Jumaat, Januari 29, 2010

Sungai Nenggiri



Sungai Nenggiri merupakan rangkaian utama sistem saliran sungai di Jajahan Gua Musang yang menawarkan aktiviti lipur diri kepada pengunjung khususnya bagi aktiviti berkayak dan berakit selain aktiviti memancing. Ia mempunyai lebih daripada 40 buah jeram (rapid) dan amat sesuai untuk aktiviti berakit dan berkayak berteraskan eko-pelancongan.

Sungai Nenggiri dan anak sungainya menjadi sistem perhubungan utama bagi petempatan di kawasan pedalaman saperti perkampungan orang asli Pos Brooke, Pos Mering dan Pos Pulat, Kg. Kuala Jenera, Kg. Kuala Penep dan sebagainya. Antara aktiviti yang dijalankan bagi menarik pelancong ialah `Nenggiri River Cruise’ iaitu perjalanan sejauh 50 kilometer dengan menaiki bot / rakit yang bermula di pengkalan jeti Kuala Betis hingga Kg. Setar.

Selain daripada itu, pihak KESEDAR dengan kerjasama Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan dan Majlis Belia turut menganjurkan acara tahunan `Nenggiri Challenge’ iaitu acara berkayak yang melibatkan bukan sahaja peserta tempatan tetapi peserta luar negara saperti Switzerland, Thailand, Singapura dan Indonesia. Ia bermula di pengkalan jeti Gua Cha dan berakhir di Kg. Setar termasuk bermalam di Pos Pulat.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan