Stadium Sultan Muhammad Ke IV
Peminat bolasepak Kelantan bakal menyaksikan perlawanan bolasepak membabitkan pasukan Kelantan dalam keadaan yang lebih selesa selepas ini apabila Kerajaan Negeri pimpinan Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan Kerajaan Negeri akan membina sebuah stadium baru yang berkapasiti 40 ribu tempat duduk di tanah Kerajaan Negeri di Bukit Merbau, Pasir Puteh.
Stadium tersebut bakal dinamakan dengan nama "Stadium Red Warrior". Pengumuman tentang projek pembinaan stadium ini dinyatakan oleh Menteri Besar Kelantan itu pada 18 Mei 2011, 2 hari selepas pasukan Kelantan mengesahkan tiket ke perlawanan akhir Piala FA 2011. Sesungguhnya pengumuman ini amatlah mengembirakan penyokong pasukan Kelantan.
Catatan pengumuman tersebut dilampirkan di sini :
Kerajaan negeri Kelantan akan membina sebuah stadium yang memuatkan 40,000 orang di samping ruang masjid di merata-rata bahagiannya di Bukt Merbau, Pasir Puteh.
Perkara ini diumumkan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Mat dalam satu kenyataan media yang dibacakan selepas Mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini.
“Saya ingin membuat pengumuman pada hari ini satu berita gembira buat rakyat Kelantan khususnya peminat-peminat sukan tanahair di mana Kerajaan Kelantan telah bersetuju untuk membina sebuah kompleks sukan bersekali dengan Bandar baru untuk kegunaan aktiviti sukan di negeri ini.
“Kompleks tersebut yang antaranya akan menempatkan sebuah stadium utama dengan kapasiti 40,000 tempat duduk bertempat di atas tanah milik kerajaan di Bukit Merbau, Pasir Puteh,” kata beliau.
Katanya, kerajaan berhasrat agar stadium yang akan dibina ini turut memuatkan ruang masjid di merata-rata bahagian yang akan membolehkan penonton-penonton solat berjemaah dengan mudah di dalam stadium.
Ini bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri yang mahukan aktiviti sukan di negeri ini tidak berpisah dari roh Membangun Bersama Islam yang menjadi dasar pentadbiran kerajaan negeri.
Bagaimanapun rekabentuk secara terperinci terpulang kepada arkitek yang akan diberikan tanggungjawab ini nanti, katanya.
Menurut Nik Aziz, cadangan pembangunan stadium dan kompleks sukan ini terbuka kepada mana-mana pemaju menghantarkan cadangan atas dasar BOT iaitu bina, operasi dan pindah.
“Saya berharap dengan pembinaan kompleks sukan ini nanti, aktiviti sukan di negeri ini dapat berdaya maju dengan lebih baik ke arah membentuk masyarakat yang sihat jasmani dan rohani insya-Allah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan