Rabu, Oktober 07, 2009

Nelayan raih lima tan pulut ketam dalam 2 jam


BACHOK – Penduduk di Kampung Pantai Senok dekat sini gempar apabila seorang nelayan di kawasan itu berjaya menangkap lebih 5,000 kilogram (5 tan) ikan pulut ketam dengan anggaran harga RM37,000 dalam masa tidak sampai dua jam turun ke laut.

Nelayan terbabit, Che Lah Che Muda, 41, berkata, inilah kali pertama dalam sejarah hidupnya sepanjang 10 tahun menjadi nelayan berjaya mendapatkan hasil tangkapan sebanyak itu.

“Saya memang terkejut melihat hasil tangkapan yang kami perolehi. Ia memang luar biasa. Sebelum ini hasil tangkapan yang paling banyak diperoleh lebih kurang 1,000 kilogram sahaja.

“Tetapi hari ini (semalam) hasilnya cukup lumayan apabila kesemua ikan yang saya peroleh itu adalah ikan pulut ketam yang anggaran berat seekor lebih kurang empat sehingga tujuh kilogram,” katanya ketika ditemui di jeti Pantai Senok, malam kelmarin.

Che Lah berkata, dia bersama tiga lagi rakannya turun ke laut dengan menggunakan dua buah bot kecil kira-kira jam 5 petang.

“Kami turunkan pukat kira-kira 500 meter dari daratan. Lebih kurang satu jam kami dah dapat ikan yang cukup banyak. Ia membuatkan kami terpaksa memanggil bot yang lebih besar untuk membantu mengangkat ikan-ikan ini,” katanya.

Menurutnya, bot besar itu dibantu oleh lapan orang awak-awak dan ia mengambil masa lebih dua jam untuk menarik ikan-ikan tersebut.

“Kami menghadapi masalah untuk mengangkat ikan-ikan ini kerana terlalu banyak. Ia juga menyebabkan dua kali mesin mengangkat ikan itu patah,” katanya menceritakan pengalaman menarik ikan-ikan itu ke dalam bot.

Tinggalan sejarah yang dilupa


Tidak ramai yang menyedari kewujudan Taman Serendah Sekebun Bunga, peninggalan Cik Siti Wan Kembang - wanita yang menerajui pemerintahan Kelantan pada masa silam.

Taman ini mungkin boleh mengimbau bayangan terhadap Cik Siti Wan Kembang dan anak angkatnya, Puteri Saadong yang kisah mereka disaluti mitos dan legenda itu.

Terletak di kawasan agak berbukit dan terdapat sebuah kolam, di kelilingi pohon menghijau dan udara yang nyaman, baginda dan Puteri Saadong dikatakan menghabiskan waktu terluang di sini.

Taman Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayong yang menjadi tempat permainan dan bersukaria baginda dan anak angkatnya Puteri Saadong merupakan sebahagian daripada kota yang dibina raja keenam Kelantan itu di satu kawasan hutan yang dipenuhi pokok tegayong.

Cik Siti Wan Kembang membina Kota Tegayong sebagai pusat pentadbiran baru baginda selepas Gunung Chintawangsa di kawasan pedalaman Kelantan.

Baginda yang memerintah negeri dari 1610 sehingga 1677 membuka Kota Tegayong setelah mudik ke hilir Sungai Kelantan apabila bersahabat dengan Raja Jembal.

Pakar sejarah mengatakan baginda kembali semula ke Gunung Chintawangsa di hujung pemerintahannya dan kisah mengenai Cik Siti Wan Kembang lenyap di situ.

Peninggalannya hanyalah tapak sebuah taman purba yang wujud pada abad ke-17, selain keindahan nama timangan bagi sebuah negeri dan pemerintah wanita tersohor.

Tapaknya berdekatan Kampung Kedai Piah, Pangkal Kalong, 25 kilometer dari bandar Kota Bharu dan kira-kira 500 meter dari jalan utama, namun tiada petunjuk untuk ke situ.

Cuma terdapat sebuah pasar mini yang memakai nama Sekebun Bunga boleh mengingatkan bahawa anda sudah semakin hampir untuk ke tempat yang dituju.

Taman itu dimasukkan dalam senarai tempat menarik untuk dikunjungi dalam laman web Majlis Daerah Ketereh namun anda tidak harus mudah terpengaruh kerana pihak berkuasa tempatan itu sendiri seolah-olah tidak menjengah ke situ.

Jika anda membayangkan suatu yang indah dengan beraneka bunga dan kehijauan yang mententeramkan, lupakan sahaja buat masa ini, apa yang wujud hanyalah suatu yang menyakitkan pandangan.

Tinjauan yang dilakukan ke tapak khusus seluas 700 meter persegi kawasan yang dianggap kini terbiar dan tidak lagi menggambarkan ia sebagai sebuah taman.

Selain binaan Jong Suluk Petalawati di jalan masuk sebagai tanda ada sesuatu yang istimewa di sebalik hutan pokok tegayong itu, terdapat sebuah wakaf di taman itu.

Ketika seakan ditelan hutan yang mengelilinginya, ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba menjadikan kawasan persekitaran sebagai tempat yang selayaknya untuk membuang sampah.

Mujur masih ada segelintir yang prihatin cuba menyelamatkan warisan Cik Siti Wan Kembang daripada terus lenyap begitu sahaja termasuk Mohd. Sidek Mat Husin, 40, seorang peniaga yang mengawasi taman itu sejak 2007.

Dia diminta oleh arwah sepupunya Hashim Isa, penjaga asal lokasi bersejarah tersebut.

"Baru-baru ini ada kontraktor pembinaan yang tidak bertanggungjawab masuk dengan lori membuang sampah di tanah lapang di jalan masuk ke taman ini.

"Jadi pada bulan puasa lepas saya dan beberapa rakan mengumpul duit dan pasang besi penghalang bagi mengelak lori besar dari masuk," katanya.

Menurut Mohd. Sidek, sepupunya yang pernah menjadi tok dalang muda wayang kulit di bawah naungan 'Dollah Baju Merah' mula menjaga kawasan itu sepuluh tahun lalu sebelum meninggal dunia dua tahun lepas.

"Abang Hashim tahu sejarah taman ini. Jadi selepas pencen kerja dengan Jabatan Kerja Raya, atas rasa tanggungjawab, dia sepenuh masa menjaganya kerana tidak mahu anak cucu hilang sejarah negeri," katanya.

Mohd. Sidek menceritakan, semasa hayatnya, Hashim akan mengadakan jamuan pada setiap Hari Keputeraan Sultan Kelantan dan Hari Kemerdekaan bersama-sama peminat sejarah Cik Siti Wan Kembang di situ.

"Hashim yang juga pengamal perubatan tradisional menjaga kebersihan taman dan mengawasi pengunjung daripada melakukan perkara tidak senonoh di situ," ujar beliau.

Tambahnya, semasa sepupunya masih hidup, arwah menjaga tempat itu sepenuh masa tetapi tugas yang diwarisi tidak dapat ditumpukan sepenuhnya kerana urusan perniagaan.

"Ada masa saya datang untuk membersihkan kawasan seperti membuang semak samun di kawasan taman. Tapi kudrat saya tidaklah sekuat mana.

"Kalau ada bantuan daripada majlis daerah mengurus tempat ini adalah lebih baik. Bimbang lama-lama nanti kalau saya tidak sempat, makin terbiar pula.

"Alhamdulillah walaupun kawasan ini tersembunyi, belum ada kes lagi orang melakukan kerja tak senonoh seperti menagih dadah atau maksiat," ujarnya.

Walaupun demikian, Mohd. Sidek berkata setiap minggu ada saja pengunjung yang datang ke situ untuk mandi di kolam taman tersebut kononnya dapat mengubati pelbagai penyakit seperti buatan orang atau untuk mudah mendapat jodoh.

Mohd Sidek. mendakwa harta karun juga pernah dijumpai di situ namun, katanya, ia mungkin mempunyai kaitan orang kampung menyembunyikan barangan berharga mereka semasa Jepun menyerang Tanah Melayu.

Seorang penduduk di kampung berdekatan, Noorafiza Mohd. Azmi, 22, berkata, dia tidak hairan masih ada orang mengunjungi taman tersebut walaupun agak terbiar kerana suasananya yang nyaman.

