Rabu, Julai 27, 2011

Kelantan Juara Piala Presiden 2011



Hujan rahmat melanda Kelantan yang terus menambah satu lagi koleksi trofi apabila menjuarai saingan akhir Piala Presiden selepas mengecewakan MP Muar 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Sultan Mohd Ke-IV di Kota Bharu, malam tadi.

Dalam saingan akhir yang bermula dengan rentak pantas dan rancak itu, tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi Aris Zaidi seawal minit kesembilan tetapi MP Muar menyamakan kedudukan apabila Mohd Nor Hakim Hassan membolosi pertahanan Kelantan pada minit ke-21.
Gandingan penyerang Kelantan, Aris dan Mohd Farhan Yaakub beberapa kali mendapat peluang kembali di depan tetapi peluang terbaik Farhan pada minit ke-39 gagal menewaskan penjaga gol MP Muar, Mohd Khairul Izzuwan.

Bersambung babak kedua, kekentalan benteng pertahanan pelawat kerap dibolosi tetapi dalam keghairahan mencari peluang, Kelantan menerima padah apabila Mohd Zamri Ramli dilayangkan kad merah kerana mengasari kapten MP Muar, Mohd Fauzi Kadir.

Begitupun, saingan terus berlangsung sengit hingga pengadil M Tamilselvam melayangkan tiga lagi kad kuning sebelum tamat permainan masa sebenar.

Namun penyokong Kelantan bersorak riang apabila Mohd Khairul Izuan Rosli memastikan gol kemenangan sebaik empat minit permainan masa tambahan walaupun S Havivarman terlepas peluang untuk sekali lagi mengikat tuan rumah apabila cubaannya terkena palang.

Tahniah anak muda Kelantan.

Tiada ulasan:

Catat Komen