Sabtu, Mei 21, 2011

Loghat Kelantan : Gesek dalam kelambu



DI sebuah pejabat selepas cuti Raya ....

Nik: Selamat Hari Raya!
Rusdi: Selamat Hari Raya! Macam mana beraya di kampung? Best tak?
Nik: Biasalah, balik Pantai Timur ... kau faham-faham ajelah trafiknya!

Rusdi: Hai! Bawa kereta baru pun mengeluh juga ke?

Nik: Apa tak mengeluhnya, penat tau ... memandu dekat dua belas jam baru sampai, jem teruk. Kalau kau nak tau, nilah pertama kali aku balik kampung memandu sendiri, selalunya naik bas je. Ingatkan seronok, enjoy ... rupa-rupanya seksa! Kalau aku tau ... lebih baik naik bas ekspress je ... boleh tidur.

Rusdi: Lain ... tak sama dengan naik bas. Kalau bawa kereta sendiri, di kampung senang nak berjalan, kalau naik bas ... patah kakilah!
Nik: Tak guna juga Rus, kat kampung pun jem teruk juga. Dah semua kereta yang ada di KL ni balik kampung, dibawanya sekali jem tu .... Nak gi kedai beli kicap pun payah, dahlah jem ... parking pun penuh. Dah jadi macam KL gak!

Rusdi: Tak palah ... janji meriah!

Nik: Meriah apanya?! Sibuk, kelam-kabut!

Rusdi: Kenapa pulak?

Nik: Kemalanganlah.

Rusdi: Kau kemalangan jalan raya ke? Tapi aku tengok kau ok je, kereta teruk ke?

Nik: Bukan kemalangan jalan rayalah!

Rusdi: Habis tu? Kemalangan apa pulak?

Nik: Raya pun jadi macam tak raya, sibuk dan kelam kabut!

Rusdi: Yalah, kenapa?

Nik: Malam raya tu, masa orang tengah sibuk takbir raya di masjid ... rumah saudara aku terbakar! Rumah tu pulak dekat dengan rumah orang tua aku. Tak kelam kabut di buatnya?!

Rusdi: Astagfirullah ... malam raya tu? Kesian ....

Nik: Habis hangus sebuah rumah dengan barang-barang sekali. Tinggal sehelai sepinggang anak beranak!

Rusdi: Ni mesti angkara main mercun ni. Orang Kelantan memang suka main mercun, mentang-mentang le senang dapat dari seberang.

Nik: Tak! Tak main mercu ... sebab tak main mercunlah yang terbakar rumah tu! Kalau main mercun mungkin tak terbakar rumah.

Rusdi: Kenapa pulak macam tu?

Nik: Anak-anak sedara aku tu memang tak main mercun, bapa mereka tu garang dan dia memang dari dulu tak benarkan langsung anak-anak main mercun. Bila dah tak boleh main mercu dan bunga api ... tapi tengok budak-budak keliling main, mereka pakat adik beradik main gesek!

Rusdi: Main gesek?

Nik: Haah ... main gesek! Dalam kelambu pulak tu. Kalau main kat luar takut bapa dia nampak. Mereka pakat masuk bilik, masuk kelambu ... main gesek.

Rusdi: Mereka gesek apa? Biola ke? Takkan gesek biola sampai berapi ...Vanessa May pun tak sampai macam tu!

Nik: Bukan gesek biola! Gesek rokoklah! Gesek apa pulak lagi.

Rusdi: Ooo ... mereka mencuri hisap rokok dalam kelambulah ni yek? Kecik-kecik lagi dah pandai hisap rokok ... budak-budak sekarang ni!

Nik: Tak lah! Tak hisap rokok, main gesek je ....

Rusdi: Eh! Aku mula tak faham apa yang kau cakap ni ... gesek apa yang boleh sampai terbakar ni?

Nik: Gesek yang biasa tu lah .. .yang orang pakai untuk hisap rokok, untuk hidupkan api tu ... gesek apa pulak lagi?!

Rusdi: Gesek apa untuk hidupkan api? Gesek kayu dengan kayu ke atau batu dengan batu? Peliklah! Macam zaman dulu pulak, macam zaman batu ... nak hidupkan api kena gesek kayu dengan kayu. Lambat tu nak hidupkan api ... aku pernah buat masa perkhemahan pengakap kat sekolah dulu, sampai sudah api tak hidup ... akhirnya pakai mancis jugak! Anak sedara kau tu main camping le gamaknya yek? Kelambu jadi khemah dan cuba hidupkan api dengan gesek kayu. Hebat tu sampai boleh menyala, tak macam aku dulu ... tak pernah jadi, berasap pun idak!

Nik: Isy! Merepek-merepeklah kau ni ... anak-anak sedara aku tu main ni hah! Ni ... gesek ni!

Rusdi: Tu mancis!

Nik: Ha laa ... mancis. Main dalam kelambu, kena sambar kelambu tu ... nasib baik sempat lagi keluar tapi rumah habislah, rumah kayu.

Rusdi: Cakaplah main mancis, tadi kau kata gesek!

Nik: Oooo ... aku lupalah orang sini tak panggil gesek. Duduk seminggu di kampung, terbiasa pulak guna bahasa orang sana ... he he he he ....

Glosari:

* Gesek - ( i ) gosok, geser
( ii ) ( Kelantan) mancis api

Tiada ulasan:

Catat Ulasan