"Kawasannya sejuk sahaja. Tapi ada juga orang datang ambil air kolam untuk mengubat penyakit gatal kulit," katanya.

Seorang lagi penduduk, Suri Mohd. Noor, 22, pula berkata, dia sekurang-kurangnya sebulan sekali ke kawasan cerang itu.

"Saya akan pergi bersama kawan mengambil angin. Ada macam-macam cerita mengenai kolam itu.

"Khabarnya ada 'buaya putih' yang memunculkan diri kepada orang tertentu sahaja," katanya.

Selasa, Oktober 06, 2009

TM Piala Malaysia 2009 : Kelantan 2-1 Penang


Syukur Alhamdulillah pasukan Kelantan mencapai kemenangan kali ke 4 berturut-turut dan melayakkan diri ke suku akhir TM Piala Malaysia 2009.Kemenangan mengatasi penang dengan keputusan 2-1 hasil jaringan Khalid Jamlus dan Indra Putra Mahyuddin sudah memadai bagi anak-anak buah B. Sathianathan melangkah gah ke saingan kalah mati. Harapan peminat agar langkahan ke suku akhir tidak ternoktah disitu sahaja. Ayuh wira Merah kita ke Bukit Jalil sekali lagi bukan sebagai venue tuan rumah bagi Kelantan tetapi medan perlawanan akhir TM piala Malaysia 2009. Semoga Piala malaysia menjadi milik pasukan Kelantan pada tahun ini. Tahniah

Isnin, Oktober 05, 2009

TM Piala Malaysia 2009 : Kelantan Lwn Penang



Kepada peminat bolasepak Kelantan, Datanglah beramai-ramai ke Stadium Keramat kita pada 6 Oktober ini bagi memberi sokongan kepada pasukan "Red Warrior". Pastikan tiada dentuman mercun dibakar dan dilempar ke dalam padang. Jadilah penonton yang berdisiplin. Sayangilah pasukan kita.

Sumber Grafik :http://epiq835.blogspot.com/

Uniknya wajah Kampung Balai


Berada di tengah-tengah persekitaran alam dan budaya masyarakat Melayu tradisi dan dalam suasana harmoni. Apa yang membezakan mereka hanyalah dari segi kepercayaan dan ini diperlihat dengan kewujudan wat dan tokong.

Mereka adalah komuniti kecil masyarakat Siam dan 'Cina Kampung' di Kampung Balai di pesisir pantai, kira-kira tiga kilometer dari bandar Bachok, diapit oleh kampung Golok dan Kemasin yang majoritinya Melayu.

Masyarakat Siam dikatakan mula menetap di kampung ini sejak kira-kira 200 tahun lalu, meneroka kawasan yang tidak berpenghuni dan nama Bachok juga dikatakan berasal dari gabungan bahasa Siam iaitu ban (kampung) dan chak (Nipah).

Kebanyakannya bertani dan dianggarkan kini terdapat kira-kira 500 orang penduduk, separuh daripadanya masyarakat Siam dan selebihnya Cina Kampung, gambaran yang berlaku banyak perkahwinan campur antara dua kaum tersebut. Gabungan dua budaya ini pula diasimilasikan dengan budaya masyarakat Melayu dari kampung-kampung yang berhampiran apabila dilihat dari aspek pemakaian, pemakanan, hiburan malah pemikiran termasuk soal berpolitik. Mereka petah bertutur dalam loghat Kelantan, malah pengaruh pertuturan itu mudah pula membezakan mereka sehingga ada yang menggelarkan mereka sebagai Cina atau Siam Kelantan.

Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) Kampung Balai, Ku Cheng Kim, 64, berkata penduduk dua kaum ini merupakan generasi kesembilan yang menetap di sini, mewarisi peninggalan nenek moyang mereka. 'Balai' katanya membawa maksud dewan di mana ia menjadi tempat Siam Thai berkumpul untuk melakukan aktiviti masyarakat dan menyambut perayaan. Namun dalam bahasa Thai pula 'Balai' adalah 'bunga kampung' atau penempatan yang subur'.

sebuah patung besar dibina dengan kos RM2 juta yang sebahagian besarnya adalah sumbangan orang ramai yang dilengkapkan dengan lif pada bahagian dalamnya dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun depan.

patung itu mula dibina pada tahun 2002 oleh lima pekerja mahir melibatkan pembinaan tapak seluas 30 meter garis pusat dan menara tokong setinggi 36 meter.

Lif pada bahagian dalam akan membolehkan pelancong meninjau kawasan sekitar kampung Balai dari puncaknya dan kita berharap ia akan menjadi produk pelancongan yang dapat menarik tumpuan penganut Buddha dari seluruh dunia.

Selain patung besar terdapat lagi 100 buah patung kecil dengan seni bina tersendiri untuk dihayati pelancong. Di samping itu dua patung naga besar yang menghiasi pagar hadapan dan pintu gerbang wat sepanjang 181.6 meter setiap satu

kos bagi setiap seekor replika naga itu berharga RM150,000 disumbangkan oleh bekas sami wat berkenaan, Archan Phrak Ajchan Porchai pada tahun 1992.

Wat ini dianggap unik berbanding lebih 20 wat di negeri ini kerana ia mencerminkan pengaruh jelas seni bina China yang digabungkan dengan ciri lazimnya.

penduduk Kampung Balai tidak gah dengan pembinaan patung itu dari aspek keagamaan tetapi bangga kerana ianya akan menjadi produk pelancongan bertaraf dunia yang dapat membantu meningkatkan ekonomi negeri.

Info Jeli


Daerah Jeli merupakan kawasan yang terletak pintu masuk “gateway” ke negeri Kelantan dari sebelah Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Ianya menjadi tempat persinggahan yang sesuai bagi mereka yang dalam perjalanan dari Pantai Timur ke Pantai Barat atau sebaliknya, melalui jalan raya Timur Barat. Di samping itu, Daerah Jeli juga menjadi penghubung kepada kawasan Kelantan Selatan melalui jalan raya Jeli - Dabong.

Oleh yang demikian, dari segi lokasinya Daerah Jeli bersempadan dengan Thailand di sebelah utara, Jajahan Tanah Merah di sebelah timur, Jajahan Kuala Krai dan Gua Musang di sebelah selatan dan Negeri Perak di sebelah barat, merupakan sebuah kawasan yang strategik dan mempunyai daya maju untuk pembangunan secara teratur di masa hadapan.

Pekan Jeli merupakan bandar atau pekan utama di jajahan ini. Ia terletak kira-kira 98 kilometer dari Bandar Kota Bharu melalui jalan raya Timur Barat.

Keadaan muka bumi 82% adalah berbukit-bukau, hutan-rimba dan banyak alur serta sungai. Jajahan ini terletak diantara 90 meter hingga 500 meter dari paras laut. Sungai-sungai utama ialah Sungai Pergau, Sungai Renyut, Sungai Suda dan Sungai Balah.


Lata Terjun


Gunung Reng

Ahad, Oktober 04, 2009

Kejohanan Futsal Terbuka Piala Ketua Pemuda UMNO Kota Bharu


KOTA BHARU- Kejohanan Futsal Terbuka Piala Ketua Pemuda UMNO Kota Bharu, dengan kerjasama pasukan futsal Farmasi Seroja bakal diadakan pada 17 Oktober ini di KB Arena, Pengkalan Chepa.

:Para pemain yang ingin mencuba nasib dan menunjukkan kebolehan masing-masing boleh menyertai kejohanan ini. Tarikh tutup pendaftaran pada 15 Oktober dan pada malam tersebut undi akan menentukan pasukan mana yang akan bertemu.

:Pengarah Program, Rosmadi Ismail berkata, tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk menggalakkan pembabitan belia.

:“Melalui sukan futsal, peserta boleh meningkatkan kesedaran dalam aktiviti bersukan dan kecergasan kerana ia perlu diterapkan sebagai amalan gaya hidup seharian.

:“Selain itu, pertandingan ini turut diadakan untuk menerapkan budaya hidup cergas, sihat dan bersatu padu agar belia akan terhindar daripada aktiviti dan gejala negatif seperti melepak, lumba haram, gengsterisme dan penyalahgunaan dadah,” katanya.

:Pertandingan ini terbuka kepada semua belia yang berumur antara 15 tahun hingga 40 tahun. Dengan setiap pasukan yang menyertainya akan dikenakan yuran pendaftaran sebanyak RM100.

:“Setiap pasukan mesti terdiri daripada lapan pemain. Sehubungan itu, kami berharap pertandingan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua peringkat belia di Kota Bharu,” katanya.

:Kejohanan ini juga menawarkan hadiah lumayan kepada semua penyertaan. Johan akan memenangi wang tunai RM1,500 dan piala, naib johan wang tunai RM700, tempat ketiga dan keempat masing-masing memenangi RM350.

:Borang boleh didapati di KB Arena, Pengkalan Chepa. Kepada peminat sukan jenis ini dijemput hadir bagi memberikan sokongan.

Info Pasir Mas


Pasir Mas merupakan satu daripada 10 jajahan di Negeri Kelantan terletak di bahagian utara Negeri Kelantan, bersempadan dengan jajahan Tumpat di sebelah Utara, Tanah Merah di sebelah selatan, Sungai Kelantan dan jajahan Kota Bharu di sebelah Timur dan Jajahan Sungai Golok, Thailand di sebelah Barat.
Mengikut sejarah kewujudan Pasir Mas, sebuah penempatan telah dibuka oleh Che Leh Ismail atau lebih dikenali sebagai Che Leh Tok Pendekar. Beliau telah dipaksa ke Pasir Mas setelah tanahnya di Kota Bharu diambil alih oleh Sultan bagi tujuan membina istana. Pada masa itu, terdapat seorang guru agama dari Bachok, datang untuk mengajar kelas keagamaan di Pasir Mas.

Bandar Pasir Mas

Guru agama itu kemudiannya pulang semula ke Bachok setelah selesai mengajar tetapi selang beberapa hari setelah kepulangan guru itu, secara tiba-tiba muncul 3 biji mangkuk emas dari dalam semak. Mangkuk ini kemudiannya berpusing membentuk pusar di sekitar semak dan secara tidak langsung, penduduk yang melihat kejadian itu menjerit ‘Mas! Mas!’. Perkataan pasir terbit kerana berdekatan penempatan yang terletak di tebing sungai Kelantan, terdapat beberapa longgokkan pasir sehingga membentuk padang yang luas. Pasir Mas adalah cantuman dari perkataan Pasir dan Mas.

Info Tanah Merah



Bandar Tanah Merah mula berkembang apabila perahu-perahu yang lalu di sepanjang Sungai Kelantan singgah untuk berdagang di Pekan Bukit Remah.

Pekan tersebut terletak di tebing Sungai Kelantan. Lama kelamaan tumpuan orang ramai mula beralih ke suatu kawasan yang letaknya 3 km ke utara yang sekarang ini merupakan bandar Tanah Merah.

Bandar berkenaan menjadi lebih berkembang dengan wujudnya laluan keretapi dan seterusnya stesen keretapi. Pada awalnya, bandar Tanah Merah dan jajahan Tanah Merah adalah sebahagian daripada jajahan Pasir Mas.

Tetapi bermula pada 2 hb Februari 1955, jajahan Tanah Merah mula diwujudkan yang mana bandar Tanah Merah menjadi pusat pentadbiran sepenuhnya.

Bagi mentadbirkan bandar Tanah Merah dan pekan-pekan di jajahan Tanah Merah, beberapa Penguatkuasa Tempatan diwujudkan di bawah Undang-Undang Kerajaan Tempatan 1952.

Mengikut sejarah melayu,Tanah Merah merupakan Ibu Kota bagi Kerajaan Melayu lama iaitu Kerajaan Chi Tu. Mengikut rekod Kerajaan China Dinasti Sui.

Pada kurun ke-7, terdapat satu penempatan dan pemerintahan berpusat Kerajaan yang di kenali sebagai Chi Tu (Bumi Merah) di satu kawasan yang mana Pada hari ini dikenali sebagai Kelantan.Populasi penduduk Jajahan Tanah Merah pada 2005 adalah seramai 108,288 orang. Majoritinya adalah kaum Melayu.