Jambatan Guillemard merupakan sebuah jambatan keretapi yang mana kebanyakan strukturnya dibina dengan menggunakan besi. Jambatan ini merentasi Sungai Kelantan yang bermula di Paloh Rawa, Machang ke Kursial, Tanah Merah, Kelantan. Jambatan Guillemard mula dibina pada tahun 1920, dan pembinaan jambatan ini diselesaikan pada bulan Julai 1924. Jambatan ini merupakan jambatan keretapi yang terpanjang di Malaysia.
Sejarah
Jambatan Guillemard atau juga dikenali dengan nama Jambatan Kursial telah dibina pada tahun 1920 oleh Metro Carriage Wagon & Finance Company Limited, Wednesbury Works England dan telah siap pada tahun 1924. Panjang jambatan ini adalah 609.6 meter. Perasmiannya telah disempurnakan oleh Sultan Ismail Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV pada tahun 1925. Nama "Guillemard" diambil sempena nama Gabenor British pada masa itu, iaitu Sir Laurence Guillemard. Tujuan utama jambatan ini dibina adalah untuk menyediakan laluan bagi keretapi dan kenderaan-kenderaan lain.
Walau bagaimanapun, pada 12 Disember 1941 jambatan keretapi "Guillemard" ini telah musnah setelah diletupkan oleh tentera British bagi menghalang kemaraan tentera Jepun ke Kuala Krai. Selepas tamat Perang Dunia II, jambatan keretapi ini telah dibaik pulih dan dibuka semula kepada lalulintas pada 7 September 1948. Pembukaan semula jambatan ini telah dirasmikan oleh Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV pada 7 September 1948.
Pada 1 Februari 1988, setelah pembinaan jambatan baru siap dibina di kawasan berdekatan, Jambatan Guillemard tidak lagi digunakan untuk kenderaan bermotor dan kini ia hanya digunakan oleh Keretapi Tanah Melayu sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan