Rabu, September 30, 2009

Sentuhan Indra tambah derita Kedah


KELANTAN terus membuktikan mengapa mereka harus menjadi pilihan dalam saingan Piala Malaysia apabila melebar rentak gemilang buat kali kedua, kali ini dengan menjadikan penyandang juara, Kedah sebagai mangsa dengan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Sultan Muhamad IV, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Kelantan menghuni tangga teratas Kumpulan E dengan enam mata selepas anak buah B Sathianathan menewaskan Pulau Pinang 2-1 di Stadium Bandaraya pada perlawanan pertama.

Indra Putra Mahayuddin, kapten baru pasukan berkenaan menggantikan Badri Radzi yang mengalami kecederaan jangka panjang, menjadi wira pasukannya apabila menjaringkan gol tunggal Kelantan pada minit ke-49 selepas melencongkan bola hasil sepakan percuma dari luar kotak penalti yang menewaskan Helmi Eliza.

Ketika diminta mengulas mengenai perlawanan itu, Sathianathan menyifatkan aksi dipamerkan pasukannya belum dianggap baik berbanding kemampuan sebenar mereka.
“Kini Kelantan memang dianggap pilihan selepas menang dua perlawanan, tetapi kami belum bermain dengan baik seberapa yang boleh. Pendapat saya, kita boleh main lebih baik daripada sekarang,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan