Isnin, Oktober 25, 2010

Kelantan Juara Piala Agong 2010

Kelantan berjaya mengulangi kejayaan 2005 apabila muncul juara Piala Agong Edisi Ke-28 selepas berjaya menewaskan juara sebelas kali, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 18-14 pada perlawanan akhir

Negeri Cik Siti Wan Kembang membariskan pemain Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) dan beberapa pemain kebangsaan berjaya mengharungi perlawanan akhir yang amat mendebarkan.

Kelantan terlebih dahulu dikejutkan dengan dua try awal pada separuh masa pertama menerusi pemain forward ATM, Mohd Irman Adnan berjaya melakukan try pertama seawal minit ke-3 ketika Kelantan masih tercari-cari rentak permainan.

Menambah derita Kelantan, pemain flanker ATM Ahmad Farhan Azizan menyempurnakan try kedua ATM yang juga hasil gerakan maul yang padu. Forward ATM menolak beramai-ramai benteng forward Kelantan pada minit ke-16 dan menghasilkan jatuhan try.

Mohd Azuwar Hassan menyempurnakan dua tendangan konversi pada minit ke-4 dan minit ke-17 yang menjadikan ATM mendahului, 14-3 pada separuh masa pertama.

Kelantan pula hanya mampu bertahan dan menangkis serangan bertubi-tubi dari forward ATM, pemain flyhalf Kelantan, Mohd Nazreen Fitri Nasrudin hanya berjaya memungut tiga mata awal untuk Kelantan melalui tendangan penalti pada minit ke-9 separuh masa pertama.

Jurulatih Kelantan Che Ahmad Zaini Hussin yang begitu gusar dengan prestasi anak buahnya menukar strategi permainan dengan menghidupkan permainan di barisan tengah.

Pemain Kebangsaan, Mohd Saizul Hafiz Md Noor berjaya merapatkan jurang mata melalui try pertama Kelantan di minit ke-53 dan sekali lagi Kelantan menambahkan jaringan mata melalui pemain flyhalf. Nazreen Fitri Nasrudin yang dengan bijak membuat umpanan dan berjaya membolosi benteng ATM pada minit ke-63 dan melakukan try kedua buat Kelantan.

Nazreen Fitri Nasrudin menambah derita ATM melalui satu tendangan konversi di minit ke-64 dan satu tendangan penalti pada minit ke-74.

ATM cuba bangkit pada lima minit terakhir perlawanan dengan menggunakan taktik forward yang sama namun gagal kerana mudah dipatahkan benteng pertahan lawan.

Petang gemilang Kelantan lebih bermakna apabila, Nazreen Fitri di pilih Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Piala Agong 2010.

1 ulasan:

  1. semangat pemain kelantan harus dipuji kerana tidak mengenal erti putus asa..kelantan memang layak untuk memenangi perlawanan tersebut

    BalasPadam