SUATU pagi, Rahim yang bersahabat dengan Hafiz datang awal dan mula buka cerita mengenai syarikat tempat mereka bertugas ....
Rahim: Semalam aku masuk meeting pengurusan dengan semua manager dan CEO.
Hafiz: Meeting apa tu? Tiba-tiba aje ....
Rahim: Kompeni kita ni ... dah teruk sikit, prestasi kakitangan dah menurun. Yang buat sale tak capai sasaran, yang dah ditempah pulak tak dapat disiapkan dalam tempoh masa. Semua lembap sekarang ni ... bila penghantaran lambat, payment pun sangkutlah!
Hafiz: Eh! Kalau macam tu ... kita macam mana? Patutlah gaji bulan lepas lambat masuk!
Rahim: Nasib baik masuk juga ... kalau tak, alamat tak berasap le dapur!
Hafiz: Tulah! Salah kita juga, kerja tak sungguh-sungguh ... bila jadi macam ni, semua susah! Habis tu, apa tindakan mereka?
Rahim: Mereka dapati kakitangan sering datang lewat, masuk lambat lepas rehat makan tengah hari, balik cepat dan ada juga yang suka missing in action. Kerja pun tak sungguh-sungguh, cincai, asal buat. Pendek kata pakai boh aje le! Tak kurang banyak bersembang dan leka dengan facebook, twitter tanpa mengira waktu hingga matlamat asal kemudahan internet yang disediakan syarikat terbabas! Semua tak ada motivasi dan kreativiti.
Hafiz: Yang lambat masuk lepas rehat tengah hari tu ... tak boleh salahkan staf juga Rahim.
Rahim: Kenapa pulak?
Hafiz: Tempat makan tak ada dekat-dekat sini ... kena pergi jauh, orang pulak ramai! Cari parking satu hal. Berbaris nak makan dan jem masa balik, tu pasallah ramai yang lambat masuk! Tu pengurusan kena fikir juga tu ....
Rahim: Tu pasal mereka nak tubuh unit baru.
Hafiz: Hai! Kata kompeni teruk ... alih-alih nak tubuh unit baru pulak?!
Rahim: Unit ni nak cuba ubah sikap staf ... bagi motivasi sikit!
Hafiz: Unit apa tu?
Rahim: Unit Lonjak ....
Hafiz: Unit Lonjak?! Hah! Aku setuju sangat tu.
Rahim: Aih! Aku belum habis cakap, kau dah setuju?!
Hafiz: Aku memang setuju sesangat! Unit ni bukan hanya boleh elak staf masuk kerja lambat, masuk lepas makan tengah hari lambat, malah boleh elak staf balik cepat. Kalau minta mereka balik, balik lima belas minit lambat pun rasanya mereka tak kisah punya!
Rahim: Eh! Sebenarnya aku dilantik jadi ketua unit ni ... tapi aku tak ada idealah macam mana nak atasi masalah kita ni. Aku tengok kau bukan main lagi suka dengan idea unit ni. Aku sebenarnya masih tak nampak bagaimana unit ni boleh menjadikan staf kita menepati masa. Boleh tolong aku bagi idea tak?
Hafiz: Isy! Apasal tak boleh pulak?! Memang bagus idea penubuhan unit ni, aku sokong seratus peratus dan aku akan bantu kau!
Rahim: Terima kasih banyaklah, nasiblah ada kawan yang nak tolong ... masa mereka lantik aku tu, risau betul rasanya sebab tak tau nak buat macam mana. Sekali lagi aku ucap terima kasih ... sedia bantu aku, ... nanti aku lantik kau jadi ahli unit ni ....
Hafiz: Alah! senang aje ... yang mustahak sekali adalah menu, menu kena tiap hari , kalau nak ulang pun, paling cepat dua minggu. Kemudian harganya kena murah, ataupun dapat subsidi ... kalau kompeni sponsor lagi bagus! He he he he ....
Rahim: Eh! Hafiz ... kau merapu apa ni? Kita sekarang bincang macam mana nak tingkatkan prestasi staf ... kau pergi sembang pasal menu pulak ni kenapa? Kita bukan nak buka restoran!
Hafiz: Kan ke unit ni akan sediakan makanan kepada staf supaya mereka tak perlu keluar makan dan tak perlu balik cepat, sebab makanan malam pun akan disediakan ... boleh bawa balik lagi untuk keluarga!
Rahim: Hey! Kenapa kau kata macam tu hah?! Tak kena-mengena langsunglah dengan unit ni!
Hafiz: Apa pulak tak kena-mengenanya? Kan ke unit ni akan sediakan lonjak untuk semua orang?
Rahim: Sediakan lonjak? Kau sebenarnya tau ke apa Unit Lonjakan Prestasi ni?
Hafiz: Apasal tak tau pulak? Sediakan lonjaklah untuk semua staf supaya staf senang makan, tak perlu pergi ke luar lagi. Eh! Aku nak tolong kaulah, kenapa kau marah pulak ni?
Rahim: Lonjak ni apa sebenarnya Fiz?
Hafiz: Lonjaklah! Mangkuk tempat isi makanan, tempat isi lauk dan nasi yang bertingkat-tingkat tu. Kan ke kau disuruh bos sediakan makanan untuk semua orang?
Rahim: Hoi! Itu mangkuk tingkatlah! Bukannya lonjakan! Tulah tadi aku nak terangkan lebih lanjut kau dah potong, terus setuju aje walaupun aku belum habis cakap. Unit ni bukan sediakan makanan, tapi untuk melonjakkan prestasi ... meningkatkan prestasi!! Aku diminta sediakan program-program yang boleh memberi semangat kepada staf untuk meningkatkan prestasi kerja dan kreativiti supaya syarikat dapat maju dan berkembang dan kita semua tak kena buang kerja! Sekarang faham tak!! Buang masalah sembang dengan kau ni ....
Hafiz: Laa ... mana aku tau camtu pulak ... kalau tempat aku, lonjak tu maknanya mangkuk tempat isi makanan yang boleh bawa berjalan tu, tempat bekal ... eh! Kalau macam tu, kau cari orang lain le masuk unit kau tu ....
Rahim: Dah agak dah ....
Glosari
Lonjak -
(i) perbuatan melompat ke atas
(ii) dorongan atau desakan yang kuat untuk capai sesuatu
(iii) (Kelantan) mangkuk tingkat.
Isnin, Oktober 11, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan