Khamis, Julai 30, 2009

'Siapa kata aku lokek?'


Satu pagi di tempat letak kereta sebuah jabatan kerajaan di ibu negara ...

Jeff: Celaka betullah! Dilanggarnya side mirrow aku sampai terpelanting lepas tu bagi isyarat lucah pulak. Nak kejar jalan jem pulak, kalau dapat tadi mampus aku kerjakan!

Zul: Apa yang lokek sangat ni? Yang sudah tu sudahlah!

Jeff: Siapa kata aku lokek? Hari-hari kau sapu rokok aku, itupun kau kata lokek lagi?!

Zul: Lokek le tu, ... pagi-pagi dah marah-marah. Aku tegur pun marah. Tak baik tau marah-marah pagi-pagi buta ni, ... rezeki lari! Apa hal sebenarnya ni? Cuba cerita pelan-pelan.

Jeff: Tadi ni haa, tengah jem-jem ada sorang mat rempit ni cilok disapunya side mirror kiri Myvi aku.

Zul: Pecah ke?

Jeff: Bukan lagi pecah! Tercabut, terpelanting atas jalan. Kena handle dia kut?! Dahlah side mirror tu import punya, bukan yang asal. Mahal tau aku beli tu, mahal satu hal ... nak dapat pun susah! Bukannya dia nak bayar, bila aku hon dia pandang dan tunjuk isyarat lucah lepas tu terus hilang celah-celah jem tu. Ini yang aku hangat ni! Kau pulak bagi tambah hangat aku ni tuduh aku lokek pulak! Dahlah rokok aku kau sapu, tak cakap terima kasih pun!

Zul: Ooo, tu ke sebabnya mu lokek sangat pagi ni!

Jeff: Ni nak kena pelangkung le ni! Balik-balik kau tuduh aku lokek! Kena sedas kang baru tau! Orang tengah hangat, dia tuang minyak lagi.

Zul: Haa! Tu lokek le tu. Orang lokek ni kuat marah-marah tak tentu pasal! Faham tak?!

Jeff: Aku ingat kau tuduh aku kedekut, setau aku lokek tu maknanya kedekut. Kalau aku kedekut, aku tak bagi kau supply rokok tiap-tiap hari.

Zul: Siapa kata mu kedekut? Tadi tu aku hairan kenapa mu garang sangat, orang garang macam tu orang tempat aku kata lokek. Kalau kedekut tu orang tempat aku panggil kupik hangik!

Jeff: Kupik Hangik? Kau jaga sikit mulut tu, jangan nak mencarut nanti dengar dek orang, boleh dituduh gangguan seksual!

Zul: Gangguan seksual apanya?!

Glossari

Lokek - i - kedekut, bakhil, kikir

ii - (dialek Kelantan) lekas marah, garang, panas baran

Kupik hangik - (dialek Kelantan) terlalu kedekut

Sumber : Berita Harian

Rabu, Julai 29, 2009

Silap Kalau Kata Kelantan Mundur


PENUBUHAN BAZAR TENGKU ANIS BAKAL MENJADI MARCU TANDA BARU PUSAT PENIAGAAN BARU DI KOTA BHARU

Pembinaan Bazar Tengku Anis yang terletak di hadapan Masjid Muhammadi merupakan satu lagi mercu tanda pusat perniagaan baru bagi Bandar Kota Bharu selain daripada Pasar Siti Khadijah dan Arked Majlis Perbanadaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) atau lebih dikenali dengan nama Pasar Lama.

Pembinaan Bangunan bazar 3 tingkat yang laksanakan oleh Syarikat Sensatimur dengan kerjasama MPKB-BRI itu dilakukan di atas tanah seluas satu setengah ekar yang bercirikan rekabentuk Melayu moden itu adalah untuk menempatkan semula relocation para peniaga di Arked MPKB-BRI dan Arked Uda yang terletak di tengah pusat Bandar Kota Bharu yang terpaksa dipindahkan atas dasar keselamatan tempat berniaga.

. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Dato’ Haji Takiyuddin Haji Hassan ketika berucap di Majlis Penjualan Lot-lot Perniagaan Bazar Tengku Anis baru-baru ini berkata, projek pembinaan Bazaar Tengku Anis ini telah dimulakan April 2008 dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 12 bulan atau selewat-lewatnya bulan Mei 2009.

Katanya, selain daripada faktor keselamatan, pemindahan peniaga ini dari Pasar Lama dan Arked Uda ke bazar berkenaan adalah untuk mempastikan kesinambungan aktiviti perniagaan di kalangan peniaga-peniaga Melayu tempatan di bandar Kota Bharu dapat diteruskan.

Menurut Dato’ Takiyuddin lagi, terletak di lokasi yang cukup strategik serta berada di dalam Zon Warisan Budaya sedikit sebanyak akan menarik perhatian ramai pelancong dan orang ramai untuk mengunjungi bazar ini.

Turut berangkat mencemar duli ke Majlis Penjualan Lot-lot penigaan Bazar Tengku Anis itu, YAM Tengku Amalin Aisah Putri Ibni Sultan Ismail Petra.

Sebelum ini, syarikat Sensatimur telah berjaya membuktikan kemampuan dan komitmennya dalam membangunkan projek awam bersepadu di Wakaf Che Yeh. Atas alasan inilah, maka pihak MPKB-BRI sekali lagi mengadakan kerjasama dengan syarikat ini untuk pembangunan projek bazar tiga tingkat yang dijangka menelan belanja sebanyak 40 juta ringit.

Antara keistimewaan bazar ini adalah mempunyai subbassment untuk tempat letak kereta dengan keluasan lantai melebihi daripada 120 ribu kaki persegi. Antara lain keistimewaan bazar ini selain ianya terletak di tengah-tengah pusat perniagaan bandar Kota Bharu.

Ia bakal mempunyai seribu tapak premis perniagaan pelbagai saiz dan turut disokong oleh penempatan tapak tempat letak kenderaan yang mampu memuatkan lebih daripada 90 buah kereta pada satu-satu masa dan juga seratus petak letak motosikal.

Menurut Dato’ Haji Takiyuddin lagi, MPKB-BRI merupakan pembeli utama kepada bazar ini di mana keseluruhan premis di aras satu telahpun dibeli oleh MPKB-BRI.

Sehingga kini sebanyak 30 % daripada lot-lot niaga bazar ini telah berjaya dijual manakala selebihnya sedang dibuka untuk jualan dengan harga jualan yang berpatutan iaitu bagi lot niaga yang berukuran 8 x 10 kaki harganya adalah RM 84,000 seunit manakala 400 lot niaga yang bersaiz 5 x 8 kaki akan dijual pada harga RM 27,500 seunit, ujarnya.

Pasar Malam Wakaf Che Yeh



Wakaf Che Yeh adalah sebuah pasar malam terbuka yang terletak kira-kira 4km di luar bandar Kota Bharu. Mempunyai keluasan suku ekar, ia adalah tempat untuk membeli makanan ringan tempatan, buah-buahan dan sayur-sayuran segar serta makanan laut. Terdapat juga deretan warung peniaga yang menjual aneka pakaian lelaki dan juga pakaian wanita.

Wakaf Che Yeh beroperasi sepanjang masa dengan fungsi yang berbeza-beza ia merupakan pasar borong di waktu pagi, pasarbasah diwaktu siang dan berubah menjadi pasar malam pula setelah matahari terbenam. Saksikanlah situasi tawar-menawar dan teriakan peniaga-peniaga mempromosikan barangan jualan mereka sembil berbual mesra sesame sendiri.

Tahi Yang Boleh Dimakan


Kuih tahi itik merupakan sejenis kuih yang popular di pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu. Ia merupakan sejenis kuih yang dibuat menggunakan telur dan disira panas dalam air gula. Ia dibentuk bertempek-tempek seperti tahi itik, menurut cita rasa pembuatnya.

Biasanya kuih tahi itik dibuat serentak dengan kuih jala mas atau kuih pauh dilayang, kerana kedua kuih tersebut menggunakan kuning telur, sementara tahi itik menggunakan putih telur.

Kuih tahi itik disediakan dengan menggunakan putih telur yang telah diasingkan dari kuning telur. Selepas itu putih telur yang telah diasingkan itu akan disira dengan dimasak dalam air gula pekat dengan dituang sedikit demi sedikit bagi menghasilkan bentuk akhir. Biasanya kuih tahi itik tidak dibentuk dalam bentuk tertentu kerana ia pada kebiasaannya hanyalah kuih sampingan kepada penyediaan kuih lain.

Kuih tahi itik biasanya tidak banyak dijual secara meluas dan kerana pembuatannya bergantung kepada ada putih telur atau tidak yang biasanya merupakan sisa dari penyediaan kuih jala mas dan seperti dengannya. Kuih tahi itik biasa boleh didapati di pasar, pasar minggu, dan pasar tani pada musim-musim tertentu seperti musim cuti sekolah, ketika banyak majlis perkahwinan diadakan.

Asal

Kuih tahi itik ini lebih popular di sebelah pantai timur, terutama di Kelantan dan Terengganu. Kuih tahi itik ada terdapat dijual secara meluas pada musim tertentu. Ia mudah dihasilkan dan harganya juga berpatutan.

Nama

Nama kuih tahi itik mungkin berdasarkan rupanya yang bewarna keputih-putihan dan bertempek-tempak, yang menyerupai tahi itik. Selain itu mungkin juga kerana ia dihasilkan dari sisa penghasilan kuih lain, menyebabkan ia disamakan dengan sisa / tahi.

Penyebaran

Kuih tahi itik ini lebih popular di sebelah pantai timur, terutama di Kelantan dan Terengganu yang biasa dan mempunyai banyak hidangan kuih yang manis. Oleh kerana kos pembuatan yang rendah, ia ada dijual begitu sahaja, dan tidak perlu ditempah lebih awal. Bagaimanapun penghasilannya dan penjualannya adalah bermusim.

Kuih tahi itik kurang popular di negeri lain di Malaysia, kemungkinannya disebabkan oleh rasanya yang amat manis dan bergula itu dianggap kurang baik bagi kesihatan. Selain itu rasanya yang manis itu menyebabkan seseorang yang memakannya merasa melekit pada tekak atau digelar lekat ditekak. Kuih tahi itik biasanya dihidangkan secara atas darat atau kering tanpa kuah atau air gula, kecuali yang melekat pada kuihnya.

Dalam budaya popular

Kuih tahi itik kurang diminati dikalangan golongan muda kerana ia merupakan sejenis kuih yang manis. Selain itu ia dianggap mempunyai kandungan kalesterol yang tinggi dengan itu dianggap kurang baik bagi kesihatan.

Kuih tahi itik sesuai untuk dijadikan sebagi makanan petang kerana rasanya yang sedap dan manis, biasanya dihidangkan dengan teh tawar kerana ia telahpun manis.

Isnin, Julai 27, 2009

Final Piala Presiden Kafa


Kuala Krai juara Piala Presiden Kafa 2009

KOTA BHARU - Perlawanan akhir yang dinanti ramai, Piala Presiden Kafa antara pasukan bola sepak Kota Bharu menentang Kuala Krai yang telah diadakan di Sta-dium Sultan Muhammad ke-1V terpaksa ditangguhkan.

Hujan lebat pada separuh masa kedua ketika perlawanan sedang rancak berlang-sung telah ditangguhkan akibat keadaan padang yang merbahaya kepada pemain yang sedang beraksi.

Kota Bharu yang telah mendahului lawan, 1-0 pada perlawanan kelmarin terpaksa menerima kekalahan apabila tewas kepada pasukan Kuala Krai, 3-1, ketika perlawanan, pagi semalam.

Keputusan itu menyaksikan pasukan Kuala Krai mengirim pulang pasukan Kota Bharu yang berjaya mempamerkan aksi baik, namun kecundang di tangan pasukan itu.

Pada awal perlawanan, kedua-dua pasukan telah memperlihatkan kekuatan hasil latihan yang telah diadakan sebelum perlawanan. Jaringan pemain berjersi nombor lapan, Mohd Khairul, pada babak pertama minit kelapan berjaya menaikkan lagi semangat pasukan Kuala Krai.

Beraksi di depan penyokong sendiri, Kota Bharu yang ketinggalan, 1-0, memulakan rentak agak berhati-hati dan dilihat kurang kemas dalam melakukan asakan ke kubu lawan menyaksikan gawang pelawat kurang diuji.

Sebaliknya, Kuala Krai bertahan pada babak pertama perlawanan dilihat merbahaya dalam serangan balas mereka, namun kekentalan kubu pertahanan Kota Bharu menyelamatkan keadaan.

Situasi itu menyaksikan kedua-dua pasukan mula mengatur serangan dan tuah telah menyebelahi pasukan tuan rumah apabila berjaya merobek gawang Kuala Krai pada minit ke sembilan menerusi sepakan pemain berjersi nombor 13, Mohd Nasiruddin Fauzi.

Selepas rehat, kedua-dua pasukan meneruskan serangan untuk mencari gol penentuan dan Kuala Krai menyempurna-kannya apabila jari-ngan mudah pemain berjersi 10, Hassan Che Mat pada minit ke-66 meledakkan semangat pemain pasukan pelawat.

Pada minit ke-73, sekali lagi gawang pasukan Kota Bharu diuji pemain Kuala Krai dengan jaringan Mamizi Ibrahim berjersi 16.

Kota Bharu yang ketinggalan, 3-1, cuba untuk bangkit kembali, namun pertahanan Kuala Krai sukar dibolosi pemain tuan rumah sehingga perlawanan tamat.

Pengurus Pasukan Kuala Krai, Muhammad Tahir berkata, anak buahnya telah berjaya memperlihatkan prestasi bermutu pada perlawanan akhir ini.

“Apa yang boleh saya ka-takan adalah rentak permainan yang telah berjaya ditonjolkan pasukan Kuala Krai amat baik dan saya berpuas hati dengan permainan mereka. Walau bagaimana pun, kedua-dua pasukan ini sama hebat.

Menurutnya, berbanding dengan rentak perlawanan semasa ketika perlawanan yang telah ditunda, pasukannya berjaya memperbaiki kelemahan dari segi serangan.

Muhammad Tahir berkata, hadiah yang berjaya dimenangi pasukan Kuala Krai sebanyak RM20,000 akan ditentukan dalam mesyuarat akan datang dan kesemua pemain akan menerima imbuhan setimpal dengannya.

Johan keseluruhan Piala Presiden Kafa, pasukan Kuala Krai berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM20,000, piala pusingan Presiden Kafa, piala iringan dan juga medal.

Naib johan pasukan Kota Bharu turut membawa pulang hadiah bernilai RM10,000, piala iringan dan medal. Manakala bagi pasukan yang berjaya memasuki separuh akhir iaitu Pasir Mas dan Pasir Puteh turut berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000.

Sumber : http://www.redkijang.com , Sinar Harian

Ahad, Julai 26, 2009

Hujung Julai


Mewah Bahasa: 'Panjat pokok sampai hujung julai'

PADA satu hujung minggu pasangan suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga, mengunjungi rumah keluarga si suami di pekan kecil di selatan tanah air. Si isteri dalam keadaan mabuk-mabuk pada peringkat awal kehamilan ....

Isteri: Rasa muallah, rasa nak muntah! Tekak loya, rasa nak makan benda-benda masam.

Suami: Ayang nak makan apa? Nanti esok kita balik KL, abang belikan.
Isteri: Tak nak kat KL! Nak makan sini ....

Suami: Ayang nak apa?
Isteri: Rasa teringin nak cicah buah kundang dengan garam.

Suami: Ooo, ayang teringin nak cicah kundang ya?! Ok, pagi esok abang pergi tengok kat pasar. Selalunya pasar kat sini ada jual buah-buah dan sayur kampung. Kalau ada rezeki adalah orang jual buah tu.

Isteri: Tak nak esok, nak sekarang jugak! Bukan ayang yang nak, tapi yang dalam perut ni yang nak.

Suami: Mana nak cari petang-petang macam ni?! Sabarlah sampai pagi esok.

Isteri: Tu ada, atas pokok tu nampak banyak bergayut. (sambil menunjuk ke arah sebatang pokok di belakang rumah)

Suami: Ooo, yang itu ke? Tajamnya mata ayang. Abang tak perasan pulak dan tak ingat pulak pokok tu. Sejak abang kecil lagi pokok tu memang dah ada. Dari dulu memang buahnya tak pernah putus.

Isteri: Abang gilah panjat.

Suami: Alamak!! Ayang, pokok tu tinggi dan batangnya besarlah. Dulu masa budak-budak memanglah abang selalu panjat pokok tu, tapi masa tu tak le setinggi ni.

Isteri: Panjatlah! Dulu masa belum kahwin abang selalu cakap yang abang tu jaguh kampung. Semua boleh buat, panjat pokok, berenang dan macam-macam lagi sampai boring nak dengar. Sekarang ni nak panjat sikit pun dah tak nak? Abang dah tak sayang ayang ke?!

Suami: Bukan tak nak, tapi pokok tu tinggi, dah tua. Masa dulu tu lainlah, rendah lagi, tak macam sekarang. Subur sangat tanah sini agaknya.

Isteri: Nak panjat ke dak ni?! Karang ayang panjat sendiri baru tau, biar terkejut beruk semua orang kampung.

Suami: Oklah! ... abang pergi panjat kejap lagi, tukar seluar dulu. Takkan pakai kain pelikat macam ni je, nanti nampak benda lain pulak yang bergayut! Tapi lambat sikitlah nak dapat ... hujung julai!

Isteri: Hujung Julai!!! Takkan nak panjat pokok tu pun sampai tiga bulan? Abang janganlah main-main, seriuslah sikit, ayang ngidam nih! Kalau nak tunggu tiga bulan, terberanak dah!

Suami: Siapa yang panjat pokok sampai tiga bulan?

Isteri: Kan abang yang cakap tadi nak panjat sampai hujung bulan Julai.

Suami: Bila pulak abang cakap macam tu?! Abang cakap tadi buah kundang tu ada kat hujung julai. Lambat sikit nak dapat sebab tak boleh panjat sampai situ, nanti patah! Kena pakai galah.

Isteri: kan sekarang ni bulan April, hujung bulan Julai lambat lagi.

Suami: Laaa ... bukan bulan Julailah ayang oooi! Hujung julai tu hujung dahanlah, faham tak? Tak belajo ke?

Isteri: Ke situ pulak perginya, manalah ayang tau. Bahasa orang kampung ni pelik-peliklah. Janganlah banyak sembang! Pergilah panjat cepat! Hari dah nak gelap ni.

Glosari

Hujung julai

- ranting pokok yang hujung sekali

- pucuk ranting (pada tumbuhan yang akan melilit dsb

- berjuntai

Selasa, Julai 21, 2009

Beruntung Jadi Anak Kelantan

Asal Usul Pasir Mas

LATAR BELAKANG PASIR MAS

Pasir Mas merupakan satu daripada 10 jajahan di Negeri Kelantan terletak di bahagian utara Negeri Kelantan, bersempadan dengan jajahan Tumpat di sebelah Utara, Tanah Merah di sebelah selatan, Sungai Kelantan dan jajahan Kota Bharu di sebelah Timur dan Jajahan Sungai Golok, Thailand di sebelah Barat.
Mengikut sejarah kewujudan Pasir Mas, sebuah penempatan telah dibuka oleh Che Leh Ismail atau lebih dikenali sebagai Che Leh Tok Pendekar. Beliau telah dipaksa ke Pasir Mas setelah tanahnya di Kota Bharu diambil alih oleh Sultan bagi tujuan membina istana. Pada masa itu, terdapat seorang guru agama dari Bachok, datang untuk mengajar kelas keagamaan di Pasir Mas.

Guru agama itu kemudiannya pulang semula ke Bachok setelah selesai mengajar tetapi selang beberapa hari setelah kepulangan guru itu, secara tiba-tiba muncul 3 biji mangkuk emas dari dalam semak. Mangkuk ini kemudiannya berpusing membentuk pusar di sekitar semak dan secara tidak langsung, penduduk yang melihat kejadian itu menjerit ‘Mas! Mas!’. Perkataan pasir terbit kerana berdekatan penempatan yang terletak di tebing sungai Kelantan, terdapat beberapa longgokkan pasir sehingga membentuk padang yang luas. Pasir Mas adalah cantuman dari perkataan Pasir dan Mas.

Jumaat, Julai 17, 2009

Jeram Pasu





Jeram Pasu merupakan pusat rekreasi yang paling awal dibuka di Pasir Puteh. Terletak lebih kurang 16 km dari Bandar Pasir Puteh menghala ke Kota Bharu. Kemudahan di Jeram Pasu ialah kolam mandi untuk dewasa dan kanak-kanak, surau, tandas, bilik persalinan, wakaf-wakaf dan dan terdapat gerai menjual air dan makanan segera seperti pisang goreng dan keropok lekor goreng. Tempat letak kereta juga disediakan.
Pusat rekreasi ini menyajikan keindahan flora dan faunanya yang tersendiri.Selain itu pusat rekreasi ini amat sesuai untuk aktiviti santai keluarga pada hujung minggu.

Rabu, Julai 15, 2009

Perkampungan Batik Di Kampung Kijang


Batik mula diperkenalkan di negara kita khususnya di Negeri Kelantan sejak tahun 1910 lagi.

Negeri Kelantan kaya dengan hasil seni batik dan terkenal dengan perusahaan mencanting batik.

Kain-kain batik umumnya diperbuat di atas kain-kain putih yang dibuat daripada benang-benang

biasa seperti kain-kain cambric, lawn dan voile serta sutera. Batik juga mempunyai corak yang

unik dan berlainan serta dihasilkan dengan pelbagai teknik iaitu canting dan pukul bagi

menyerlahkan kecantikannya. Perkampungan batik terletak di Kampung Kijang di mana

penghasilan dan jualan produk-produk batik tertumpu di kampung ini

Selasa, Julai 14, 2009

Pas Pertahan Kerusi N41 Manek Urai

Calon PAS Mohd Fauzi Abdullah, seorang pemborong ikan, menang dengan majoriti "nyawa-nyawa ikan" sebanyak 65 undi.

PAS mendapat 5,348 undi sementara calon BN Tuan Aziz Tuan Mat mendapat 5,283 undi.

Beberapa pemimpin PAS hadir di pusat penjumlahan undi di SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai, termasuk Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Husam Musa; ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli; ahli jawatankuasa pusat PAS, Dr Dzulkefly Ahmad serta Mohd Fauzi.

Bagaimanapun, tiada seorang pemimpin utama Umno yang hadir, termasuk pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed dan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat.

Isnin, Julai 13, 2009

Kelantan Bercuti Esok

Nik Aziz isytihar cuti peritsiwa esok
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, sebentar tadi mengisytiharkan cuti peristiwa esok sempena pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Nik Aziz berkata, pemberian cuti itu bagi memudahkan pengundi dan keluarga mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.

"Untuk kemudahan pengundi dan ahli keluarga mereka maka saya bercadang untuk mengisytiharkan cuti peristiwa esok," katanya pada sidang media di Pejabat Menteri Besar di sini.

Sumber:-Bharian

Ahad, Julai 12, 2009

Gerai Jagung PCB


Terletak di Kg. Redang iaitu pertengan jalan menuju ke Pantai Cahaya Bulan serta berada 3.5 km dari bandar Kota Bharu.

Kegiatan penjualan jagung rebus sudah wujud sejak dahulu lagi disini dan ianya adalah satu-satunya kelompok gerai jagung yang ada di negeri kelantan iaitu diantara 10 hingga 14 gerai.

Keistemewaan jagung rebus di sini ialah ianya direbus dengan menggunakan kayu api dan boleh didapati bila-bila masa walaupun diluar musim penanaman jagung dan harga ditawarkan amat berpatutan dengan kualiti jagung rebus.

Khamis, Julai 09, 2009

Belajar Kecek Kelate - Kata ganda

Mari kita sama2 kongsi kata ganda pelik loghat kelate...Orang luar klantan takkan dpt sbut ngan btul perkataan2 ni, pcyalah...hehehe!!!
Tinggi llayong
Keras kekong
Comel lloteng
Busuk bbanga
Pendek ddekoh/kketok
Ccokoh aghoh
Terbalik kuwe
Berlipat sighak
Pahit llepe
Manis lleting
Masin ppehgak
Mase ppughik
Hangus lletong
Patoh getoh
Gege gegok
Ccace aghe
Kemah keming
Ketat gelemak
Ite llege
Kuning llehe
Sikak tunggeng
Hapok kohong
Pedas bbenge
Meroh mmeghe
Halus seghiyak
KKube lembe
Putih ssuweih
Hangit lletong
Telenggok aghok
Sesat baghak
Gemuk ddebok
Kurus kekek
Pecoh bbegha
Lembek ttepek
Blengah tawah
Ceroh ceraco
Licin lleming/mminyok
Bekok ccobong
Kepek ghohek
Sinar banar
Blawok kohong
Tawar ebe
Cair lloleng.....Dan bnyak lagi, tak terpikir.

Masjid Kampung Laut


Masjid Kg Laut merupakan sebuah masjid yang terletak di jajahan Kota Bharu, Kelantan. Ia terletak di Nilam Puri berhadapan dengan Universiti Malaya, kampus cawangan Kelantan, iaitu 20 km dari pusat bandar Kota Bharu. Usia masjid ini dipercayai melebihi 300 tahun dan turut dikaitkan kedatangan Islam di Kepulauan Nusantara abad ke-17 Masihi. Selain diiktiraf sebagai masjid tertua di negara ini, Masjid Kampung Laut turut disenaraikan antara masjid paling "bersejarah" di Asia Tenggara, seangkatan dengan masjid Nat Tanjung dan Wadi Hussin di Thailand, Masjid Demak di Jawa, Indonesia dan Masjid Kono (Champa, Kemboja).
Sejarah
Cerita lisan
Menurut cerita lisan tradisi, berabad-abad dahulu, para pendakwah belayar ke sepanjang kepulauan Melayu untuk menyebar agama Islam. Pada tahun 1730-an, sekumpulan pendakwah melalui pantai timur Semenanjung Malaysia dalam perjalanan mereka dari Patani di selatan Thailand ke Jawa di Indonesia. Malangnya perahu mereka bocor dan mengalami kesulitan. Para mubaligh dalam perahu itu bersumpah bahawa kalau mereka dibawa ke pantai dengan selamat, mereka akan membina sebuah masjid dengan serta merta untuk memperingati peristiwa itu. Doa mereka dikabulkan, dan para pendakwah mendarat di Kampung Laut, Tumpat.
Binaan masjid
Masjid yang asal bukannya apa yang dilihat pada hari ini. Ia merupakan sebuah struktur asas dengan hanya empat tiang yang menyangga bumbung tiga tingkat yang diperbuat daripada daun rumbia. Keluasanya hanya 400 kaki persegi pada keseluruhannya. Pada akhir abad ke-19, masjid ini menjadi satu pusat agama yang penting, dan masjid itu diperbesar untuk merangkumi bilik sembahyang tambahan, peran, serambi, dan menara. 20 batang tiang dibina untuk menyangga binaan tambahan ini. Binaan tambahan ini menggunakan teknik 'Tebuk-Pasak' yang amat unik. Ia dibina daripada kayu tetapi tidak menggunakan walau sepucuk paku sekalipun. Atap daun rumbianya digantikan dengan atap genting.
Malangnya, asas masjid itu lemah. Dibina di tebing sungai, masjid itu sering dilanda oleh banjir kilat seperti banjir tahun 1926 yang dikenali sebagai "Bah Air Merah" yang melemahkan lagi asasnya. Selepas dilanda sekali lagi oleh banjir yang teruk pada tahun 1966 yang menghanyutkan sebahagian masjid itu, Persatuan Sejarah Malaysia mencadangkan pemindahan masjid itu ke tempat yang lebih selamat. Pada tahun 1968, masjid itu dibuka dan dipasang semula di kawasan Sekolah Pengajian Islam di Nilam Puri.
Pada tahun 1988, masjid ini diperbaik lagi dengan kemudahan-kemudahan moden seperti elektrik, air paip, tandas, dan kawasan duduk. Tiang-tiang dan dinding-dinding masjid juga dihias dengan ukiran kayu. Dengan tambahan-tambahan ini, kawasan binaan menjadi 5,254 kaki persegi (74 kaki x 71 kaki), iaitu 13 kali lebih besar daripada masjid asal.
Masjid Kampung Laut kini masih merupakan pusat agama yang aktif dan telah dianggap sebagai salah satu muzium yang paling penting di Semenanjung Malaysia.

Rabu, Julai 08, 2009

Berita Menyedihkan Buat Pasukan Bola Sepak Kelantan


Kapten Kelantan Badhri Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya mengalami kecederaan serius di kaki kirinya. Dikhabarkan pemain ini mengalami kecederaan patah tulang keting dan Anckle terkulai/mussing/lari dari tapak asal akibat diterjah dengan kasar oleh pemain Pulau Pinang sewaktu perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya malam tadi.Perlawanan yang dilangsungkan dalam keadaan padang yang lecak dan licin akibat hujan lebat itu berkesudahan seri 1-1. Entah kenapa pegawai perlawanan malam tadi tetap mahukan perlawanan diteruskan walhal padang yang sedemikian boleh membahayakan setiap pemain. Begitu lemahnya mutu kepegawaian dalam FAM.Dengan kecederaan ini, beliau terpaksa berehat sehinggalah ke penghujung musim. Sayangnya ketika pasukan Kelantan mencuba untuk menggapai tempat ketiga Liga Super 2009, pasukan kehilangan khidmat beliau yang banyak memainkan peranan menggerakkan jentera tengah pasukan Kelantan pada musim ini. Semoga beliau tabah dan menggunakan kesempatan berehat panjang ini untuk memikirkan idea-idea yang baru buat dipertontonkan pada musim depan.Harapan peminat semoga beliau cepat sembuh.

Isnin, Julai 06, 2009

Pantai Sri Tujoh

MUNGKIN ramai tidak tahu Pantai Sri Tujoh di Jajahan Tumpat, Kelantan terhasil daripada pembentukan tujuh teluk. Keindahan semulajadinya memberikan ketenangan kepada sesiapa yang berkunjung. Duduk bersantai melihat pemandangan pantai ini juga mampu melenyapkan bebanan kerja yang bersarang di fikiran. Tambahan pula, apabila melihat aktiviti nelayan menebar jala dari tepi pantai.

Sumber pendapatan nelayan ini tidak terhad kepada tangkapan ikan malah menjalankan penternakan ikan dalam sangkar dan memproses ikan masin.

Keindahan pantai ini sudah lama dikenali pelancong asing menerusi penganjuran pertandingan wau peringkat antarabangsa tidak lama dulu.

Tarikan utamanya bagaimanapun terletak pada fenomena tujuh teluk yang tidak boleh didapati di tempat lain. Daripada sebuah pantai yang sebelum ini pernah diancam hakisan teruk, pemandangan semulajadinya berubah menjadi tarikan kepada pengunjung dari luar.

Kedudukan pantai itu di kawasan teluk turut menjadikan perairannya begitu tenang dan sesuai untuk pelbagai aktiviti sukan air termasuk bermain bola tampar, berenang atau berkhemah.

Lebih menarik apabila melihat kesibukan bot nelayan yang berlepas ke laut dalam untuk mencari rezeki. Waktu malam di sini bagai bermandi cahaya dengan deruan bunyi bot nelayan yang berlabuh selepas beberapa hari di laut.

Hari minggu adalah waktu paling sesak di sini apabila pelawat membanjiri kawasan pantai. Kawasan pantainya yang luas juga membolehkan pelbagai aktiviti kekeluargaan seperti sukaneka dan perhimpunan keluarga diadakan.

Untuk mereka yang ingin menghayati keindahan pantai pada waktu malam tidak perlu risau kerana banyak chalet dengan kemudahan penginapan selesa didirikan di sekitar kawasan ini.

Chalet terapung umpamanya memberikan anda pemandangan indah perkampungan nelayan berdekatan. Bayu laut yang bertiup lembut memberikan udara nyaman tanpa perlu menggunakan penghawa dingin.
Pantai Sri Tujoh yang asalnya terbentuk daripada tujuh teluk/ lagun. Pesisir pantai yang cantik dan tenang ini sangat sesuai untuk kawasan rekreasi keluarga, rombongan dan tempat kursus. Ia dibangunkan oleh pihak Majlis Daerah Tumpat dengan prasarana dan kemudahan seperti chalet, asrama, taman permainan, tandas awam, kedai makan, restoran, dewan serbaguna dan masjid.

Pantai ini berada berhampiran dengan sempadan Thailand dan Kelantan di Kampung Tujoh yang teletak di Tumpat, 7 kilometer daripada Kota Bharu. Untuk ke sana pengunjung bolehlah menaiki bas yang bernombor 43 daripada terminal utama. Sepanjang perjalanan para pengunjung dapat melihat pemandangan yang menarik.

Ahad, Julai 05, 2009

Tok Bali

Tok Bali dibuka pada tahun 1996, dengan pembinaan jambatan di atas darat oleh Projek Kemasin Semerak (Perkasa), dan kemudiannya dengan pembinaan Terusan Tok Bali. Pembinaan Terusan ini menjadi pemangkin utama pembangunan di Tok Bali, di mana wujudnya pengangkutan melalui laut ke Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Redang di Laut China Selatan. Demikian juga dengan kewujudan jeti pendaratan ikan laut dalam sehingga kepada pertumbuhan industri pelancongan dan produk berasaskan hasil laut seperti keropok, bebola ikan dan sebagainya.

Tok Bali merupakan suatu kawasan yang amat pesat membangun dengan pebagai perancangan yang berbentuk infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan awam serta pembangunan institusi pendidikan, kesihatan, keselamatan dan industri yang berasaskan hasil laut dalam. Terletak 16 km dari Bandar Pasir Puteh. Tok Bali menjadi sebuah pusat peranginan terkenal di Kelantan kerana terdapat kawasan pantai yang bersih serta kemudahan penginapan yang selesa.

Mercu Tanda Tok Bali

Tok Bali Bandar Perikanan

Jambatan Tok Bali

Jeti Pelancongan Dan Perikanan

Jambatan Guillemard @ Jambatan Kursial


Jambatan Guillemard merupakan sebuah jambatan keretapi yang mana kebanyakan strukturnya dibina dengan menggunakan besi. Jambatan ini merentasi Sungai Kelantan yang bermula di Paloh Rawa, Machang ke Kursial, Tanah Merah, Kelantan. Jambatan Guillemard mula dibina pada tahun 1920, dan pembinaan jambatan ini diselesaikan pada bulan Julai 1924. Jambatan ini merupakan jambatan keretapi yang terpanjang di Malaysia.
Sejarah
Jambatan Guillemard atau juga dikenali dengan nama Jambatan Kursial telah dibina pada tahun 1920 oleh Metro Carriage Wagon & Finance Company Limited, Wednesbury Works England dan telah siap pada tahun 1924. Panjang jambatan ini adalah 609.6 meter. Perasmiannya telah disempurnakan oleh Sultan Ismail Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV pada tahun 1925. Nama "Guillemard" diambil sempena nama Gabenor British pada masa itu, iaitu Sir Laurence Guillemard. Tujuan utama jambatan ini dibina adalah untuk menyediakan laluan bagi keretapi dan kenderaan-kenderaan lain.
Walau bagaimanapun, pada 12 Disember 1941 jambatan keretapi "Guillemard" ini telah musnah setelah diletupkan oleh tentera British bagi menghalang kemaraan tentera Jepun ke Kuala Krai. Selepas tamat Perang Dunia II, jambatan keretapi ini telah dibaik pulih dan dibuka semula kepada lalulintas pada 7 September 1948. Pembukaan semula jambatan ini telah dirasmikan oleh Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV pada 7 September 1948.
Pada 1 Februari 1988, setelah pembinaan jambatan baru siap dibina di kawasan berdekatan, Jambatan Guillemard tidak lagi digunakan untuk kenderaan bermotor dan kini ia hanya digunakan oleh Keretapi Tanah Melayu sahaja.

Sabtu, Julai 04, 2009

Kopek Jatuh

DUA gadis bersahabat baik dari Kota Bharu, Kelantan, Leeya dan Zoera, pergi melancong ke Perlis Indera Kayangan. Sedang mereka bersiar-siar di Kangar, tiba-tiba mereka berdua ditegur oleh seorang lelaki pertengahan umur.
Lelaki: Cik adik! Kopek jatuh!
Leeya berbisik kepada Zoera: Kurang ajar betoi orang tua tu… gatai! Aku dah pakai saiz yang betoi tadi, baru beli pulak tu.
Mereka berdua terus berjalan laju meninggalkan tempat itu. Lelaki itu juga kelihatan cuba mengekori mereka.
Lelaki: Ooi!, tunggu sat! Kopek ni, …tak mau ka?
Leeya: Jom cepat Zoera, orang gila agaknya tu. Dahlah cakap bukan-bukan, dia kejar kita pulak tu.
Selepas beberapa ketika lelaki terbabit tidak mengekori mereka lagi. Kedua-dua gadis terbabit singgah di sebuah gerai. Di gerai berkenaan, Leeya mendapati dompetnya hilang. Mereka mengambil keputusan untuk membuat laporan di balai polis.
Leeya: Saya nak buat report, beg duit saya hilang, sekali dengan lesen, kad ATM dan MyKad. Tak taulah, kena copet ke? Atau jatuh masa berjalan tadi.
Polis: Nak buat report kopek hilanglah ni ya?! Cik isi borang ni. Lain kali pegang elok-elok, kalau tak pun, bagi orang lain pegang.
Leeya: Maaf encik, encik kata apa tadi?
Polis: Saya kata tadi, kalau tak boleh jaga, bagilah orang lain pegang kopek tu. Biar dia yang simpan.
Leeya berbisik kepada Zoera: Pak Cik Polis ni pun sama. Tak padan dengan dah tua, nak menggatal lagi. Ada yang kena pelempang karang ni.
Zoera: Bagilah pelempang tu, tapi kalau kaumasuk lokap, aku tak nak jamin.
Setelah selesai mengisi borang, Leeya menyerahkannya kepada anggota polis yang bertugas itu dengan diiringi jelingan geram.
Polis: Oo! Ni Cik Leeya binti Azhar ya?! Tadi ada orang dah jumpa dan serah pada kami. Ni ha kopek Cik Leeya. (Sambil mengunjukkan dompet).
Leeya: Laa! Kopek tu dompet ke? Ingatkan benda tu tadi. Patutlah tadi ada orang terjerit-jerit sebut benda tu. Ingatkan orang gatal nak mengurat. Kesian abang bermisai tebal yang kejar kita tu tadi kan Zoera. Menyesal pula rasanya.
Kopek membawa tiga makna mengikut kawasan dan konteks penggunaan. Pertama bermaksud dompet duit atau uncang menyimpan duit. Penggunaan untuk maksud ini meluas di kawasan utara Semenanjung Malaysia yang meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara. Yang kedua pula bermaksud payu dara. Bagi maksud ini, ia digunakan secara meluas di negeri lain terutama Perak (kecuali Perak Utara) dan Kelantan. Dalam situasi formal dan dalam bentuk persuratan formal, perkataan ini tidak digunakan. Perkataan ini juga membawa makna ‘mengupas’, iaitu seperti mengupas kulit buah-buahan.
Nota kaki:
Kolum Mewah Bahasa memperlihatkan adanya beberapa cara untuk menyampaikan sesuatu konsep yang sama dengan perkataan berbeza disebabkan perbezaan slanga, dialek, taraf sosial dan generasi. Dialog menggunakan dialek dan juga bahasa pertuturan yang mungkin tidak sama dengan tatabahasa baku. Prof Madya Dr Nor Hisham Osman adalah Pensyarah Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM).
Dipetik dari Berita Harian : 30 October 2008 (Khamis)

Keputusan Liga Super 4 Julai 2009

Jumaat, Julai 03, 2009

Bukit Peraksi


BUKIT PERAKSI/ Peraksi Hill
Bukit Peraksi terletak di dalam daerah Semerak, Pasir Puteh kira-kira 13 km dari Bandar Pasir Puteh. Bukit Peraksi merupakan antara tempat yang terawal di semenanjung Malaysia yang digunakan sebagai pusat cerapan melihat anak bulan bagi penentuan Puasa, Hari Raya Puasa dan Hari Raya Korban. Bukit Peraksi menjadi tempat yang sesuai kerana kedudukannya yang strategik iaitu berhampiran dengan laut serta mempunyai ketinggian 88.697 meter dari aras laut.

Khamis, Julai 02, 2009

SKMK

Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan atau lebih sinonim lagi dengan nama skmk adalah salah satu syarikat bas yang amat terkenal sekali di negeri Kelantan. Ini adalah kerana syarikat ini yang memberikan khidmat kepada ribuan warga kelantan di semua kawasan jajahan.Ini kerana di negeri Kelantan tiada perkhidmatan LRT dan perkhidmatan teksinya tidak berapa banyak. Yang banyak hanyalah khidmat prebet sapu sahaja. Setelah khidmat bas telah di ambil alih oleh KTB (Konsortium Transnasional Berhad) , maka untuk secara tidak langsung nama bas SKMK di kenali dengan nama cityliner secara berperingkat-peringkat dengan penukaran bas baru.Hentian Bas Bandar Kota bharu berdektaan dengan Pasar Besar Siti Khadijah merupakan hentian utama bas untuk perkhidmatan domestik di Bandar ini dan Untuk Bas Ekspres pula beroperasi di Jalan Langgar berhampiran dengan KB Mall. Di bawah adalah gambar bas- bas milik SKMK yang di ambil dari stesen Bas Bandar Kota Bharu.





Dipetik daripada blog http://nazmiedalhar.blogspot.com

Masjid Muhammadi


Masjid Muhammadi mula di bina pada tahun 1867 menggantikan bangunan lama yang roboh kerana banjir.Merupakan mercu tanda yang penting di Kota Bharu, masjid ini memperlihatkan kubah berwarna keemasan dan ianya diberi nama Masjid Al Muhammadi sempena nama Sultan Muhammad ke IV yang banyak berjasa kepada Negeri Kelantan dan melalui pembinaan semula pada tahun 1925 semasa zaman pemerintahan Sultan Ismail.

Pada kurun ke 18 masjid ini merupakan pusat aktiviti pendakwah islam, di mana alim ulama yang tersohor seperti Tuan Tabal (1840-1891) Haji Wan Ali Kutan (1837-1912) dan Tok Kenali (1868-1933) telah berdakwah dan mengajar di sini. Sistem pengajaran di masjid ini mempunyai persamaan dengan pengajaran di Masjidil Haram Mekah di mana pelajar akan pergi ke Mekah untuk menyambing pelajaran mereka setelah tamat di masjis ini.

Akhirnya masjid ini menjadi pusat penyebaran ilmu ugama yang masyhur di Nusantara sehingga dikenali sebagai " Serambi Mekah".

Rabu, Julai 01, 2009

Nasi Kerabu


Nasi kerabu merupakan hidangan nasi yang asalnya bewarna kebiruan, dan biasanya dimakan dengan ikan kering atau ayam goreng, keropok, budu dan ulam-ulaman lain. Warna biru nasi terhasil daripada kelopak bunga telang yang digunakan dalam masakan. Kini kesukaran menyediakan pewarnanya, menyebabkan ia disediakan bersama nasi putih biasa atau warna nasi kerabu kuning yang dimasak dengan menggunakan kunyit.

Nasi kerabu amat popular di negeri pantai timur seperti Kelantan dan sekarang ini ia boleh didapati di seluruh negara. Ia juga sering dimakan bersama solok lada.