Isnin, September 28, 2009

Anak Kelantan Zang Toi Pamer Koleksi Musim Bunga Di New York


NEW YORK, 24 Sept (Bernama) -- Ikon dunia fesyen, anak kelahiran Kelantan, Zang Toi, baru-baru ini memperkenal koleksi musim bunga 2010 yang begitu menarik di ruang pameran beliau di hadapan sekumpulan wartawan dunia fesyen di sini.

Mempamerkan bakat 'haute couture' beliau yang hebat, Zang Toi melahirkan 'koleksi Matador' yang diinspirasikan hasil daripada lawatan beliau ke Sepanyol di mana beliau berkesempatan menyaksikan acara laga lembu.

"Kali ini inspirasi saya ialah dari Sepanyol, daripada apa yang anda dapat lihat dalam reka bentuk koleksi saya yang dipamerkan di sini," Zang Toi memberitahu Bernama di ruang pameran beliau di 57th street di sini, berdekatan dengan Fifth Avenue yang mempunyai sekelompok bilik pameran yang elegan menempatkan produk mewah serta eksklusif pereka fesyen antarabangsa.

Menepati 'citarasa Sepanyol' karya Zang Toi diperagakan oleh model-model jelita yang tinggi lampai berwajah Latin. Ketinggian mereka semakin terserlah dengan kasut tumit tinggi mereka dan para peragawati ini kelihatan anggun mengenakan koleksi matador itu.

Muzik latar yang mengiringi peragawati itu berirama Sepanyol dengan sentuhan rentak Flamenco yang mempunyai nada Andalusia yang terkenal dengan gerak lembut kaki ketika berdansa.

Irama dan alunan muzik sebegini amat sesuai dengan suasana gambaran tentang apa yang mahu dipamerkan oleh koleksi itu.

32 REKA BENTUK

Acara dimulakan dengan peragaan Bolero Matador menggunakan kain kapas ivori Toi House serta kain kapas hitam Capri yang dihiasi tepinya dengan manik hitam Matador dan keseluruhannya Zang Toi mempertonton 32 hasil rekaannya pada majlis itu.

Warna-warna yang digunakan menunjukkan variasi serta 'kehangatan' mereka yang datang dari wilayah di mana inspirasi terhadap koleksi itu muncul.

"Saya juga menggunakan warna merah jambu di atas latar belakang gelap untuk koleksi saya kerana bagi saya warna merah jambu menyerlahkan lagi kecantikan wanita", kata Zang Toi.

Tarikh peragaan fesyen koleksi Zang Toi itu juga mempunyai satu signifikan kerana Zang Toi, yang tiba di Amerika Syarikat melalui Kanada, telah genap 20 tahun di negara beliau mencipta nama sebagai pereka fesyen ternama antarabangsa ini.

"Saya sudah tua", kata beliau, bergurau.

"Saya tidak menyangka bila saya bermula di Parsons School of Design di sini saya akan menjadi begitu berjaya," katanya.

KEJAYAAN ANTARABANGSA

Sering digelar 'eksport Malaysia paling unggul', Zang Toi telah menyemai dan membina kerjayanya sehingga menjadi cerita kejayaan antarabangsa.

Beliau merupakan pereka fesyen kegemaran ramai selebriti Hollywood seperti Sharon Stone, Kirstie Alley, Jennifer Tilly, Meg Ryan dan lain-lain.

"Rekaan (Zang) Toi begitu asli, feminin dan glamor dari semua segi", menurut seorang pelanggan wanita haute couture.

Produk dan rekaan fesyen Zang Toi boleh didapati di gedung-gedung pakaian mewah seperti di bahagian couture di Nordstrom, butik-butik khas serta juga butik Zang Toi di Malaysia.

"Saya mengambil masa enam bulan untuk menyiapkan koleksi ini termasuk dari mencipta konsep sehingga ke majlis peragaan hari ini," kata Zang toi.

Sementara itu dunia fesyen di sini sedar akan kemunculan pereka-pereka fesyen muda Malaysia yang mahu mencuba nasib memulakan perniagaan di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun dunia fesyen di New York, yang begitu hebat bersaing, sama ada boleh menjadi begitu kejam kepada mereka yang menceburinya ataupun memberikan ganjaran yang amat baik seperti yang dinikmati Zang Toi.

"Nasihat saya kepada mereka yang masih baru dalam dunia ini, hasilkan yang asli daripada cuba meniru karya pereka lain. Keaslian akan begitu memberi makna akhirnya. Bakat dan kerja keras juga akan berbaloi di Amerika Syarikat", kata beliau.

Kehadiran Stefania Fernandez dari Venezuela, Miss Universe 2009, pada majlis itu menambahkan lagi suasana meriah persembahan koleksi Zang Toi. Turut hadir ialah Salahuddin Mohd Ariffin, Naib Presiden Tourism Malaysia di New York.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan