Rabu, Oktober 28, 2009

Kayanya dialek Kelantan


DIALEK Kelantan merupakan salah satu daripada variasi bahasa yang unik
dan kaya terutamanya dari segi sebutan, kosa kata, dan makna. Bagi terus
memelihara khazanah bahasa yang cukup berharga ini, Dewan Bahasa dan
Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) mengadakan rancangan Rampai Budaya :
Kayanya Bahasa Kita yang disiarkan secara langsung melalui siaran
Kelantan FM pada setiap hari Khamis, jam 5.15 petang hingga 6.00 petang.
Sejak tahun 2006 rancangan ini diadakan bertujuan untuk mencari gali
khazanah kekayaan dialek Kelantan agar tidak luput ditelan zaman. Di
samping berupaya meningkatkan kefahaman generasi muda tentang penggunaan
bahasa lama yang jarang digunakan dan tidak sebati dalam kehidupan
mereka. Dua orang Munsyi Dewan, Tuan Haji Mohamad Haron dan Encik
Abdullah Yassin sebagai pengkaji dan pemudah cara yang bersama-sama
dengan pendengar dari seluruh negeri Kelantan untuk berkongsi maklumat
tentang penggunaan dialek Kelantan yang dituturkan oleh masyarakat di
sini.
Bagi menambahkan keberkesanan rancangan ini, DBPWT mengambil pendekatan
memperkenalkan satu perkataan pada setiap rancangan, manakala pendengar
yang menelefon akan memberi maklum balas dari segi maksud dan perkataan
lain yang digunakan di tempat mereka. Hasil daripada rancangan ini, DBPWT
berjaya mengumpul sejumlah kosa kata dan istilah dalam dialek Kelantan
yang pastinya akan menjadi dokumentasi yang berguna kepada masyarakat dan
pengkaji pada masa ini dan pada masa yang akan datang.
Antaranya ialah bojeng yang membawa makna gaya rambut, kuis (gerakkan
benda dengan kaki), selak (pengsan) papah (guntingan pendek rambut),
jirek (pijak), kuca bara (suasana yang bersepah), gelap gelemak (hitam
yang amat sangat) dan banyak lagi. Untuk mengetahui perkataan-perkataan
lain, pembaca boleh mendengar rancangan menerusi saluran Kelantan FM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan