Kelantan mampu menjadi pengeluar keledek jenis, Vitato terbesar di negara ini dengan pengeluaran kira-kira 870 tan setahun menerusi pembangunan kawasan seluas lebih 40 hektar yang diusahakan ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
Timbalan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kelantan, Sawalludin Ahmad, projek keledek terbabit kini disertai 65 ahli PPK sekitar Kandis, Telong, Bachok dan Semerak, Pasir Puteh.
Katanya, projek tanaman keledek Vitato 2009 dimulakan dengan musim pertama awal bulan ini, yang dijangka boleh dituai pada Julai sebelum memasuki musim kedua mulai Julai hingga Oktober.
"Tahun ini, LPP mensasarkan pengeluaran 870 tan keledek Vitato yang mampu menjadikan Kelantan sebagai pengeluar terbesar keledek bermutu tinggi di negara ini sebelum dipasarkan secara terus kepada pemborong dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).
"Untuk mencapai matlamat pengeluaran itu, kita menyusun semula jadual penanaman keledek bagi memastikan semua hasil tanaman dapat dikeluarkan sebelum ketibaan musim tengkujuh berdasarkan pengalaman tahun lalu yang menyaksikan banjir memusnahkan kawasan tanaman ketika hampir dituai.
"Tahun lalu sembilan hektar kawasan keledek yang diusahakan ahli PPK Kandis, Bachok, musnah ditenggelami banjir, menyebabkan sasaran pengeluaran 320 tan keledek bernilai RM256,000 tahun lalu merosot kepada 102 tan dengan nilai RM47,000," katanya kepada Berita Harian.
Sawalludin berkata, vitato adalah vareiti keledek bermutu tinggi yang dihasil menerusi kajian oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) tahun lalu sebelum dikomersialkan di kalangan petani negeri ini.
Katanya, kajian Mardi mendapati keledek terbabit sesuai ditahan di negeri ini kerana tanah beris banyak di kawasan Bachok dan Pasir Puteh yang selama ini menjadi tumpuan tanaman komoditi tembakau.
"Selain Kelantan, Vitato ini turut ditanam petani sekitar Besut, Terengganu tetapi tidak pada skala besar seperti di sini. LPP menerima peruntukan kira-kira RM1.6 juta tahun ini untuk memastikan projek tanaman vitato yang kini mula mendapat pasaran meluas mencapai matlamat terutama membantu petani tempatan meningkatkan pendapatan harian," katanya.
Sawaluddin berkata, ahli PPK Kandis, Ab Rahman Jusoh, muncul peserta terbaik projek Vitato di negeri ini tahun lalu apabila meraih hasil lebih RM10,000 apabila tanaman keledeknya mengeluarkan hasil lebih 21 tan, meskipun sebahagian tanaman itu musnah akibat banjir yang melanda.
Sementara itu, jurucakap Mardi berkata, selain sesuai untuk dimakan secara direbus, digoreng atau dibakar, keledek Vitato boleh diproses menjadi tepung yang kaya dengan betakarotena.
"Tepung Vitato lebih berkhasiat berbanding dengan tepung gandum dari segi serabut diet, vitamin C dan betakarotena. Keledek ini juga boleh diproses sebagai jus dan dicampur susu. Antara industri hiliran lain yang boleh dilakukan terhadap keledek ini termasuk penghasilan jejari keledek goreng, kek, ban dan muffin," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan