tu?!.. suami : ingat dohh....eh cap gapo doh? isteri : MH Mohd....MH mohd(meninggikan suara)... suami : aloh bekeng teh
Petikan dialog iklan MH Mohd di radio Kelantan FM
p/s : Bila dengar dialog ini teringat yang bulan puasa mengamit tiba.
Kerajaan Kelantan akan menganjurkan solat hajat pada 1 Ramadhan bermula pukul 4 pagi iaitu ( sebelum sahur ) bagi menangani kes selsema babi (H1N1)yang kini menggerunkan rakyat di seluruh negara.Solat Hajat ini akan diadakan di Padang Perdana.
Sehubungan itu, orang ramai diminta menghadiri program berkenaan lebih awal agar tidak ketinggalan daripada menunaikan solat hajat berkenaan. Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, majlis berkenaan akan diadakan di Padang Perdana sebagai permulaan menyambut kedatangan Ramadhan.
Menurutnya kerajaan negeri turut terpanggil untuk berusaha menangani masalah yang kini semakin menular di negara ini melalui solat hajat.
"Saya pohon pada semua rakyat Kelantan keluar beramai-ramai untuk menunaikan solat hajat berkenaan bagi memohon pertolongan dari Allah S.W.T supaya melindungi diri kita daripada penyakit yang bahaya itu".
Rakyat diingatkan hadir dengan membawa sendiri makanan untuk bersahur selain sejadah kerana pihak penganjur akan hanya menyediakan minuman sahaja.
Nik Aziz yakin dengan sikap prihatin rakyat Kelantan yang sensitif dalaam segala hal, mereka akan keluar beramai-ramai menunaikan solat berkenaan.
Selain berikhtiar dengan cara perubatan kita juga perlu memohon pertolongan daripada Allah dengan menunaikan solat hajat dan berdoa kerana penyakit berkenan sebenarnya bala Allah terhadap semua manusia ekoran perlakuan mereka yang menyimpang dari kehendaknya.
p/s Tidak kedengaran lagi Menteri Besar negeri lain mengajak rakyatnya solat hajat memohon perlindungan daripada penyakit H1N1. Rakyat kelantan ayuh beramai-ramai ke Padang Perdana 1 Ramadhan nanti.
KOTA BHARU 17 Ogos - Sebanyak 2,303 tan metrik bekalan gula tambahan dijangka tiba di negeri ini secara berperingkat bagi menampung keperluan sepanjang bulan Ramadan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KDNKK) Kelantan, Che Halim Abdul Rahman berkata, bekalan tambahan itu akan menyusul selepas penghantaran 2,647 tan metrik sepanjang dua minggu lalu.
Menurutnya, kekurangan bekalan gula tambahan di negeri ini tidak terlalu serius, namun tindakan pengguna membeli berlebihan untuk dijadikan stok menjadikan permintaan meningkat secara mendadak.
''Pegawai Pemantau Harga (PPH) akan ditempatkan untuk memantau proses penghantaran gula ini selain bagi memastikan bekalan ini sampai dan diagihkan mengikut prosedur.
''Orang ramai tidak harus panik dan bimbang berhubung masalah kekurangan bekalan kerana pelbagai tindakan telah diambil bagi memastikan ia tidak berpanjangan,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Tanda Harga 2009 peringkat Kelantan di Pasar Siti Khadijah di sini hari ini.
Mengenai kempen itu pula, beliau berkata, kempen yang bermula semalam dan berakhir 31 Ogos depan itu melibatkan pasar raya, pasar raya besar, pasar malam, pasar awam, pasar pagi, pasar tani dan restoran serta gerai makanan.
Jelasnya, kempen tersebut untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada peniaga mengenai peraturan meletak penanda harga bagi setiap barangan.
''Bermula Januari hingga Ogos, seramai 64 peniaga telah diambil tindakan kerana melanggar Perintah 3 (1) Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993,'' ujarnya.
Bagi penduduk Kelantan, Kampung Baung dekat Pengkalan Chepa di sini cukup sinonim dengan sate kerana ramai penduduknya menghasilkan sate sebagai sumber pendapatan keluarga. SABAR: Zamri (kanan) membakar sate bersama pekerjanya.
Meskipun namanya tidak terkenal seperti sate Kajang, rasa dan aromanya setanding, cuma mungkin kurang publisiti terhadap perusahaan makanan itu. Perusahaan sate di Kampung Baung selaras usaha kerajaan menggalakkan penduduk melaksanakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi konsep satu kampung satu pengeluaran.
Pengusaha sate di kampung itu, Zamri Othman, 38, mewarisi perniagaannya ini daripada bapanya, seorang pesara tentera, Othman Samaah, 68, sejak 15 tahun lalu.
Kesungguhan keluarganya berniaga sate membawa kepada penubuhan syarikat Satay Baung Trading yang berusaha memperluaskan pasaran sate yang diusahakan keluarga mereka.
TELITI: Norhayati memasak kuah sate di rumahnya di Kampung Baung, Pengkalan Chepa.
Zamri yang bertindak sebagai pengurus syarikat itu dengan bantuan isterinya, Norhayati Husain, 34, serta sekumpulan remaja dan suri rumah kampung itu yang menjadi pencucuk sate.
Pengusaha sate yang juga adik Zamri, Seazmi Othman, 33, turut menyediakan sate serati dan arnab jika mendapat permintaan yang dijual pada harga 35 dan 45 sen secucuk.
Harga sate daging lembu import dan ayam juga berbeza. Sate daging lembu tempatan dijual dengan harga RM45 bagi 100 cucuk, manakala RM1 bagi setiap tiga cucuk sate daging lembu import atau ayam.
Seazmi berkata, keistimewaan sate baung berbanding sate lain terletak pada cara penyediaannya yang dibuat secara tradisional termasuk kaedah membakarnya.
ENAK: Sate ayam yang sudah siap dibakar.
“Contohnya, saya menggunakan dapur kayu untuk memasak kuah dan arang bagi membakar sate. Saya tidak menggunakan kipas elektrik untuk membantu menyalakan bara dan tidak menggunakan dapur gas, sebalik mengipas sendiri.
“Kami juga menggunakan lidi kelapa sebagai batang sate dan dan bukan lidi buluh yang digunakan kebanyakan pengusaha sate,” katanya yang mendakwa kelainan itu memberi perbezaan rasa dan aroma.
Ayahnya, Othman Samah, 68, pula menjalankan perniagaan sate tanpa premis tetap seperti gerai atau restoran, sebaliknya menumpukan kepada kaedah jualan secara beli dan bawa pulang dari rumahnya.
Bagaimanapun, bagi memenuhi permintaan pelanggannya, dia membuka gerai bergerak di pasar malam dan pasar tani sekitar Kota Bharu termasuk Wakaf Che Yeh, Kubang Kerian, Pasir Mas dan Lundang.
Permintaan yang tinggi terhadap sate mendorong suri rumah, Noranita Ahmad, 38, dan suaminya, Norjihan Abdul Rahman, 45, mengusahakan perniagaan sate sejak empat tahun lalu.
Berbekalkan pengalaman yang diwarisi daripada bapanya yang berasal dari Kampung Baung, pasangan berkenaan membuka warung sate di Jalan Pengkalan Chepa dengan nama ‘Satay Malaysia’.
Katanya, penggemar sate akan memenuhi warungnya pada lewat petang hingga ke malam.
Buah asam gelugor dan ikan selayang (sardin ) walaupun wujud di tempat yang berbeza namun ianya tidak dapat dipisahkan jika kita berbicara tentang ikan rebus goreng. Cara nya rebus ikan Selayang yg kecik2 dgn asam keping yg byk dan garam.Rebus sampai air kering. Selepas itu ambil ikan dan goreng. Ikan Selayang rebus goreng ini biasanya dimakan bersama dengan pulut gaul nyiur. Pulut gaul nyiur merupakan antara menu sarapan pagi yang popular di negeri Serambi Mekah ini.
Asam Gelugor keping Ikan Selayang yang siap direbus Pulut Gaul Nyiur dengan ikan rebus goreng
Cuaca yang panas terik merupakan satu rahmat dan kurniaan Allah S.W.T kepada umatnya. Kaum wanita di Kelantan yang tinggal di pesisir pantai tidak menghiraukan panas terik mentari yang memancar melakukan aktiviti menjemur ikan untuk dijadikan ikan kering demi mencari pendapatan halal. Tidak hairanlah dikatakan kaum wanita Kelantan adalah kaum yang rajin berusaha memajukan ekonomi keluarga. Senario seperti dalam gambar di bawah biasanya dapat dilihat di Pantai Senok, Bachok dan Pantai Geting, Tumpat.
Mhene oghe kelate ni banyok baso. Timbul sebabak pah sebabak. Ada hok mero aye seramo, belale kerek, flower horn dan juga burung kukur. Kegilaan rakyat kelantan ini mencetuskan idea pendikir tersohor kelate iaitu fendi menterjemahkan hobi masa lapang rakyat kelantan ini ke dalam album dikir barat dia yang memuat beberapa lagu dikir barat seperti Belalang Kerek, Flower Horn, Ketitir tekukur dan juga ayam serama. Dikir Barat - Ayam Serama
Etok ialah sejenis hidupan air seperti kerang yang mendiami kawasan muara dan sungai berpasir. Bentuknya kecil dan berwarna kuning gelap serta hitam. Etok salai amat digemari di kelantan. Selain disalai, etok juga boleh dimasak sup bersama batang serai. Etok salai sedap dimakan begitu saja..isinya yang lemak masin dan manis menjadikannya digemari ramai. Etok salai biasanya boleh dibeli di gerai tepi jalan Kampung Kota ( berhampiran RTM ) Etok ini dibungkus (kelongsong) dengan kertas surat khabar dan dijual biasanya RM 2 (harga tidak tetap) setiap satu. Untuk memakannya pula kita perlu membuka cengkerangnya terlebih dahulu dengan cara menggigit ataupun dengan menggunakan pisau. Memakan etok tanpa menghisap air isinya tidak memberi kepuasan, kerana pada air isinyalah menjelaskan kelazatan etok.
1963 - Menjadi penjaring terbanyak dalam kejohanan Remaja Asia di Saigon Menyertai pasukan ATM pada tahun 1963 Membantu ATM ke perlawanan akhir Piala Malaysia walaupun kecundang 0-1 kepada Selangor
1970 - Menjaringkan 21 dari 28 gol pasukan Kelantan dalam kempen Piala Malaysia Menjaringkan empat dari lapan gol ketika membelasah Singapura di separuh akhir Piala Malaysia 1970 Membantu Kelantan ke perlawanan akhir Piala Malaysia 1970 walaupun tewas 0-2 kepada Perak
1972 - Dali dengan resminya menjadi pemain Malaysia pertama berkasi ke luar negara dan beliau memilih kelab Azzuri Australia. Semasa di Perth beliau telah menjdi pemain semi pro kelab itu dan menerima mendapat kemudahan rumah, kereta serta elaun setiap perlawanan di samping gaji sebanyak A$556 seminggu, jumlah yang cukup lumayan baginya ketika itu.
Tahun 1974 - Dali mendapat tawaran dari kelab Olimpik Kingsway sebagai jurulatih dengan gaji A$40,000 setiap tiga bulan.
Sumber : http://www.stormpages.com/tazhar/dali.htm
Kg Pantai Sabak menjadi Lokasi pertama tentera Jepun mendarat di dalam Penaklukan ke atas Tanah Melayu dalam perang Dunia Kedua. Tentera Jepun mula mendarat di Pantai Padang Pak Amat sejurus selepas tengah malam 8 Disember 1941, dan mencetuskan pertempuran hebat antara tentera India British dan tentera Jepun. Terdapat banyak kesan peninggalan askar British di tanah Melayu antaranya ialah Kubu yg digunakan untuk mempertahankan serangan jepun tetapi selepas Kampung Pantai Sabak dilanda hakisan, kubu tersebut telah hilang ke dalam laut.
KELANTAN yang mendapat jolokan nama negeri Cik Siti Wan Kembang ialah sebuah negeri yang kaya dengan alat-alat muzik tradisional. Antara yang tersohor ialah gendang, rebana ubi, kertok, gong, serunai dan rebab. Mungkin ramai yang tidak mengenali kertok. Ia merupakan sejenis alat muzik tradisional yang diperbuat daripada kayu merbau yang menggunakan alat palu untuk mengetuk belira. Belira adalah sejenis kayu yang diletak di atas lubang kertok untuk menghasilkan bunyi. Penggunaan kayu yang baik untuk menghasilkan belira dikatakan mempengaruhi bunyi yang dihasilkan selain pengalaman pemain muzik itu sendiri. Alat muzik tradisional ini pada asalnya diperbuat daripada buah kelapa sebelum ditukar kepada kayu merbau. Pada zaman dahulu, kertok digunakan oleh golongan tertentu untuk memanggil penduduk kampung atau orang ramai supaya berkumpul sebelum menyampaikan sesuatu berita atau pengumuman penting. ( Semakin ramai anak muda bermain kertok, sejenis alat muzik tradisional yang diperbuat daripada kayu merbau )
Selain itu, kertok juga digunakan dalam pertandingan yang disertai penduduk kampung terutama selepas musim menuai padi. Lazimnya, pertandingan tersebut diadakan pada waktu malam. Dalam pertandingan kertok pula, setiap pasukan mempunyai enam set kertok dengan 12 pemain alat muzik iaitu dua orang bagi satu kertok.
Di Kelantan tanaman tembakau giat ditanam dalam jajahan Bachok dan Pasir Puteh kerana faktor kesesuaian jenis tanahnya. Walau bagaimanapun sekarang penanaman tembakau semakin berkurangan kerana faktor kos untuk penanaman tembakau yang tinggi dan harga dari luar Malaysia yang lebih murah. Kebanyakkan penanam tembakau di Kelantan terdiri daripada kaum wanita yang mencari pendapatan tambahan membantu keluarga.
Kejohanan Juara-Juara Sekolah 100 Plus Supercup 2009 Padang : Pusat Kecemerlangan Sukan Jalan Coachrane, KL Tarikh : 03 - 06 Ogos 2009 Pasukan : Juara Setiap Zon
Pasukan SMK Putera menewaskan SMK Guar Perahu 1-0 dalam perlawanan akhir untuk muncul juara Sekolah 100 Plus Supercup 2009 ( bawah 18 tahun )
Perkataan semutar ialah perkatan bermaksud pakaian kepala/ikat kepala bagi kaum lelaki Kelantan. Biasanya kain semutar menggunakan ikatan kain batik lepas. Pada masa kini pemakaian semutar amat jarang kelihatan terutama bagi generasi baru. Ia hanya kelihtan di pakai oleh pesilat-pesilat pulut dalam majlis-majlis sahaja.
Semutar Kelantan berbeza dengan tanjak atau tengkolok. Bisanya tengkolok atau tanjak dipakai oleh golongan atasan atau untuk majlis-majlis berperetij. Nama-nama tengkolok juga adalah lebih hebat dan berprestij berbanding nama-nama semutar.
Pemakaian semutar dalam masyarakat Kelantan melambangkan pekerjaan sipemakainya. Biasanya semutar akan dibuka semula untuk menyapu peluh atau pun digunakan untuk mengipas-ngipas badan apabila berehat dari bekerja. Berbeza sekali dengan tengkolok yang telah dibuat kekal untuk menampakkan kehebatan ikatannya.
Persatuan Bola Sepak Kelantan atau lebih dikenali sebagai Kafa, kini berjaya mengubah kemurungan yang melanda arena bola sepak negeri ini apabila berjaya mengembalikan keadaan yang suram suatu masa dahulu dengan sinar lebih terang dan menyerlah.
Dengan pengurusan terbaru Kafa, yang bermatlamat untuk menaik taraf persatuan ini sebagai satu persatuan bola sepak bertaraf profesional direalisasikan oleh kakitangan pengurusan baru dengan sistem tadbir urus yang lebih profesional dan sepenuh masa.
Untuk merealisasikan impian negeri ini bagi memiliki sebuah pasukan bola sepak yang disegani ramai, bukanlah sesuatu yang mudah kerana pengorbanan yang besar diperlukan untuk membina sebuah pasukan yang kuat dan sanggup menentang lawan.
Kesemua aspek diambil kira pengurusan yang dipimpin oleh Tan Sri Anuar Musa, selaku presiden yang berkebolehan untuk mengubah Kafa dari sebuah persatuan yang suram ke pengurusan yang lebih profesional dari segala segi termasuklah kewangan, masalah pemain, dan perancangan pembangunan bola sepak ke arah lebih cemerlang.
Bukan itu sahaja, Kafa turut melantik seorang Ketua Pegawai Operasi yang berkebolehan untuk mengendalikan team itu secara sepenuh masa. Beliau yang dimaksudkan ialah Mohd Noor Yaacob, yang dipilih berdasarkan latar belakang yang pernah menganjurkan beberapa program sebelum ini.
Mohd Noor dahulunya pernah bergiat aktif dalam politik dan kebanyakan program yang pernah dipimpinnya dilihat berjaya. Dalam pertemuan dengan beliau, katanya pembabitannya dalam Kafa berlaku secara kebetulan pada tahun 2008.
“Pada masa itu, saya tidak melibatkan diri dalam politik lagi dan dilihat sebagai seorang yang mempunyai masa untuk membentuk dan menyusun struktur organisasi ini. Selain itu, saya juga berperanan untuk menyediakan satu sistem yang lebih baik dari segi kewangan dan pengurusan.
“Sistem pengurusan tersebut membantu Kafa mencari penaja dan kewangan yang lebih tersusun pada masa akan datang. Kebanyakan persatuan bola sepak di Malaysia dilanda masalah kewangan dan Kafa dikenali sebagai salah satu persatuan yang pernah menghadapi masalah tersebut.
“Bagaimanapun, kita berjaya atasi masalah tersebut setelah pucuk pimpinan diterajui oleh Tan Sri Anuar Musa berjaya membentuk sebuah pasukan yang bersedia untuk menghadapi apa jua liga yang dianjurkan FAM,” katanya.
Sememangnya, kewangan banyak memainkan peranan penting untuk Kafa menghantar wakil negeri ke liga perlawanan yang dianjurkan FAM kerana setiap perlawanan memerlukan kewangan yang banyak untuk membayar gaji pemain, kakitangan, insurans, dan kos pengurusan ketika bermain di luar.
Seseorang yang memikul tanggungjawab sebagai presiden Kafa bukan sahaja perlu memiliki kewangan yang kukuh, malah beliau perlu mempunyai daya kepimpinan dan kreativiti untuk memajukan lagi sukan bola sepak negeri dengan menjalankan beberapa program pembangunan bola sepak seperti Piala Presiden dan Piala Kijang Mas.
Dalam tempoh tersebut, Kafa berjaya menangani masalah kewangan yang pernah dihadapi pengurusan sebelumnya dan kesemua keperluan kewangan seperti gaji pemain, bonus dan kebajikan pemain dan kakitangan berjaya diatasi.
Sehingga ke hari ini, Kafa tidak menghadapi masalah kecuali masalah kewangan yang lalu iaitu yang membabitkan tuntutan gaji dan bayaran EPF dan PERKESO yang tertunggak.
“Hanya sebahagian dapat diselesaikan. Tanggungan tersebut tidak dapat diselesaikan ekoran dokumen perjanjian yang tidak jelas dan pihak Kafa akan meneliti, mengkaji serta berusaha untuk menyelesaikan masalah ini secara baik,” katanya.
Untuk tujuan itu katanya, Kafa memerlukan kerjasama semua pihak agar masalah yang melanda dapat diselesaikan.
“Kafa tidak boleh mengikut apa yang dituntut tanpa usul periksa kerana jika tuntutan seperti itu dilakukan, pasti kami akan berhadapan dengan situasi tidak mampu untuk menghadapi liga yang dipertandingkan akan datang,” jelasnya.
Sehingga hari ini, satu-satunya punca kewangan Kafa secara tunai ialah melalui penjualan tiket di Stadium Sultan Muhammad ke-1V.
“Kita berterima kasih dengan sokongan peminat yang membanjiri stadium ketika perlawanan pasukan Pahlawan Merah beraksi di tempat sendiri dan berharap agar sambutan yang diberikan akan berterusan,” katanya.
Lebih penting Kafa perlu bergerak pantas mengikut jadual yang ditetapkan FAM, dan sekiranya masalah berbangkit tidak dapat diselesaikan mengikut waktu yang ditetapkan sudah tentu banyak lagi masalah akan berbangkit.
“Kejayaan Kafa hari ini, sebenarnya berkat kepimpinan Tan Sri Anuar Musa dan ahli majlis yang lain kerana banyak berusaha untuk mewujudkan atmosfera yang positif. Jika dilihat sebelum ini, kita tak pernah melihat budaya fanatik berlaku di negeri ini dan stadium di negeri lain juga tak pernah dipenuhi peminat.
“Tapi di Kelantan kita boleh tengok peminat Kijang sanggup mengorbankan wang ringgit membeli tiket dan juga jersi pasukan ini.
“Bukan itu sahaja kami turut mencipta rekod apabila peminat Kelantan membanjiri Stadium Bukit Jalil ketika perlawanan akhir menentang Selangor,” katanya.
ANNUAR (kiri) menyampaikan dokumen lawatan ke Old Trafford kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan pasukan Kelantan, Azman Ibrahim di Wisma Kafa, Kota Bharu semalam. ________________________________________
JIKA pasukan kebangsaan mendapat pengalaman berguna ketika menentang Manchester United bulan lalu, skuad bola sepak Kelantan juga tidak kurang hebatnya. Skuad Wira Merah itu dijadual mengadakan perlawanan persahabatan dengan Manchester City sempena lawatan mereka ke Old Trafford pada 13 hingga 24 Ogos ini. Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, perlawanan persahabatan dengan City bakal diadakan pada 18 Ogos. Malah Annuar berkata, Kafa bercadang mengadakan dua lagi perlawanan persahabatan sepanjang berada di England termasuk dengan sebuah lagi kelab terkenal. “Perlawanan persahabatan itu diharapkan dapat memberi pendedahan dan pengalaman baru di kalangan pemain-pemain muda Kelantan,” kata Annuar pada majlis taklimat lawatan pasukan Kelantan ke Old Trafford di Wisma Kafa di Kota Bharu semalam. Selain itu, pemain Kelantan juga berpeluang menyaksikan perlawanan pembukaan Liga Perdana England antara United dan Birmingham City pada 15 Ogos. “Jumlah keseluruhan yang mengikuti lawatan itu ialah seramai 83 termasuk 35 barisan pemain dan pegawai. “Turut mengikuti lawatan itu peminat pasukan Kelantan yang ingin bercuti bersama pemain Kelantan,” tambah Annuar. Annuar berkata, lawatan itu merupakan hadiah kepada pemain dan pengurus Kelantan selepas layak beraksi pada perlawanan akhir Piala FA musim ini. Menurutnya, mereka juga akan melancong ke beberapa destinasi menarik di sekitar London.
Apabila Sultan Mansur Shah mangkat 1526M (928H), maka putera baginda, Raja Gombak ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran "Sultan Gombak". Setelah baginda Raja Gombak mangkat, maka cucunda baginda yang telah dijadikan putera angkat, iaitu Raja Ahmad, ditabal menjadi Sultan Kelantan pada 1584M (992H). Dengan gelaran Sultan Ahmad, Baginda telah berkahwin dengan Cik Banun puteri Seri Nara D'Raja, iaitu sepupu kepada Raja Hussein di sebelah isteri Lela Wangsa Pahang. Baginda berdua telah dikurniakan seorang puteri dinamakan Cik Siti Wan Kembang.
Baginda Sultan Ahmad mangkat pada 1589M, sewaktu puteri baginda Cik Siti Wan Kembang berusia 4 tahun, dan oleh sebab itu Raja Hussein dari Johor telah dilantik menjadi Pemangku Raja Pemerintah Kelantan. Bila Raja Hussein mangkat pada 1610M (1018H), maka Cik Wan Kembang ditabal menjadi Raja Kelantan. Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan, kira-kira 40 kilometer ke arah Tenggara Kuala Krai.
Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi terkenal menyebabkan banyak dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari dalam dan luar negeri termasuk juga orang-orang Arab yang mengelarkan Cik Wan kembang dengan panggilan "Paduka Cik Siti". Baginda mempunyai seekor kijang yang amat disukai Baginda, iaitu persembahan daripada rakyat Baginda yang tinggal di Gunung Ayam.
Gambar kijang ini telah diterap di atas wang emas dengan perbelanjaan negeri, dan kemudiannya diabadikan pula sebagai sebahagian daripada daripada lambang kebesaran negeri Kelantan yang berkekalan hingga ke hari ini.
Dalam masa pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang memerintah di Gunung Chinta Wangsa itu, maka disebelah timur laut negeri Kelantan telah timbul sebuah lagi kerajaan berpusat di Jembal, dibawah pemerintahan Raja Sakti 1638M (1046H). Setelah Baginda mangkat, maka putera Baginda, Raja Loyor telah ditabal menjadi Raja pada 1649M (1059H). Baginda dianugerahkan dengan dua orang cahayamata iaitu seorang putera, Raja Sakti yang mangkat sejak kecil lagi dan seorang puteri bernama Puteri Saadong.
Hubungan baik telah terjalin di antara Kerajaan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa, dengan Kerajaan Loyor di Jembal. Baginda Cik Siti Wan Kembang telah mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat yang akan mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya nanti, kerana Baginda tidak mempunyai puteri ataupun putera sebab baginda tidak pernah berkahwin.
Puteri Saadong seorang gadis ayu yang cantik dan jelita, digelar oleh penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Perihal kecantikan Puteri Saadong itu telah sampai kepada Maharaja Siam yang menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong, tetapi ditolak. Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah iaitu sepupunya, dan telah dimahkotakan di Kota Tegayong (Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong) dan kemudiannya dipindahkan ke Kota Jelasin di Kota Mahligai.
"KELATE kito negeri bertuah, buminya luas..Tanahnya subur..Oghe Kelate rajin-rajin..bijak-bijak..Kito tak kurang apapun..Kalau orang lain boleh, kita pun boleh!.. Yang perlu ialah muafakat..Serta pemimpin yang bukan saja baik tapi bijaksana dan berprestasi.. Insyaallah kita BERJAYA"