Selasa, Julai 19, 2011

Kota Bharu jadi pilihan FAM



Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu sekali lagi diberi penghormatan apabila dipilih Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai gelanggang perlawanan akhir Kejohanan Piala Presiden pada 26 Julai ini.

Dua pasukan finalis, iaitu Kelantan dan Majlis Perbandaran (MP) Muar, Johor akan berentap memburu kejuaraan bagi merebut trofi kejuaraan dan wang tunai RM100,000, sementara naib juara bakal membawa pulang wang tunai RM50,000.

Kedua-dua pasukan layak ke perlawanan akhir musim ini setelah mengalahkan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir.

Kelantan berjaya mengetepikan saingan PKNS Selangor menerusi kemenangan agregat 2-0 sementara MP Muar mengejutkan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) menerusi peraturan gol di tempat lawan setelah terikat agregat 3-3.

Pihak Kafa memutuskan harga tiket bagi tempat duduk teres berbumbung bagi perlawanan akhir ini ialah RM10 sementara tempat duduk terbuka RM5. Tiket-tiket perlawanan akan dijual pada hari perlawanan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan