Isnin, Disember 27, 2010

Norshahrul Arkitek: Rajagobal



Jurulatih bolasepak Malaysia, K Rajagobal menyebut betapa fungsi Norshahrul Idlan Talaha adalah arkitek yang menyumbangkan kepada malam manis buat skuad negara menewaskan Indonesia, malam tadi.

“Norshahrul memang seorang pemain yang istimewa,” kata jurulatih skuad kebangsaan yang beranggapan penyerang Kelantan itu mencipta semangat kepada rakan sepasukan apabila merencanakan dua gol awal pada babak kedua.

Rajagobal akur betapa pengantin baru itu memainkan peranan penting dengan mencipta dua gerakan yang menghasilkan gol bagi membantu skuad negara membaham Indonesia 3-0 dalam final pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Bagaimanapun beliau menganggap semua pemain menjalankan tugas masing-masing dengan cemerlang lantas mengucapkan tahniah kepada semua pemain kerana persembahan menakjubkan untuk negara.

K Rajagobal mengakui jaringan 3-0 itu adalah bekalan selesa kepada skuad bimbingannya bagi menghadapi perlawanan kedua di Gelora Bung Karno, Rabu ini tetapi tetap berwaspada terhadap ancaman lawan.

“Kita tidak akan bermain secara bertahan di Jakarta nanti. Mungkin kita juga akan turun dengan strategi agresif dan menyerang bagi memburu jaringan awal sekali gus memadamkan terus impian lawan,” katanya.

P/S: Petikan berita harian 27 Disember 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan