Selasa, Ogos 18, 2009
Gula Oh Gula
KOTA BHARU 17 Ogos - Sebanyak 2,303 tan metrik bekalan gula tambahan dijangka tiba di negeri ini secara berperingkat bagi menampung keperluan sepanjang bulan Ramadan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KDNKK) Kelantan, Che Halim Abdul Rahman berkata, bekalan tambahan itu akan menyusul selepas penghantaran 2,647 tan metrik sepanjang dua minggu lalu.
Menurutnya, kekurangan bekalan gula tambahan di negeri ini tidak terlalu serius, namun tindakan pengguna membeli berlebihan untuk dijadikan stok menjadikan permintaan meningkat secara mendadak.
''Pegawai Pemantau Harga (PPH) akan ditempatkan untuk memantau proses penghantaran gula ini selain bagi memastikan bekalan ini sampai dan diagihkan mengikut prosedur.
''Orang ramai tidak harus panik dan bimbang berhubung masalah kekurangan bekalan kerana pelbagai tindakan telah diambil bagi memastikan ia tidak berpanjangan,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Tanda Harga 2009 peringkat Kelantan di Pasar Siti Khadijah di sini hari ini.
Mengenai kempen itu pula, beliau berkata, kempen yang bermula semalam dan berakhir 31 Ogos depan itu melibatkan pasar raya, pasar raya besar, pasar malam, pasar awam, pasar pagi, pasar tani dan restoran serta gerai makanan.
Jelasnya, kempen tersebut untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada peniaga mengenai peraturan meletak penanda harga bagi setiap barangan.
''Bermula Januari hingga Ogos, seramai 64 peniaga telah diambil tindakan kerana melanggar Perintah 3 (1) Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993,'' ujarnya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan