Mokhtar Dahari: Permata bola sepak negara
Pada usia 23 tahun, Mokhtar atau lebih terkenal dengan jolokan SuperMokh diiktiraf Majalah World Star Soccer sebagai penyerang terbaik Asia dan ketika itu jugalah dia dinobatkan Olahragawan Kebangsaan 1976
GANJIL
rasanya andai menyentuh bicara bola sepak tanah air tanpa menyebut kisah pemain teragung bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari yang masih dikenang sehingga ke hari ini walaupun hayatnya sudah bersemadi hampir 15 tahun lalu.
Biarpun ramai generasi muda masa kini tidak mengenali dengan dekat bintang negara itu, tapi hampir semua pasti pernah mendengar namanya - pemain dengan bakat semulajadi yang mengangkat imej Malaysia setaraf dengan jaguh bola sepak dunia. Paling ketara Pestabola Merdeka yang
menjadi gelanggang dia mempamer taring dan kehebatannya.
Pada usia 23 tahun, Mokhtar diiktiraf Majalah World Star Soccer sebagai penyerang terbaik Asia dan ketika itu jugalah dia dinobatkan Olahragawan Kebangsaan 1976.
Kelebihan dimiliki ‘Supermokh’ banyak dengan sepakan deras bak peluru menjadi elemen penting hinggakan tiga jari mendiang R Arumungam, bekas penjaga gol negara pernah patah ketika cuba menampannya. Itu belum dikira bijaknya penyerang ternama negara itu membaca gerakan lawan dan meloloskan diri.
Dengan 167 kaps antarabangsa, dia berjaya meletakkan Malaysia di kedudukan tertinggi pentas bola sepak Asia seterusnya mampu membuka mata dunia hingga kuasa bola sepak dunia. Skuad England B bimbingan Bobby Robson turut merasa bahangnya selepas diikat skuad negara 1-1 hasil jaringan menakjubkan Mokhtar.
“Malaysia bermain lebih baik daripada apa yang saya jangkakan. Gol Mokhtar adalah satu jaringan istimewa. Gol ini adalah antara terbaik pernah saya saksikan,” kata Robson yang hadir bersama skuad profesional bernilai RM13 juta dengan nama-nama besar seperti penjaga gol Joe Corrigan, John Hollins, Brian Talbot, John Richards, Paul Mariner dan Gordon Hill.
Walaupun kelibat pemain istimewa seperti Mokhtar yang tiada galang gantinya sehingga kini sudah lama meninggalkan kita, bayangan kehebatannya tidak pernah padam apatah lagi apabila mengingati susah payah anak kelahiran Setapak, Kuala Lumpur itu mencipta nama walaupun dia memang sudah memiliki kurniaan yang tiada pada orang lain.
Mokhtar sangat gigih ketika latihan, sejak di bangku sekolah lagi dia yang menuntut di Victoria Institution tidak pernah jemu berlatih sehingga namanya sudah sebati dengan di skuad kebangsaan pun dia masih sama apabila terus mengawal bola sambil menggelecek tiang-tiang kecil sebelum melepaskan tendangan kencang ke gawang yang kosong untuk menajamkan kuasa pemusnah yang ada pada dirinya.
Malah dia tidak suka diganggu ketika latihan apatah lagi mengaitkan kemasyhuran dirinya di padang dengan kehidupan peribadi hingga menjadikan dia idola paling diminati.
Apapun kehilangan permata paling berharga bola sepak negara itu tidak seharusnya ditangisi sampai bila-bila dan generasi sekarang sepatutnya cuba menjadikannya sebagai motivasi meningkatkan diri supaya bola sepak negara kembali segar seperti sebelumnya.
Biografi Nabi Muhammad SAW
2 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan