Lebih 4,000 orang hadir pada sambutan Hari Kemerdekaan serta Majlis Khatam al-Quran dan Iftor Perdana yang diadakan di Qaryah Ramadan di pekarangan Masjid Sultan Mohamad IV.
Kedua-dua program tersebut diadakan secara serentak kerana Hari Kemerdekaan negara pada tahun ini kebetulan disambut pada bulan Ramadan.
Biar pun tiada pertunjukan bunga api serta persembahan muzikal, sambutan ambang kemerdekaan diadakan dengan meriah dalam suasana kesederhanaan.
Program tersebut bermula seawal pukul 4.30 petang semalam dengan majlis khatam al-Quran secara beramai-ramai melibatkan 3,000 pelajar dari sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama timbalannya, Datuk Ahmad Yakob, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Aiseri Alias dan seluruh pimpinan kerajaan negeri termasuk pegawai serta kakitangan kerajaan negeri turut hadir sejak program tersebut bermula.
Sebaik selesai majlis khatam al-Quran, majlis disambung dengan acara berbuka puasa secara beramai-ramai, solat maghrib, isyak dan tarawih berjemaah, di padang stadium yang sama.
Solat jemaah dibimbing oleh qari tahfiz al-Quran dari Mesir, Syeikh Ahmad Rejab Yasin Al-Fayuni yang diberi tanggungjawab membimbing solat tarawih sepanjang bulan puasa ini di Qaryah Ramadan.
Dalam mencetuskan kelainan sambutan Hari Kebangsaan, kerajaan negeri mengadakan forum perdana Ramadan dengan membariskan ahli panel terdiri dari Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah; dua pendakwah bebas, Nik Muhamad Zawawi Salleh dan Dr. Zulkifli Muhamad Al-Bakri.
Forum yang berlangsung kira-kira dua jam itu mengupas satu topik khusus mengenai kemerdekaan dari perspektif agama berjudul 'Menghayati Kemerdekaan Sejati' dipengerusikan oleh pendakwah bebas negeri ini, Kamal Ashaari.
Secara keseluruhan sambutan ambang kemerdekaan bagi negeri Kelantan pada tahun ini disambut dalam suasana penuh kesederhanaan dengan kemuncaknya acara penyerahan bendera jalur gemilang daripada anggota angkatan tentera kepada Nik Abdul Aziz.
Manakala gimik detik 12 malam direalisasikan dengan laungan azan kemudian diikuti nyanyian lagu Negaraku.
Selasa, Ogos 31, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan