Sabtu, Oktober 03, 2009

Lata Hujan



Air Terjun Lata Hujan Tanah Merah terletak di Hutan Simpan Ulu Kusial. Tempat ini merupakan tempat berkelah dan rekreasi yang popular di kalangan penduduk setempat. Pelancong Tempatan dan Antarabangsa.

Terdapat banyak kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dan pihak berkuasa tempatan seperti Tandas Awam, Wakaf Rehat, Musalla dan tempat untuk berkhemah, menjalani latihan dan Kursus. Air terjun yang jernih menjadikan tempat ini sesuai untuk mandi manda dan Rekreasi Air.


Bukit Bunga



Bukit Bunga,merupakan satu kawasan desa yang terletak dibawah pentadbiran dan penguasaan pihak berkuasa Jajahan Tanah Merah,Bukit Bunga merupakan satu perkampungan di Jajahan Tanah Merah,ia menjadi tumpuan para pelancong sama ada luar mahupun dalam negeri kerana disini banyak barangan dari Negara Thai dibawa masuk dan diniagakan disini dengan harga yang berpatutan Kelantan yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand. Merentasi sempadan ialah Ban Buketa yang terletak di Amphoe Waeng, Wilayah Narathiwat. Terletak di Tepi Lebuh Raya Utama Timur Barat yang menghubungkan Negeri Kelantan Dan Perak. Bukit Bunga juga bersempadan dengan Negara Thailand. Pusat Membeli Belah Bukit Bunga, Tanah Merah telah dimajukan oleh ketua jajahan Tanah Merah dengan kerjasama KESEDAR dan lain-lain jabatan kerajaan.

Terdapat banyak gerai-gerai yang menawarkan barangan tempatan dan barangan import terutama dari Negara Thailand dengan harga yang murah. Selain daripada itu, terdapat gerai makan,minuman, dan buah-buahan. Lain-lain kemudahan yang terdapat di sini ialah Tandas Awam, Masjid, Wakaf, Bank, Balai Polis, Pejabat Pos dan Tempat Letak Kereta.

Jumaat, Oktober 02, 2009

Homestay Kg. Kubang Telaga


Homestay Kampung Kubang Telaga mula diwujudkan pada akhir tahun 2006 apabila seramai 40 orang penduduk kampung ini selesai menjalani kursus Asas homestay yang dianjurkan Institut Kemajuan Desa ( INFRA ) .
Homestay ini diberi nama Homestay Kampung Kubang Telaga adalah sempena sejarah kampung ini,iaitu terdapat sebuah kubang / kolam yang luas dan di dalamnya telah digali sebuah telaga / perigi oleh penduduk kampung bagi mendapatkan air kegunaan harian terutama pada musim kemarau panjang. Penduduk kampung ini didiami oleh 235 keluarga dan kesemuanya berbangsa Melayu dan beragama Islam.Hampir 95 peratus berkerja sebagai petani. Pada masa ini terdapat 30 orang penduduk telah menyertai program ini sebagai tuan rumah. Di homestay Kg.Kubang Telaga sedia menerima seramai antara 70 hingga 80 orang pelancong secara serentak.



Antara pakej/aktiviti yang terdapat di homestay ini ialah riadah sungai, menghayati kehidupan di kampung tradisional, menghayati kehidupan petani dan menghayati keindahan permandangan semulajadi kampung Kubang Telaga




KE LOKASI HOMESTAY
Homestay Kampung Kubang Telaga Terletak kira-kira 40 km dari Bandar Kota Bharu,
21 km dari Bandar Bachok,dan 12 km dari Bandar Pasir Puteh. Kampung ini meliputi kawasan seluas 4 km persegi yang dikelilingi oleh bendang / sawah padi.

Pengunjung boleh sampai ke homestay Kampung Kubang Telaga dengan menaiki kereta sewa ( teksi ) dari Bandar Kota Bharu atau dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa melalui Pekan Kubang Kerian, Pekan Peringat, Pekan Gunung, dan Litaar Go- Kart . Jalan ini merupakan jalan pintas ke Bandar Pasir Puteh.

Kelantan bakal pengeluar keledek Vitato terbesar


Kelantan mampu menjadi pengeluar keledek jenis, Vitato terbesar di negara ini dengan pengeluaran kira-kira 870 tan setahun menerusi pembangunan kawasan seluas lebih 40 hektar yang diusahakan ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Timbalan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kelantan, Sawalludin Ahmad, projek keledek terbabit kini disertai 65 ahli PPK sekitar Kandis, Telong, Bachok dan Semerak, Pasir Puteh.

Katanya, projek tanaman keledek Vitato 2009 dimulakan dengan musim pertama awal bulan ini, yang dijangka boleh dituai pada Julai sebelum memasuki musim kedua mulai Julai hingga Oktober.

"Tahun ini, LPP mensasarkan pengeluaran 870 tan keledek Vitato yang mampu menjadikan Kelantan sebagai pengeluar terbesar keledek bermutu tinggi di negara ini sebelum dipasarkan secara terus kepada pemborong dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

"Untuk mencapai matlamat pengeluaran itu, kita menyusun semula jadual penanaman keledek bagi memastikan semua hasil tanaman dapat dikeluarkan sebelum ketibaan musim tengkujuh berdasarkan pengalaman tahun lalu yang menyaksikan banjir memusnahkan kawasan tanaman ketika hampir dituai.
"Tahun lalu sembilan hektar kawasan keledek yang diusahakan ahli PPK Kandis, Bachok, musnah ditenggelami banjir, menyebabkan sasaran pengeluaran 320 tan keledek bernilai RM256,000 tahun lalu merosot kepada 102 tan dengan nilai RM47,000," katanya kepada Berita Harian.

Sawalludin berkata, vitato adalah vareiti keledek bermutu tinggi yang dihasil menerusi kajian oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) tahun lalu sebelum dikomersialkan di kalangan petani negeri ini.

Katanya, kajian Mardi mendapati keledek terbabit sesuai ditahan di negeri ini kerana tanah beris banyak di kawasan Bachok dan Pasir Puteh yang selama ini menjadi tumpuan tanaman komoditi tembakau.

"Selain Kelantan, Vitato ini turut ditanam petani sekitar Besut, Terengganu tetapi tidak pada skala besar seperti di sini. LPP menerima peruntukan kira-kira RM1.6 juta tahun ini untuk memastikan projek tanaman vitato yang kini mula mendapat pasaran meluas mencapai matlamat terutama membantu petani tempatan meningkatkan pendapatan harian," katanya.
Sawaluddin berkata, ahli PPK Kandis, Ab Rahman Jusoh, muncul peserta terbaik projek Vitato di negeri ini tahun lalu apabila meraih hasil lebih RM10,000 apabila tanaman keledeknya mengeluarkan hasil lebih 21 tan, meskipun sebahagian tanaman itu musnah akibat banjir yang melanda.

Sementara itu, jurucakap Mardi berkata, selain sesuai untuk dimakan secara direbus, digoreng atau dibakar, keledek Vitato boleh diproses menjadi tepung yang kaya dengan betakarotena.

"Tepung Vitato lebih berkhasiat berbanding dengan tepung gandum dari segi serabut diet, vitamin C dan betakarotena. Keledek ini juga boleh diproses sebagai jus dan dicampur susu. Antara industri hiliran lain yang boleh dilakukan terhadap keledek ini termasuk penghasilan jejari keledek goreng, kek, ban dan muffin," katanya.

Khamis, Oktober 01, 2009

TM Piala Malaysia 2009 : ATM Lwn Kelantan


Mari kita pakat ramai-ramai gi Stadium Selayang hari Sabtu nih. Hok mana dok Lembah Klang, jangan ketinggalah meriahkan suasana Stadium Selayang dengan sorakan "Gomo Kelate Gomo"

Rabu, September 30, 2009

TM Piala Malaysia 2009 : Video



Peminat Kelantan Minta KAFA Bendung Ulat Tiket


KOTA BAHARU, 30 Sept (Bernama) -- Peminat bola sepak Kelantan meminta Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) segera membendung masalah "ulat tiket" yang mengambil kesempatan menjual tiket pada harga tinggi seperti perlawanan antara Kelantan dan Kedah di sini, malam Selasa.

Ulat tiket itu dikatakan memborong habis-habisan tiket tempat duduk berbumbung yang sepatutnya dijual pada kadar harga RM20.

"Ulat itu menjual pula kepada kami pada kadar harga RM30 dan RM35 untuk sekeping tiket yang mahu tidak mahu kami terpaksa membeli apabila diberitahu tiket tempat berbumbung sudah habis dijual.

"Yang kami hairan kenapa tiket tempat berbumbung dilaporkan habis dijual dalam tempoh tidak sampai sejam tetapi tiket di tempat terbuka masih banyak?" kata Azrul Shah Shahrim, 37, kepada Bernama.

Beliau, yang datang awal pada pukul 1.45 petang, tetapi disebabkan kaunter tiket masih belum dibuka datang semula sejam selepas itu dan dimaklumkan penjual bahawa tiket di tempat berbumbung sudah habis dijual.

Memandangkan ketika ini musim hujan, beliau akhirnya terpaksa mendapatkan tiket daripada ulat pada harga RM30.

"Saya lihat ulat tiket banyak berkeliaran di depan kaunter bagi menawarkan tiket di bahagian berbumbung itu dan kerana memikirkan hujan pada hampir setiap malam, saya terpaksa membeli pada harga tinggi itu," katanya.

Seorang rakannya, Zaharmin Sulung, 37, meminta KAFA menghadkan penjualan tiket itu kepada sekurang-kurangnya dua tiket kepada seorang pembeli.

"Kalau jual secara borong oleh seorang pembeli menyebabkan berlakulah keadaan macam ini sehingga menyukarkan peminat mendapatkan tiket yang akhirnya terpaksa mendapatkannya daripada ulat (tiket)," katanya.

Lebih 15,000 peminat bola sepak Kelantan memenuhi Stadium Sultan Muhamad Ke-IV di sini malam tadi yang menyaksikan Kelantan menang tipis 1-0 menewaskan juara bertahan Kedah dalam Kumpulan E.

Gol tunggal itu dijaringkan penyerang sensasi Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-49 melalui sepakan percuma dari luar kotak penalti.

Sentuhan Indra tambah derita Kedah


KELANTAN terus membuktikan mengapa mereka harus menjadi pilihan dalam saingan Piala Malaysia apabila melebar rentak gemilang buat kali kedua, kali ini dengan menjadikan penyandang juara, Kedah sebagai mangsa dengan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Sultan Muhamad IV, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Kelantan menghuni tangga teratas Kumpulan E dengan enam mata selepas anak buah B Sathianathan menewaskan Pulau Pinang 2-1 di Stadium Bandaraya pada perlawanan pertama.

Indra Putra Mahayuddin, kapten baru pasukan berkenaan menggantikan Badri Radzi yang mengalami kecederaan jangka panjang, menjadi wira pasukannya apabila menjaringkan gol tunggal Kelantan pada minit ke-49 selepas melencongkan bola hasil sepakan percuma dari luar kotak penalti yang menewaskan Helmi Eliza.

Ketika diminta mengulas mengenai perlawanan itu, Sathianathan menyifatkan aksi dipamerkan pasukannya belum dianggap baik berbanding kemampuan sebenar mereka.
“Kini Kelantan memang dianggap pilihan selepas menang dua perlawanan, tetapi kami belum bermain dengan baik seberapa yang boleh. Pendapat saya, kita boleh main lebih baik daripada sekarang,” katanya.

Isnin, September 28, 2009

Anak Kelantan Zang Toi Pamer Koleksi Musim Bunga Di New York


NEW YORK, 24 Sept (Bernama) -- Ikon dunia fesyen, anak kelahiran Kelantan, Zang Toi, baru-baru ini memperkenal koleksi musim bunga 2010 yang begitu menarik di ruang pameran beliau di hadapan sekumpulan wartawan dunia fesyen di sini.

Mempamerkan bakat 'haute couture' beliau yang hebat, Zang Toi melahirkan 'koleksi Matador' yang diinspirasikan hasil daripada lawatan beliau ke Sepanyol di mana beliau berkesempatan menyaksikan acara laga lembu.

"Kali ini inspirasi saya ialah dari Sepanyol, daripada apa yang anda dapat lihat dalam reka bentuk koleksi saya yang dipamerkan di sini," Zang Toi memberitahu Bernama di ruang pameran beliau di 57th street di sini, berdekatan dengan Fifth Avenue yang mempunyai sekelompok bilik pameran yang elegan menempatkan produk mewah serta eksklusif pereka fesyen antarabangsa.

Menepati 'citarasa Sepanyol' karya Zang Toi diperagakan oleh model-model jelita yang tinggi lampai berwajah Latin. Ketinggian mereka semakin terserlah dengan kasut tumit tinggi mereka dan para peragawati ini kelihatan anggun mengenakan koleksi matador itu.

Muzik latar yang mengiringi peragawati itu berirama Sepanyol dengan sentuhan rentak Flamenco yang mempunyai nada Andalusia yang terkenal dengan gerak lembut kaki ketika berdansa.

Irama dan alunan muzik sebegini amat sesuai dengan suasana gambaran tentang apa yang mahu dipamerkan oleh koleksi itu.

32 REKA BENTUK

Acara dimulakan dengan peragaan Bolero Matador menggunakan kain kapas ivori Toi House serta kain kapas hitam Capri yang dihiasi tepinya dengan manik hitam Matador dan keseluruhannya Zang Toi mempertonton 32 hasil rekaannya pada majlis itu.

Warna-warna yang digunakan menunjukkan variasi serta 'kehangatan' mereka yang datang dari wilayah di mana inspirasi terhadap koleksi itu muncul.

"Saya juga menggunakan warna merah jambu di atas latar belakang gelap untuk koleksi saya kerana bagi saya warna merah jambu menyerlahkan lagi kecantikan wanita", kata Zang Toi.

Tarikh peragaan fesyen koleksi Zang Toi itu juga mempunyai satu signifikan kerana Zang Toi, yang tiba di Amerika Syarikat melalui Kanada, telah genap 20 tahun di negara beliau mencipta nama sebagai pereka fesyen ternama antarabangsa ini.

"Saya sudah tua", kata beliau, bergurau.

"Saya tidak menyangka bila saya bermula di Parsons School of Design di sini saya akan menjadi begitu berjaya," katanya.

KEJAYAAN ANTARABANGSA

Sering digelar 'eksport Malaysia paling unggul', Zang Toi telah menyemai dan membina kerjayanya sehingga menjadi cerita kejayaan antarabangsa.

Beliau merupakan pereka fesyen kegemaran ramai selebriti Hollywood seperti Sharon Stone, Kirstie Alley, Jennifer Tilly, Meg Ryan dan lain-lain.

"Rekaan (Zang) Toi begitu asli, feminin dan glamor dari semua segi", menurut seorang pelanggan wanita haute couture.

Produk dan rekaan fesyen Zang Toi boleh didapati di gedung-gedung pakaian mewah seperti di bahagian couture di Nordstrom, butik-butik khas serta juga butik Zang Toi di Malaysia.

"Saya mengambil masa enam bulan untuk menyiapkan koleksi ini termasuk dari mencipta konsep sehingga ke majlis peragaan hari ini," kata Zang toi.

Sementara itu dunia fesyen di sini sedar akan kemunculan pereka-pereka fesyen muda Malaysia yang mahu mencuba nasib memulakan perniagaan di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun dunia fesyen di New York, yang begitu hebat bersaing, sama ada boleh menjadi begitu kejam kepada mereka yang menceburinya ataupun memberikan ganjaran yang amat baik seperti yang dinikmati Zang Toi.

"Nasihat saya kepada mereka yang masih baru dalam dunia ini, hasilkan yang asli daripada cuba meniru karya pereka lain. Keaslian akan begitu memberi makna akhirnya. Bakat dan kerja keras juga akan berbaloi di Amerika Syarikat", kata beliau.

Kehadiran Stefania Fernandez dari Venezuela, Miss Universe 2009, pada majlis itu menambahkan lagi suasana meriah persembahan koleksi Zang Toi. Turut hadir ialah Salahuddin Mohd Ariffin, Naib Presiden Tourism Malaysia di New York.