Selasa, November 24, 2009

PERHATIAN !!

Beberapa jalan di Kelantan ditutup


KOTA BHARU – Keadaan banjir yang semakin buruk di Kelantan menyebabkan beberapa laluan ditutup kepada semua jenis kenderaan iaitu di Kilometer 8 dan 9 Lalang Pepuyu Jalan Tanah Merah-Rantau Panjang dan laluan di Aring 6,Gua Musang ke Kuala Terengganu.

Lain laluan yang turut ditutup ialah di daerah Pasir Mas iaitu laluan Kampung Kubang Rambutan ke Kampung Bagus dan Jalan Lubok Stol ke Panglima Bayu.

Selain itu, jalan utama yang ditutup kepada kenderaan ringan pula ialah laluan di Kampung Tikat ke Pantai Cahaya Bulan (PCB) sementara laluan di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dan Gua Musang di kawasan Sungai Durian pula telah dibuka kepada semua kenderaan.

Paras air Sungai Kelantan dan Sungai Golok sehingga jam 8 malam semalam melepasi paras bahaya dan penduduk di kawasan berhampiran dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga.

Paras air Sungai Galas di Dabong berada di paras berjaga-jaga iaitu 35.47 meter (bahaya 38 meter) manakala paras air Sungai Lebir di Tualang pula melepasi paras bahaya iaitu 35.24 meter (bahaya 35 meter).

Paras Air Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai kini melepasi paras bahaya iaitu 26.35 meter (bahaya 25 meter), di Kusial Tanah Merah juga melepasi paras bahaya 18.52 meter (bahaya 16 meter) manakala paras air Sungai Kelantan di Jeti Kastam pula meningkat kepada 5.38 meter (bahaya 5 meter).

Sungai Golok di Jenob pula berada di paras berjaga-jaga iaitu 22.66 meter (bahaya 23.50 meter), Sungai Golok di Rantau Panjang 10.45 meter (bahaya 9 meter).

Sehingga kini tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan keadaan cuaca di Kelantan mendung dengan sesekali hujan lebat melanda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan