Jumaat, Oktober 09, 2009

Menara Jam Taman Bendahara


Menara Jam Taman Bendahara merupakan sabagai satu tugu peringatan, sumbangan dari bekas tentera Jepun (veteran perang) sempena mengingati peristiwa pendaratan pertama mereka di Pantai Padang Pak Amat @ Pantai Sabak, Malaya semasa Perang Pasifik (Perang Dunia II di timur). Pendaratan ini berlaku sejurus selepas tengah malam, pada 8 Disember 1941, sejam sebelum serangan ke atas Pearl Harbor berlaku. Pihak tentera Jepun mendarat sejurus selepas tengah malam, dan disambut dengan periuk api dan tembakan sengit oleh pasukan India British yang mengawal pantai.

Tapak pendaratan sebenar telah terhakis ke laut disebabkan hakisan yang menghanyutkan kubu kotak (pillboxes) (kubu menembak yang diperbuat daripada konkrit) yang dibina sepanjang pantai sebelum perperangan meletus. Kubu kotak terakhir dipercayai dihanyutkan sekitar akhir 1990. Kini tembok batu telah dibina bagi memperlahankan hakisan.

Menara Jam Taman Bendahara ini dibina berhampiran lapangan terbang Pengkalan Chepa, tidak jauh dari tapak pendaratan pertama Jepun dahulu, dan telah disiapkan sekitar 1988. Padanya terdapat tulisan yang meluahkan "penyesalan" mereka terhadap bahana peperangan dan penjajahan serta mendoakan agar dunia akan terus aman dan bebas.

Beberapa langkah sahaja dari menara jam tersebut pernah terdapat sebuah kubu kotak (pillbox) tinggalan askar British dari era perang dunia ke-2 semasa mereka mempertahankan Malaya dari serangan Jepun.

Dan kini, kawasan tersebut telah dibangunkan, dari sebuah kawasan lapang terbiar kecuali menara jam ini, kepada Taman Orkid Tengku Anis dan akhirnya kepada "Taman Bendahara" - sebuah pusat membeli belah yang menempatkan rumah kedai dan sebuah hypermarket. Kubu kotak ini bagaimanapun telah dimusnahkan bagi memberi laluan kepada projek "Taman Bendahara" berkenaan.

Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan


Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan atau ringkasnya PKINK ditubuhkan pada tahun 1966 di bawah Enakmen Negeri No.10. PKINK mula beroperasi pada 10 November 1969. Pengerusi PKINK yang pertama ialah YAB Dato' Hj Mohd Asri Bin Muda. Menteri Besar Kelantan merupakan Pengerusi Lembaga PKINK. Jawatan tersebut kini dipegang oleh Y.A.B Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat.

Misi PKINK

Sebuah badan korporat yang bertanggungjawab dalam menerajui pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Negeri Kelantan, berlandaskan prinsip - prinsip Islam, untuk kesejahteraan Ummah.

Jambatan Bijih


Jambatan Bijih merupakan sebuah jambatan bersejarah dan tidak digunakan. Ia terletak berhampiran pantai di Kampung Jubakar Tumpat Kelantan. Jambatan ini dibina sebelum perang oleh pihak British. Jambatan ini dibina bertujuan untuk memudahkan kerja-kerja pemunggahan bijih besi dari darat ke kapal pengangkut.
[sunting] Sejarah

Pemunggahan bijih besi ini diusahakan oleh sebuah syarikat dari Jepun iaitu Oriental Mining Co., di kawasan Bukit Besi, Temangan, Kuala Krai Kelantan. Kawasan lombong bijih besi sekarang ini telah terdirinya Sekolah Kebangsaan Temangan.Bijih besi diangkut dengan menggunakan kereta api ke pelabuhan Tumpat. Bijih besi dimasukkan ke dalam bekas khas untuk diangkut ke kapal kecil melalui jeti yang telah dibina, kemudian ia dipindahkan ke kapal induk untuk dihantar ke Jepun.

Pengeluaran bijih besi ini terus dilakukan semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1941 - 1945), ia dilakukan oleh pemerintah tentera Jepun. Pengeluaran ini masih diteruskan selepas Perang Dunia II oleh syarikat yang sama di bawah pengawasan pemerintahan British. Pengeluarannya berterusan sehingga tahun 1965 di mana operasinya dihentikan kerana bekalan bijih yang ada semakin berkurangan.

Selepas operasi pengeluaran bijih timah dihentikan, Jambatan Bijih ini tidak digunakan lagi dan dibiarkan tidak terurus. Kini yang tinggal hanyalah kesan runtuhan yang menjadi bukti sejarah.

Gelanggang Seni


Dalam mengejar erti pembangunan kerajaan Kelantan juga tidak pernah mengabaikan seni warisan budaya rakyat negeri ini. Sehubungan dengan itu, Gelanggang Seni yang terletak di Jalan Sultan Mahmud iaitu kira-kira 2 km dari pusat bandar Kota Bharu diwujudkan.

Pusat ini sentiasa menjadi daya tarikan kepada para pelancong dan kepada anak-anak Kelantan yang cintakan seni warisan bangsa untuk berkampung dan mempersembahkan persembahan masing-masing. Antara persembahan yang masih digemari dan kerap diadakan ialah dikir barat, Rebana Ubi, permainan gasing, dan wau bulan. Persembahan ini diadakan pada hari Rabu setiap minggu secara bergilir-gilir.

TM Piala Malaysia 2009 : Kedah Lwn Kelantan

Khamis, Oktober 08, 2009

Video TM Piala Malaysia 2009 : Kelantan Lwn Penang

Suasana Di Stadium Selayang : ATM Lwn Kelantan

Ribuan ikan duri muncul di Bachok, mungkin akibat gempa


Hasil tangkapan luar biasa ikan duri oleh nelayan di Kuala Kemasin dan Pantai Senok, Bachok, semalam berkemungkinan berpunca daripada kejadian gempa bumi yang berlaku baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Meteorologi Wilayah Timur, Azmi Daud berkata, fenomena kemunculan ribuan ikan dari dasar laut kebiasaannya terjadi apabila adanya kejadian bencana alam kerana ikan akan mencari kawasan yang lebih selamat.

"Biasanya haiwan seperti ikan laut ini mempunyai ketajaman deria yang kuat dan sensitif dan setiap kali berlaku bencana alam seperti gempa bumi dan seumpamanya, ia berkumpul dan timbul di sesuatu kawasan yang sama dalam kuantiti yang luar biasa banyaknya," katanya kepada Bernama di Jerteh hari ini.

Semalam, nelayan di sekitar Kuala Kemasin dan Pantai Senok terkejut apabila memperoleh hasil tangkapan ikan duri sehingga 5,000 kilogram hanya dalam tempoh dua jam turun ke laut.

Seorang nelayan Mat Zin Omar, 44, berkata kejadian itu merupakan kali pertama berlaku sejak dia menjadi nelayan 15 tahun lepas.

"Kebiasaannya hasil tangkapan paling banyak diperoleh adalah sekitar 1,000 kilogram sahaja. Kejadian ini memang sesuatu yang luar biasa," katanya.

Beliau berkata nelayan menganggapnya satu rezeki yang tidak dijangka dan mereka kini menjual ikan duri terbabit kepada peraih pada harga RM4.60 sekilogram.

Timun Cina & Timun Batang




Kalau berkunjung ke negeri Kelantan,anda akan mendengar sebutan buah timun bagi tembikai. Manakala mentimun pula dipanggil timun batang.

Rabu, Oktober 07, 2009

Wujudkan muzium wau di Kelantan


KOTA BHARU 6 Okt. – Persatuan Pelayang Negeri Kelantan menyarankan kerajaan negeri supaya mewujudkan sebuah muzium wau bagi memelihara khazanah tradisi yang menjadi kebanggaan negeri dan negara.
Yang Dipertuanya, Nik Ariff Datuk Nik Hassan berkata, kerajaan negeri tidak harus melihat langkah seumpama itu sebagai suatu yang sia-sia sebelum negeri-negeri lain memulakannya.
‘‘Ia boleh membantu menambahkan lagi produk tarikan pelancongan di samping melengkapkan gelaran kota budaya di samping menyuburkan lagi permainan warisan di samping meningkatkan ekonomi penggiatnya melalui hasil jualan cenderamata.
‘‘Sejak berkurun wau amat rapat dengan masyarakat Kelantan malah diangkat menjadi salah satu khazanah tradisi negeri selain mak yong, dikir barat, kertuk dan gasing,” katanya kepada di sini hari ini.
Katanya, kebanyakan wau tradisional dikaitkan dengan asalnya dari Kelantan iaitu wau bulan, wau kekek, wau puyuh, wau kucing, wau kebayak dan jala budi yang terkenal dengan keindahan dan kehalusan buatannya.
‘‘Wau kucing juga turut dipilih sebagai lambang Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) manakala para pembuat wau yang mahir kebanyakannya dari Pantai Timur.
‘‘Ironi, muzium seumpama itu sudah wujud di Johor iaitu Muzium Layang-Layang Pasir Gudang, sedangkan hanya wau merak dikaitkan dengan tradisi negeri itu, namun ia cukup aktif dalam pelbagai bentuk penganjuran berkaitan dengan wau,” ujarnya.
Katanya, sebuah muzium wau bertaraf dunia boleh diwujudkan sekiranya kerajaan negeri mengambil pendekatan kreatif dalam menjayakan usaha itu.
Beliau menarik perhatian, pihak persatuan sendiri telah lama merancang mewujudkan muzium tersebut namun kekangan kewangan menjadi halangannya.
‘‘Persatuan berharap pihak kerajaan mampu merealisasikan usaha itu dan muzium boleh dijadikan aset untuk menjana ekonomi sekiranya ditadbirkan dengan berkesan,” ujarnya.
Katanya, dari segi pengisiannya, pihak persatuan akan memberikan kerjasama sepenuhnya termasuk menggerakkan aktiviti setempat, antaranya mengadakan bengkel asas membuat wau untuk mendidik generasi muda mengenal sejarah dan pembuatannya.
‘‘Bilik pameran pula akan diisi dengan hasil rekaan seni dan kreativiti wau tempatan oleh pembuat tersohor di samping himpunan layang-layang daripada seluruh dunia.
‘‘Berdasarkan lawatan saya ke beberapa buah negara untuk memperkenalkan wau tempatan melalui pameran dan pertandingan, rata-rata penggiat bertanya kenapa di negeri ini masih belum wujud muzium wau.
‘‘Sekiranya muzium tersebut dibina, penggiat di negara-negara tersebut berjanji akan menyumbang layang-layang mereka untuk dipamerkan,” katanya.
Katanya, hasil lawatan ke London beberapa tahun lalu juga telah menemukannya dengan beberapa peminat wau yang memberitahunya wau rekaan negara ini telah diketahui kewujudannya lebih 400 tahun lalu.