Sabtu, Mac 05, 2011

Akademi Bola Sepak Army

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil langkah kehadapan dengan menubuhkan Akademi Red Warriors Al-Hambra (Army) dalam usaha melahirkan lebih ramaibakat baru sukan bola sepak di negeri ini.

Akademi tersebut akan diuruskan oleh bekas ketua jurulatih Red Warriors musim lalu, B. Sathianathan, yang bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Sathianathan ditugaskan membentuk kerangka bagi mewujudkan akademi bola sepak yang baik.Beliau akan merangka satu manual kurikulum kepada akademi tersebut.

Manual tersebut akan dicetak dan dibukukan untuk diagihkan kepada semua jurulatih. Jurulatih akan mengikut kurikulum seperti ditetapkan oleh pihak akademi.

Akademi Army ini diwujudkan di enam pusat latihan yang terletak di Tumpat-Pasir Mas, Tanah Merah, Bachok, Machang-Kuala Krai dan dua di Kota Bharu.

Kesemua peserta akan dikenakan syarat-syarat kemasukan tertentu dan mesti mematuhi kriteria-kriteria serta undang-undang yang akan ditetapkan.

Selepas sesi latihan dijalankan, pihak Army akan membentuk 12 pasukan iaitu enam di peringkat umur 12 dan 13, manakala enam lagi di peringkat 15 dan 16 tahun. Setiap pasukan akan didedahkan kepada perlawanan sebenar sesama pasukan sebagai ujian dalam pertandingan kompetitif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan