Khamis, Julai 09, 2009

Masjid Kampung Laut


Masjid Kg Laut merupakan sebuah masjid yang terletak di jajahan Kota Bharu, Kelantan. Ia terletak di Nilam Puri berhadapan dengan Universiti Malaya, kampus cawangan Kelantan, iaitu 20 km dari pusat bandar Kota Bharu. Usia masjid ini dipercayai melebihi 300 tahun dan turut dikaitkan kedatangan Islam di Kepulauan Nusantara abad ke-17 Masihi. Selain diiktiraf sebagai masjid tertua di negara ini, Masjid Kampung Laut turut disenaraikan antara masjid paling "bersejarah" di Asia Tenggara, seangkatan dengan masjid Nat Tanjung dan Wadi Hussin di Thailand, Masjid Demak di Jawa, Indonesia dan Masjid Kono (Champa, Kemboja).
Sejarah
Cerita lisan
Menurut cerita lisan tradisi, berabad-abad dahulu, para pendakwah belayar ke sepanjang kepulauan Melayu untuk menyebar agama Islam. Pada tahun 1730-an, sekumpulan pendakwah melalui pantai timur Semenanjung Malaysia dalam perjalanan mereka dari Patani di selatan Thailand ke Jawa di Indonesia. Malangnya perahu mereka bocor dan mengalami kesulitan. Para mubaligh dalam perahu itu bersumpah bahawa kalau mereka dibawa ke pantai dengan selamat, mereka akan membina sebuah masjid dengan serta merta untuk memperingati peristiwa itu. Doa mereka dikabulkan, dan para pendakwah mendarat di Kampung Laut, Tumpat.
Binaan masjid
Masjid yang asal bukannya apa yang dilihat pada hari ini. Ia merupakan sebuah struktur asas dengan hanya empat tiang yang menyangga bumbung tiga tingkat yang diperbuat daripada daun rumbia. Keluasanya hanya 400 kaki persegi pada keseluruhannya. Pada akhir abad ke-19, masjid ini menjadi satu pusat agama yang penting, dan masjid itu diperbesar untuk merangkumi bilik sembahyang tambahan, peran, serambi, dan menara. 20 batang tiang dibina untuk menyangga binaan tambahan ini. Binaan tambahan ini menggunakan teknik 'Tebuk-Pasak' yang amat unik. Ia dibina daripada kayu tetapi tidak menggunakan walau sepucuk paku sekalipun. Atap daun rumbianya digantikan dengan atap genting.
Malangnya, asas masjid itu lemah. Dibina di tebing sungai, masjid itu sering dilanda oleh banjir kilat seperti banjir tahun 1926 yang dikenali sebagai "Bah Air Merah" yang melemahkan lagi asasnya. Selepas dilanda sekali lagi oleh banjir yang teruk pada tahun 1966 yang menghanyutkan sebahagian masjid itu, Persatuan Sejarah Malaysia mencadangkan pemindahan masjid itu ke tempat yang lebih selamat. Pada tahun 1968, masjid itu dibuka dan dipasang semula di kawasan Sekolah Pengajian Islam di Nilam Puri.
Pada tahun 1988, masjid ini diperbaik lagi dengan kemudahan-kemudahan moden seperti elektrik, air paip, tandas, dan kawasan duduk. Tiang-tiang dan dinding-dinding masjid juga dihias dengan ukiran kayu. Dengan tambahan-tambahan ini, kawasan binaan menjadi 5,254 kaki persegi (74 kaki x 71 kaki), iaitu 13 kali lebih besar daripada masjid asal.
Masjid Kampung Laut kini masih merupakan pusat agama yang aktif dan telah dianggap sebagai salah satu muzium yang paling penting di Semenanjung Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan