Ahad, September 13, 2009
Stadium Sultan Mohammed Ke IV
Stadium Sultan Mohammed Ke-IV merupakan salah sebuah stadium yang terdapat di negeri Kelantan. Stadium ini mampu menampung sehingga 30,000 orang penonton (duduk dan berdiri). Ia terletak di Jalan Doktor, Kota Bharu.
Stadium Sultan Mohammed Ke IV telah dibina pada tahun 1967 bertujuan bagi menyediakan tempat untuk menjalankan aktiviti sukan Negeri Kelantan, terutamanya sebagai padang bola sepak negeri. Ia dibina di atas tapak padang bola sepak Persatuan Bola Sepak Kelantan yang terletak di tengah pusat bandar Kota Bharu, bersebelahan dengan pejabat Kerajaan seperti Hospital Raja Perempuan Zainab II, Pejabat Kontinjen Polis Kelantan dan Pejabat Majlis Perbandaran Kota Bharu. Pada masa itu, ia merupakan sebuah stadium terbesar di Pantai Timur Semenanjung dengan muatan tempat duduk seramai 18,000 orang dan padang bolanya memenuhi piawaian keluasan padang yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara iaitu berukuran 119 meter panjang dan 100 meter lebar.
Selain dari kemudahan permainan bola sepak, kompleks stadium ini juga menyediakan gelanggang tenis, trek balapan, kemudahan sukan, kemudahan perniagaan untuk disewakan seperti, gudang, ruang pejabat, tapak ekspo, kios dan tandas awam. Ia juga menyediakan kemudahan tempat riadah seperti kawasan permainan kasut roda dan surau.
Stadium Sultan Mohammed Ke IV pada awal penubuhannya diuruskan oleh Persatuan Stadium Kelantan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Negeri Kelantan dan dianggotai oleh seramai 30 orang ahli terdiri dari kakitangan Kerajaan dan juga wakil persatuan sukan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan