Mantan menteri besar Kelantan Tan Sri Mohamed Yaacob, 85, meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai (PMC), Kuala Lumpur pukul 5.50 pagi ini akibat kanser paru-paru sejak dimasukkan ke pusat perubatan itu Jumaat lepas.
Anak ketiganya, Dr Idora Mohamed ketika dihubungi Bernama berkata ayahnya menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya Puan Sri Nik Azizah Nik Ahmad dan lima orang anaknya.
Jenazah allahyarham kini ditempatkan di rumahnya di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Zohor hari ini.
Mohamed Yaacob memulakan karier politiknya pada 1950 dan seterusnya menyertai pilihan raya umum 1969 dan memenangi kerusi parlimen Tanah Merah, Kelantan.
Allahyarham menjadi Menteri Besar Kelantan selama 13 tahun bermula 23 Mac 1978 hingga Oktober 1991.
Beliau menyertai Umno pada 1950 dan seterusnya bergiat aktif dalam politik selepas meletak jawatan dari perkhidmatan awam pada 1969.
Antara jawatan awam yang pernah disandangnya ialah pegawai tadbir dalam perkhidmatan awam Kelantan pada Ogos, 1948. Beliau rakyat tempatan pertama menjawat jawatan itu.
Mohamed Yaacob juga pernah menjadi majistret di Muar dan Batu Pahat, Johor dan penolong pendakwa raya di Ipoh, Perak dari September 1962 hingga Ogos 1964.
Mohamed Yaacob memulakan persekolahan peringkat rendah di Sekolah Melayu Kampung Laut, Kelantan pada 1932 dan Sekolah Melayu Mentuan, Kota Baharu, Kelantan dari tahun 1933 hingga 1936.
Beliau meneruskan persekolahan peringkat menengah di Overseas School Certificate Sultan Ismail College (Special Malay Class), Kota Baharu, Kelantan pada 1947.
Seterusnya, Mohamed Yaacob melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang peringkat Ijazah (LL.B) di Lincoln's Inn, England dari 1954 hingga 1958.
Allahyarham dilantik Timbalan Menteri Kewangan pada Januari 1973; Menteri Pelajaran pada Ogos 1973; Menteri Alam Sekitar, Teknologi dan Tenaga pada Ogos 1974; dan Menteri Perusahaan Awam dari 5 Mac 1976 hingga 22 Feb 1978.
Beliau pernah menjadi Senator mulai 10 Disember 1996 selama tiga tahun dan seterusnya dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara pada 27 Dis 1999 hingga Dis 2000.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri Puan Sri Nik Azizah Nik Ahmad, 72, dan lima anak termasuk tiga perempuan, dan 12 cucu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan