Rabu, Januari 13, 2010

Istana Batu ( Muzium Diraja )


Muzium DiRaja (Istana Batu) ini terletak dalam pusat bandar Kota Bharu. Muzium ini amat bersejarah dan menjadi tarikan para pelancong, penyelidik dan juga penduduk tempatan untuk mengenali lebih dekat lagi tentang keluarga DiRaja. Istana ini terletak di Jalan Hilir Kota iaitu berhampiran dengan Istana Balai Besar, Muzium Kraftangan manakala bahagian belakang pula adalah Masjid Muhammadi (Masjid Negeri). Kawasan ini dikenali Zon Budaya yang meliputi bangunan-bangunan bersejarah yang lain.

Perhubungan dengan pusat bandar juga amat mudah dan berhampiran dengan pusat membeli belah iaitu Pasar Besar dan Bazar Buluh Kubu.
Dibina pada tahun 1939 dalam pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail I sebagai hadiah perkahwinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Marhum Sultan Yahya Petra dan Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Zainab II.

Istana ini diperbuat daripada Kayu Merbau Berdarah yang telah dikumpul daripada seluruh negeri Kelantan selama 3 tahun. Kseluruhan reka bentuk bangunan ini direka oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail I sendiri.

Menjadi kediaman Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Marhum Sultan Yahya Petra sehingga tahun 1960, kediaman YBM. Dato' Tengku Salwani bt Sultan Yahya Petra sehingga tahun 1969.

Tempat bersemayam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra sebagai Tengku Mahkota sehingga tahun 1972.

Pada 25 Julai 1991, Istana Batu dijadikan Muzium Diraja dan telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra ibni Al Marhum Sultan Yahya Petra bersempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-41.

1 ulasan:

  1. macam manakah ingin mengetahui tentang misi, visi, objektif & carta organisasi tentang muzium istana batu . kenapa tidak dipaparkan ?

    BalasPadam