Khamis, Mac 31, 2011

Woh Kekoh Caa

ZANA terkejut melihat rakan serumahnya, Lia sedang membancuh tepung di dapur rumah sewa mereka ….

Zana: Eh! Buat apa tu?

Lia: Bancuh tepung laa …. buat apa lagi, kau boleh tengok sendiri kan?!
Zana: Aku nampaklah kau bancuh tepung, tu yang aku jadi musykil ….

Lia: Musykil apa pulak? Tak pernah tengok orang bancuh tepung ke?

Zana: Ya laa …. Tak pernah aku tengok kau buat kerja macam ni, goreng telur pun malas ni kan pulak nak buat penganan. Apa mimpi tiba-tiba macam ni??

Lia: Teringin nak makan ….
Zana: Alaa .... Setakat nak makan, beli aje … berlambak jualkan depan tu, kalau kat pasar malam lagi banyak. Eh! Sebenarnya kau nak buat kuih apa ni?

Lia: Woh kekoh caa ....

Zana: Woh? .... woh apa dia?!

Lia : Woh kekoh caa! Ada jual, tapi tak sama dengan yang buat sendiri!

Zana: Ooo ... tak pernah dengar pulak. Boleh aku tolong sambil belajar sekali?

Lia: Memang nak minta kau tolong pun … ha! Apa tercegat aje lagi tu, tolong blender daun pandan tu .…

Zana: Blender??

Lia: Haa .... Lepas tu kau tapis ambil airnya.

Zana: Tepung apa kau pakai ni? Lain macam aje rupanya ….

Lia: Tepung pulut … kau tak pernah tengok ke?

Zana: Dah! Dah siap blender … nah! Ni air daun pandan. Nak buat apa air daun pandan ni?

Lia: Aku nak bancuh dengan tepung ni, bagi wangi dan tepung jadi warna hijau. Tak perlu le pakai pewarna tiruan! Jaga kesihatan ….

Zana: Aku kena buat apa lagi ni?

Lia: Gi ambik nisse kabung atas meja tu, kau potong-potong sebesar hujung jari.

Zana: Nisse kabung? Apa benda pulak tu? Peliklah kuih yang kau nak masak ni … dahlah namanya pelik, bahannya pun pelik jugak, tak pernah dengar! Yang mana satu ni?

Lia: Tuu … depan mata kau tu! Tak Nampak ke? Kalaulah ular, lama dah kena patuk!!

Zana: Ni?

Lia: Ha laa ….

Zana: Ni gula kabung!

Lia: Samalah tu … orang kampung aku panggil nisse .…

Zana: Hah! Cakaplah dari tadi … eh! bila dah potong-potong ni nak buat apa pulak??

Lia: Nisse tu nanti kita salut dengan tepung ni dan golek-golek jadi bulat kemudian rebus. Bila dah masak, gaul dengan kelapa parut.

Zana: Sama macam buah Melaka le yek?

Lia: Buah Melaka?

Zana: Haa … onde-onde?!

Lia: Ya lah! Onde-onde le tu ….

Zana: Laa ... apasal tak cakap dari awal, kalau setakat onde-onde tu aku tau le nak buat. Dah biasa tolong mak aku buat kat kampung.

Lia: Kan aku dah cakap tadi!

Zana: Kau bukan cakap onde-onde, kau cakap woh … woh ... woh apa tah! Aku pun tak tau nak sebut!

Lia: He he he … woh kekoh caa! Itu orang kampung aku panggil, orang sini panggil buah Melaka, ada yang panggil onde-onde.

Zana: Macam mana pulak boleh panggil nama tu?

Lia: Kau biasa makan tak? Kalau kau makan masa panas-panas, masa kita gigit tu ... kita akan terasa gula kabung tu cair dalam mulut! Kalau gula kabung yang mutu tinggi, dia tak cair masa dimasak tapi cair dalam mulut masa kita gigit. Itu di woh kekoh caa …. Buah gigit cair!!

Zana: Kekoh tu gigit le yek?

Lia: Ha laa …. Kalau nak makan puas, kena buat sendiri, kita boleh guna gula kabung yang original dan makan masa panas-panas. Yang jual tu, gulanya bukan gula kabung tapi gula merah, masa masak tu dah cair dan warna hijau tu pulak pewarna tiruan. Yang pentingnya … masak sendiri kita boleh makan masa tengah panas-panas!

Zana: He he he … pandailah kau!

Lia: Kau tu Zana …. Kena belajar sikit-sikit cakap Kelantan ni, bofren kau tu orang Kelantan, nanti senang nak sembang dengan mentua! Hehehe ….

GLOSARI
Woh kekoh caa (Kelantan) - onde-onde, kuih buah Melaka

Tiada ulasan:

Catat Ulasan